Saturday, February 4, 2023

BANK KONVENSIONAL PULA YANG AMAL KAEDAH ISLAM - UTUSAN MALAYSIA - 04/02/2023

 

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas pendedahan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan bertajuk Kewangan Islam ada unsur menindas dalam Utusan Malaysia pada 30 Januari lalu.

Menurut beliau, produk sistem kewangan Islam di negara ini tidak langsung melambangkan Islam kerana tiada aspek kemanusiaan seperti dituntut agama apabila terus menindas peminjam dengan pelbagai cara.

Tambah beliau lagi, ia amat mendukacitakan apabila sistem kewangan Islam yang sepatutnya tiada unsur penindasan tidak diamalkan. Apabila orang tidak bayar RM5 pun mereka jadikan masalah besar.

Sehubungan itu, beliau mendesak Bank Negara Malaysia (BNM) mengubah sistem perbankan Islam negara daripada bersifat mengaut keuntungan semata-mata kepada kemanusiaan.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan itu kerana berdasarkan pengalaman sendiri mendapati sistem perbankan Islam sudah jauh tersasar daripada matlamat asal. Ia diwujudkan bagi mengharamkan riba, iaitu bunga berganda yang menekan peminjam.

Perbankan Islam hanya bersifat indah khabar daripada rupa apabila terus ‘memeras ugut’ peminjam dengan mengenakan faedah terlalu tinggi dan tidak munasabah serta dikendalikan secara tidak bertimbang rasa dan tidak berperikemanusiaan.

Sehingga kini saya masih berurusan dengan sebuah bank koperasi yang mendakwa mengamalkan sistem perbankan Islam sepenuhnya.

Hidup saya sekarang seolah-olah didera secara mental hanya kerana mempunyai tunggakan pinjaman selama sebulan berjumlah RM400.

Panggilan telefon hampir setiap hari termasuk pada Ahad dan cuti umum dengan skrip ungkapan sama sahaja supaya membayar tunggakan sebulan.

Ini berbeza dengan sebuah lagi bank konvensional yang lebih bertimbang rasa, hanya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai peringatan kerana ada tunggakan selama sebulan.

WARGA EMAS TERTEKAN, Kuala Kangsar, Perak


Artikel oleh: Utusan Malaysia

BANK KONVENSIONAL PULA YANG AMAL KAEDAH ISLAM

https://www.utusan.com.my/rencana/forum/2023/02/bank-konvensional-pula-yang-amal-kaedah-islam/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...