Thursday, December 29, 2022

MENTERI JAMIN PANJANGKAN ISU CPTPP KE KABINET - BERITA HARIAN - 29/12/2022

 

PUTRAJAYA: Enam tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang didakwa memberi kesan negatif kepada petani, nelayan dan penternak tempatan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

Jaminan itu diberikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu selepas bertemu, meneliti dan mengambil kira keperluan dan tuntutan NGO berkenaan di pejabatnya hari ini.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM), Nurfitri Amir Muhammad, berkata Mohamad juga memaklumkan akan berhubung lanjut dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mendesak supaya ratifikasi CPTPP ditarik balik.

"Tapi keputusan ini adalah keputusan PM dan Kabinet, bukan MITI, jadi PM perlu respons terhadap isu ini.

"Jadi menteri juga nyatakan komitmen untuk bawa isu tuntutan kami ini ke mesyuarat Kabinet nanti," katanya kepada media selepas pertemuan hampir sejam bersama Mohamad.

Yang turut hadir Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Ahmad Yazid Othman.

Terdahulu Nurfitri mewakili NGO menyerahkan memorandum yang disokong 54 organisasi antara lain daripada organisasi petani, penternak dan nelayan serta organisasi pengguna, alam sekitar dan ekonomi serta keusahawanan kepada Mohamad sebaik tiba di lobi kementerian.

Mohamad kemudian memaklumkan akan mendengar dan meneliti tuntutan terbabit sebelum beredar ke pejabatnya.

Pada 5 Oktober lalu, MITI memaklumkan Kabinet bersetuju meratifikasi CPTPP sekali gus menyaksikan Malaysia menjadi negara ke-9 meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

MITI dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan itu, kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Selain itu Nurfitri berkata, tujuan memorandum itu dihantar bagi mendapatkan penjelasan sama ada kementerian sudah melaksanakan penilaian dan kajian terperinci mengenai ratifikasi CPTPP.

Beliau mendakwa, analisis kos dan faedah yang dikeluarkan MITI tidak langsung mengkaji kesan CPTPP terhadap petani, penternak, nelayan, usahawan sektor pertanian serta pengguna, malah tiada penilaian kesan kepada keterjaminan makanan negara.

"Antara tuntutan kami adalah negara-negara yang meratifikasi CPTPP wajib menyertai Konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991.

"Konvensyen ini bertujuan untuk memberikan perlindungan dan hak monopoli yang meluas kepada pembiak baka tumbuhan bagi tujuan kononnya menggalakkan pelaburan dan inovasi.

"Sistem UPOV berat sebelah dan menafikan kepentingan dan sumbangan petani. UPOV menghalang petani melakukan inovasi dan menafikan hak tradisi petani untuk bebas berkongsi dan menjual benih terlindung yang dituai dari ladang mereka sendiri," katanya.

Dakwanya lagi, menerusi CPTPP, subsidi untuk nelayan boleh di sekat jika seseorang nelayan menangkap spesis ikan yang dikategorikan sebagai spesis yang berkurangan kerana terlalu banyak ditangkap.

"Tidak ada pengecualian berkenaan hal ini untuk nelayan kecil atau nelayan pantai. Peraturan ini tidak adil kerana ia meletakkan kesalahan kekurangan spesis ikan kepada nelayan kecil sedangkan punca utama kepupusan ikan adalah daripada pencemaran dan penggunaan pukat yang diharamkan oleh bot-bot tunda yang besar.

"CPTPP memberikan 10 tahun keistimewaan perlindungan pemasaran eksklusif terhadap agrokimia yang akan menyebabkan harga racun pertanian meningkat tiga kali ganda. Walaupun adalah lebih baik supaya para petani beralih kepada kaedah pertanian alami, perubahan mendadak dalam harga racun kimia boleh menyebabkan petani gulung tikar dengan lebih awal.

"Penternak pula akan menanggung kos ubatan veterinar yang lebih mahal akibat daripada undang-undang harta intelek yang lebih ketat berdasarkan bab Harta Intelek dalam teks perjanjian ini," katanya.


Artikel oleh: Berita Harian

MENTERI JAMIN PANJANGKAN ISU CPTPP KE KABINET

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/12/1045447/menteri-jamin-panjangkan-isu-cptpp-ke-kabinet

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...