Friday, April 11, 2025

TANGANI ISU PENCEROBOHAN TANAH SECARA BIJAK, BUKAN DENGAN MEMUSNAHKAN HASIL - KENYATAAN MEDIA PPIM - 11/04/2025

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius tindakan pemusnahan pokok durian yang dilaporkan baru-baru ini di kawasan seluas 500 ekar di Raub oleh pihak berkuasa tanah dan hutan. Meskipun tindakan ini berpaksikan undang-undang, PPIM berpandangan bahawa kaedah ini tidak semestinya terbaik dalam menangani isu pencerobohan tanah kerajaan.

PPIM tidak menyokong sebarang bentuk pencerobohan atau penerokaan haram, namun kami percaya pendekatan yang lebih berhemah, berimpak ekonomi dan berpaksikan kemanusiaan wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.

Sebagai alternatif kepada tindakan pemusnahan, PPIM mencadangkan:

1. Pewartaan dan Pengambilan Semula Tanah dengan Pendekatan Produktif

      Tanah yang telah diceroboh dan ditanam dengan durian boleh diambil semula oleh   kerajaan dan diwartakan sebagai ladang rasmi. Pengusaha boleh diberikan pajakan     secara sah atau diserap ke dalam koperasi yang diiktiraf, dengan syarat patuh kepada        garis panduan alam sekitar dan pembayaran sewa yang munasabah.

      2. Penggunaan Tanah bagi Latihan dan Rehabilitasi

      Tanah ini boleh dijadikan lokasi pemulihan dan latihan pertanian untuk banduan, belia asnaf, atau golongan B40. Dengan pengurusan yang cekap, hasilnya boleh memberi pulangan kepada negara serta manfaat sosial yang besar.

      3. Penubuhan Koperasi Tempatan atau Usahasama Komuniti

      Jika pengusaha kebun adalah penduduk tempatan atau pekebun kecil, kerajaan boleh bantu menstruktur semula aktiviti ini melalui koperasi sah. Ia bukan sahaja mengelakkan kehilangan hasil, malah memupuk semangat jati diri dan tanggungjawab bersama.

      4. Audit Alam Sekitar dan Pematuhan Undang-undang secara Berperingkat

      Sebarang pemutihan atau penstrukturan semula perlu disusuli audit alam sekitar, pelan pemulihan hutan, dan kawalan ketat bagi mengelakkan pencemaran atau kemusnahan sumber semula jadi.

      Sebagai sebuah NGO yang mewakili suara pengguna Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya, PPIM percaya bahawa kerajaan boleh menjadi lebih bijaksana dalam menyelesaikan isu ini secara menyeluruh — dengan pendekatan yang adil, mampan dan berakhlak.

      Rakyat perlu diyakinkan bahawa undang-undang bukan hanya alat menghukum, tetapi satu sistem yang menjamin keadilan dan manfaat untuk semua.

      No comments:

      PERJUANGAN KAMI

      PERJUANGAN KAMI

      ARKIB ARTIKEL