Baru-baru ini seorang bapa meminta pertolongan pihak Utusan Malaysia untuk mengesan anaknya, Ariff Alfian Rosli yang gagal dihubungi sejak tiga tahun lalu.
Anaknya itu adalah pelajar perubatan di Dublin, Ireland.
Pesara pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berkhidmat selama 31 tahun, Rosli Haron, 56, kini buntu mengesan anak kedua daripada empat beradik itu setelah mencuba pelbagai usaha termasuk membuat laporan kepada polis, Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Ireland dan Kedutaan Ireland di sini, dalam tempoh tersebut.
Prihatin dengan keadaan itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh berjanji akan terbang ke United Kingdom (UK) pada 23 Disember ini bagi bertemu dengan Kelab UMNO Luar Negara UK dan Ireland dalam usaha mengesan Ariff Alfian.
Muhd. Khairun berkata, buat masa ini, pihaknya masih mengumpul beberapa maklumat mengenai Ariff Alfian supaya usaha menjejaki pelajar terbabit dapat dilakukan.
Namun akhirnya disahkan Ariff Alfian berada dalam keadaan selamat di sana.
Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam berkata, pihaknya maklum tentang kehadiran Ariff Alfian di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian lagi.
Bagaimanapun, katanya, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin.
Tetapi yang lebih mengejutkan, pelajar tersebut dikatakan telah berkahwin dengan SEORANG LELAKI bernama Jonathan di sana
Beberapa keping gambar perkahwinannya dengan seorang lelaki warga asing, tersebar di dalam sebuah laman web bigayweddingproject.com.
Apa yang mengejutkan, pada majlis perkahwinan sejenis yang dipercayai berlangsung dalam sebuah gereja di luar negara, dia memakai baju Melayu berwarna hitam, lengkap bersamping serta tanjak berwarna emas.
Pasangannya yang dianggarkan berusia lewat 30-an pula mengenakan busana sut lengkap warna hitam yang biasanya dipakai ketika majlis perkahwinan masyarakat Barat.
Laman web yang dipercayai menyokong perkahwinan homoseksual itu telah memuatkan sebanyak 15 keping gambar sepanjang majlis ‘perkahwinan’ itu berlangsung.
Antara yang disiarkan adalah pasangan itu bergambar di dalam kumpulan dan sedang diraikan setelah selesai menjalani proses bergelar ‘suami-isteri’.
Terdapat dua keping gambar lelaki warga asing itu sedang bersiap sedia melangsungkan perkahwinan sambil dibantu rakan-rakannya.
Turut menarik perhatian ialah gambar yang menunjukkan lelaki Melayu itu disarungkan cincin oleh pasangannya.
Menurut keterangan yang dipaparkan bersama kepingan gambar yang dipercayai dimuatkan pada 20 September itu, pasangan terbabit merupakan klien pertama bagi projek penggambaran majlis perkahwinan golongan homoseksual dikendalikan laman web berkenaan.
Astagfirullahazim, penulis tak tahu apa nak diperkatakan lagi.
Dalam hal ini, yang paling tertekan sudah tentu keluarga Ariff Alfian.
Lelaki itu sudah tentu enak dipeluk ‘suaminya’ tetapi keluarganya terutama ibu dan bapa sudah tentu berendam airmata.
Apa tidaknya, anak yang dibela, diberi didikan agama dan didikan dunia hingga berjaya menjejakkan kaki ke kolej perubatan boleh menconteng arang di muka mereka.
Itu belum dikira hutang yang terpaksa ditanggung disebabkan si anak tidak berjaya menghabiskan pelajaran.
Dalam hal ini, penulis meminta janganlah disalahkan ibu bapanya 100 peratus…tidak ada ibu bapa di dunia ini yang mahu anak mereka jadi begitu.
Bak kata pepatah…bukan salah ibu mengandung.
Mungkin ada kelemahan dalam proses mereka membesarkan Ariff Alfian tetapi sebagai seorang yang terpelajar, dia sudah tentu tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk.
Penulis tidak tahu apa nak buat kalau berada di tempat ibu dan bapa lelaki berkenaan, ini kerana apa yang berlaku cukup keji dan memalukan bukan saja pada agama kita, tetapi juga pada bangsa dan negara.
Inilah padahnya kalau terlalu berfikiran liberal, semuanya hendak dihalalkan demi kebebasan dan atas nama hak asasi manusia.
Penulis pernah membaca kenyataan peguam Zainul Rijal Abu Bakar.
Katanya, hak asasi tersebut sebenarnya tidak boleh bercanggah dengan prinsip utama dalam Perlembagaan.
Hak asasi ini dilihat seolah-olah menghalalkan apa jua amalan mengikut naluri nafsu golongan tertentu.
Mungkin hari ini mereka mahukan hak bagi golongan yang mengamalkan seks sejenis.
Kemudian hari kelak berkemungkinan ada yang memperjuangkan atas nama hak asasi seseorang itu bebas melakukan seks dengan anak kandung sendiri ataupun dengan haiwan.
Ini disebabkan hak tersebut perlu dihormati dan tidak ada orang yang boleh menghalangnya.
Pendekatan sebegini adalah amat terpesong dengan prinsip utama Perlembagaan Persekutuan itu sendiri selain bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Namun golongan ini tidak harus dizalimi tetapi didekati supaya mereka diberi peluang untuk balik ke pangkal jalan.
Mendekati golongan ini bukanlah dengan memperjuangkan agar mereka dapat terus mengamalkan amalan hina tersebut tetapi supaya mereka meninggalkannya, Wallahualam – Oleh SYAHRIL A. KADIR