Showing posts with label LELAKI BERPAKAIAN WANITA. Show all posts
Showing posts with label LELAKI BERPAKAIAN WANITA. Show all posts

Monday, January 22, 2018

4321) JANGAN SENSASI BENDA TIDAK BERMANFAAT – BERITA HARIAN ONLINE – 20/1/18



KOTA BHARU: Masyarakat dinasihatkan supaya tidak mensensasikan atau mempopularkan sebarang video yang tidak bermanfaat, termasuk perilaku sesetengah individu lelaki yang berlagak seperti wanita.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata ia berikutan perkara itu tidak boleh membangunkan pemikiran dan jati diri rakyat.
“Ada banyak lagi perkara yang lebih penting dan bagi saya, pihak media juga tidak perlu sensasikan isu yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya tidak berhajat mahu komen benda yang tidak mampu membawa makna kepada pembangunan ummah dan negara.
“Jadi, saya berharap rakyat juga harus dididik supaya video yang tidak memberi sebarang makna tidak perlu diarus perdana dan mempopularkannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Konvensyen Pendidikan Islam Kelantan Anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).
Konvensyen berkenaan dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, agensi berkaitan kerajaan digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap perilaku sesetengah individu lelaki popular menerusi laman sosial yang berlagak seperti wanita sebagai usaha membendung penularan sikap seperti ini.
Individu yang digelar ‘instafamous’ ini rata-rata adalah lelaki yang dilihat membuat pelbagai video parodi mengenakan pakaian wanita dan memuat naik aktiviti mereka di laman Instagram bagi tujuan mempromosi produk, menyindir atau meniru gaya melucukan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata agensi kerajaan atau yang berkaitan serta majlis agama perlu memantau selain membangunkan satu modul bagi melihat senario yang berlaku di sekeliling mereka.

Artikel Oleh : Berita Harian
JANGAN SENSASI BENDA TIDAK BERMANFAAT

Saturday, January 20, 2018

4318) TINDAKAN TERHADAP LELAKI MENYERUPAI WANITA DI MEDIA SOSIAL – BERITA HARIAN – 20/1/18




KUALA LUMPUR: Agensi berkaitan kerajaan disarankan mengambil tindakan undang-undang terhadap perilaku sesetengah individu lelaki popular di laman sosial yang berlagak seperti wanita sebagai usaha membendung penularan sikap seperti ini.
Individu yang digelar ‘instafamous’ ini rata-rata adalah lelaki yang dilihat membuat pelbagai video parodi mengenakan pakaian wanita dan memuatnaik aktiviti mereka di Instagram bagi tujuan mempromosi produk, menyindir atau meniru gaya melucukan.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata agensi kerajaan atau yang berkaitan serta majlis agama perlu memantau selain membangunkan satu modul bagi melihat senario yang berlaku di sekeliling mereka.
Katanya, sejak 10 tahun kebelakangan ini individu popular di laman sosial dilihat sebagai ikon, bagaimanapun sering mempamerkan aksi atau aktiviti tidak bermoral.
“Semua pihak perlu prihatin dengan isu ini, gambar dan video parodi lelaki berpakaian dan perilaku seperti wanita ini cukup banyak di media sosial.
“Pelbagai pengakuan kita dengar, yang mengaku lelaki tetapi berubah menjadi wanita dan ada yang rupa seperti wanita tetapi sebenarnya lelaki.
“Saya lihat agensi kita lemah dan lambat memberi tindak balas terhadap perkara yang akan memberi kesan terhadap keruntuhan akhlak masyarakat,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.
Nadzim juga berkata, masyarakat pula hanya melihat video parodi yang berunsur negatif ini seperti angin lalu tanpa menyedari ia mempengaruhi minda bawah sedar.
“Perilaku ini membawa kesan jangka panjang. Ia perlu dibendung dan dikawal sebelum menjadi barah,” katanya.
Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata kerajaan wajar mengambil tindakan undang-undang terhadap individu Islam yang tahu mengenai soal hukum, namun masih berdegil mengubah jantina.
Katanya, umat Islam wajib bersyukur dengan kurniaan Allah mengenai kejadiannya sebagai lelaki mahupun wanita.
“Tindakan mereka mengubah atau berpakaian berlawan dengan jantina masing-masing ini kufur nikmat dan dikhuatiri dilaknat Allah S.W.T.
“Hukum sudah disebut dalam al-Quran dan kisah kaum Nabi Lut menjadi pengajaran jadi apakah mereka masih tidak mahu menyedari kesilapan ini?
“Ada manusia yang kadang-kadang sudah jahil dan tidak mahu diajar, maka tindakan undang-undang adalah sewajarnya,” katanya ketika diminta mengulas mengenai laporan BH semalam yang bertajuk ‘Baik, buruk lawak parodi’.
Dalam laporan itu, dikatakan video lelaki berpakaian wanita melakukan tutorial solekan, aksi tarian ghairah meniru gaya selebriti kini sering menjadi ikutan dan menarik perhatian ramai.
Tindakan netizen bukan saja berkongsi bahkan ada yang mengeluarkan komen mengaibkan serta memfitnah dikhuatiri meruntuhkan akhlak masyarakat.

Artikel Oleh : Berita Harian
TINDAKAN TERHADAP LELAKI MENYERUPAI WANITA DI MEDIA SOSIAL

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL