Monday, August 29, 2022

PELANGGARAN SOP PUSAT PENYEMBELIHAN: PPIM, PEKEMAS HANTAR MEMORANDUM KEPADA PM - HARIAN METRO - 25/08/2022

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PEKEMAS) akan menghantar memorandum kepada Perdana Menteri bagi menyelesaikan isu membabitkan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pusat penyembelihan halal oleh sebuah syarikat di Australia.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya akan menyediakan memorandum itu secepat mungkin dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri selepas pendedahan pihaknya sebelum ini berkaitan pelanggaran SOP pusat penyembelihan terbabit masih belum diselesaikan.

Menurutnya, agensi yang diamanahkan itu perlu menyelesaikan masalah pusat penyembelihan ini dan mengambil tindakan segera kerana umat Islam di negara ini perlu mendapatkan bekalan makanan yang benar-benar halal.

"Isu penyembelihan halal ini nampaknya masih belum selesai walaupun kita sudah membuat pendedahan sebelum ini.

"Sebab itu kita membuat keputusan akan menghantar memorandum ini kepada Perdana Menteri dengan harapan mendapat perhatian dan menyelesaikan isu halal ini," katanya kepada media pada sidang media di pejabat PPIM, di sini, hari ini.

Nadzim berkata, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaaan (NGO) boleh duduk semeja berbincang dan berkoloborasi berkaitan pusat penyembelihan halal ini.

"Perlu dibuat sekarang kerana jika tidak bila lagi... patutnya berpakat dengan semua pihak dan duduk semeja mencari jalan penyelesaian," katanya.

Sementara itu, Presiden PEKEMAS, Faizan Mohd Nor berkata, kerajaan dan NGO sepatutnya bekerjasama menyelesaikan isu ini di mana pihaknya bersedia untuk membantu malah ada wakil di Australia yang boleh membuat pemeriksaan dan pemantauan pusat penyembelihan halal.


Artikel oleh: Harian Metro

PELANGGARAN SOP PUSAT PENYEMBELIHAN: PPIM, PEKEMAS HANTAR MEMORANDUM KEPADA PM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2022/08/875334/pelanggaran-sop-pusat-penyembelihan-ppim-pekemas-hantar-memorandum-kepada-pm

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...