Pelajar Dakwa Duit PTPTN ‘Dirompak’ Kolej Sendiri
KUALA LUMPUR – Sebuah kolej di Mantin, Negeri Sembilan didakwa ‘merompak’ secara senyap duit Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pelajar-pelajarnya.
Duit yang sepatutnya untuk kegunaan harian pelajar-pelajar didakwa telah diseleweng dengan kaedah ‘debit akaun’ atau dipotong terus daripada akaun apabila duit sudah dimasukkan ke dalamnya
Menurut Pengarah Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Dr. Izham Nayan, pihak kolej telah menyeleweng duit pinjaman sebanyak RM18,000 bagi setiap seorang pelajar.
“ PTPTN telah memberikan sebanyak RM56,000 sebagai pinjaman kepada pelajar untuk membayar yuran pengajian sebanyak RM36,000 dan baki pinjaman seharusnya digunakan untuk perbelanjaan pelajar sendiri.
“Tetapi baki pinjaman itu tidak diterima oleh pelajar, kemana wang itu pergi? Saya agak kecewa dengan tindakan kolej tersebut yang ‘merompak’ duit pelajar-pelajarnya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam perkembangan yang sama, Hafisza Abdul Ghani, 24, pelajar tahun akhir jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan yang mewakili pelajar-pelajar lain yang ‘ditipu’ berkata, mereka telah dipaksa untuk menandatangani satu borang ‘tambahan’ yang tidak diketahui tujuannya.
Bukan itu sahaja, katanya, pihak kolej langsung tidak memberikan masa yang cukup untuk mereka menyemak dan membaca segala peraturan pinjaman PTPTN dengan terperinci serta tidak dibenarkan bertanya dengan lanjut akan perihal borang ‘tambahan’ tersebut.
“ Kami dipaksa untuk tanda tangan borang pinjaman dan tak ada masa nak semak butir-butir pinjaman termasuklah terpaksa meniru tanda tangan ibu bapa kami. Selepas selesai proses itu, baru kami tahu borang tambahan tu sebenarnya borang kebenaran memotong duit PTPTN dari akaun kami,” terang Hafisza.
Ekoran dari ‘keterpaksaan’ menanda tangani borang pinjaman tersebut, Hafisza dan rakan-rakannya terpaksa menanggung ‘derita’ apabila tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menampung pengajiannya.
Malah, katanya, dia terpaksa bekerja sambilan untuk mencari sumber kewangan sendiri memandangkan keluarganya tidak dapat membantu meringankan beban yang ditanggung.
“Selepas proses pinjaman, duit yang masuk dalam akaun RM100 sahaja. Bayangkan, apa yang saya boleh buat dengan duit sebanyak tu selama enam bulan setiap semester?” terang Hafisza.
Sebelum ini, laporan berkenaan isu ini telah pun dibangkitkan dan dua laporan polis telah dilakukan pada hujung tahun 2010 dan awal tahun 2011, namun, tiada sebarang tindakan polis yang dikenakan terhadap pihak kolej.
Mungkin kerana takut imejnya akan terjejas, pihak kolej berkenaan ‘berjanji’ akan memulangkan semula duit ‘rompakan’ RM18,000 kepada setiap para pelajar.
Tetapi, pihak pengurusan kolej hanya membayar duit berkenaan sebanyak RM9,000 sahaja kepada lima orang pelajar sebagai menutup ‘mulut’ para pelajar dari terus menuntut hak mereka.
Pun begitu, pihak kolej sekali lagi berani melakukan penipuan ini dan terus menindas hak pelajar-pelajar dengan mengugut akan menjejaskan prestasi pembelajaran pelajar-pelajar yang terbabit.
Justeru itu, PPIM menggesa Kementerian Pengajian Tinggi tampil dan mengambil tindakan tegas terhadap kes ini demi membela nasib pelajar-pelajar di kolej tersebut – Oleh NAIMAH SHAARI / Foto Malay Mail
Sumber : http://mynewshub.my/2012/01/26/pelajar-dakwa-duit-ptptn-dirompak-kolej-sendiri/
SUMBER BERITA : SINAR HARIAN EDISI JUMAAT 27 JANUARI 2012 m/s : 18 [Lembah Kelang]
SUMBER LINK : http://www.sinarharian.com.my/nasional/kolej-swasta-rompak-ptptn-pelajar-secara-senyap-1.20309
SUMBER BERITA : BERITA HARIAN EDISI JUMAAT 27 JANUARI 2012 m/s : 4 [ Nasional]
SUMBER BERITA : HARIAN METRO EDISI JUMAAT 27 JANUARI 2012 m/s : 41A [Setempat]
1 comment:
anak saya belajar di cosmopoint pun mendapat nasib yang sama.
Post a Comment