Kerja Melibatkan Bersalaman dengan Wanita
Soalan: Saya bekerja dengan sebuah syarikat antarabangsa yang melibatkan pergaulan dengan wanita dan kadang-kadang terpaksa bersalaman dengan wanita. Saya pernah tunduk untuk mengelakkan bersalaman namun bagi wanita asing mereka akan menimbulkan persoalan yang agak negatif.
Pertama: Adakah rezeki saya dikategorikan daripada sumber yang syubhah?
Kedua: Adakah terdapat cara terbaik untuk terus bekerja di syarikat seperti ini atau perlukah saya berusaha untuk mencari peluang pekerjaan di tempat lain?
Jawapan: Pergaulan antara lelaki dan wanita di tempat kerja sudah menjadi satu fenomena biasa pada hari ini, dan tergolong dalam kategori “umum al-balwa” (bahaya dosa yang sukar dielakkan). Namun begitu tidak semua jenis percampuran dan pergaulan lelaki dan wanita di tempat kerja itu jatuh dalam kategori haram. Jika pergaulan itu dapat dikawal sebaiknya, dosa masih boleh dielakkan. Apa yang penting, semua aspek komunikasi yang meningkatkan syahwat, menggoda, mendedahkan aurat, pandangan nafsu dan sentuhan adalah antara faktor dosa yang boleh berlaku di tempat kerja.
Walaupun begitu, gaji seseorang tidak semestinya menjadi haram disebabkan tingkah laku dosanya di tempat kerja kecuali apabila ia culas dan “mencuri tulang” semasa melaksanakan tugasan utamanya.
Sebagi contoh, seorang yang bertugas selaku pensyarah IT di sebuah universiti, tentu gajinya halal. Malah sekiranya dia culas dan melakukan maksiat seperti tidak solat, bergaul bebas dengan wanita di tempat kerja, gajinya masih halal. Hal ini kerana maksiat itu bukanlah bidang tugasnya, cuma perbuatan maksiat itu adalah dosa secara berasingan dan secara tidak langsung boleh memberi kesan kepada rezeki dan keberkatan pendapatannya. Namum jika si pensyarah ponteng daripada tugasan mengajarnya tanpa sebab munasabah, menyelewengkan anak muridnya semasa pengajiannya, tatkala itu gajinya boleh berubah menjadi haram.
Adapun isu berjabat tangan antara lelaki dengan wanita telah lama diperdebatkan dalam kalangan ulama. Majoriti mazhab dan ulama kontemporari berpandangan ia haram kerana ia tergolong dalam kategori perilaku yang boleh membawa kepada zina. Allah secara jelas telah melarang kita agar jauhkan diri daripada mendekati zina.
Selain itu, terdapat beberapa hadis lain yang menyokong ijtihad ulama ini seperti hadis bahawa Nabi tidak pernah menyentuh wanita bukan mahram hatta ketika berbalah. Ada hadis yang menyatakan besi di atas kepala lebih baik daripada sentuhan dengan wanita bukan mahram dan sebagainya. Namun, saya tidak berhasrat untuk memanjangkan perbincangan berkenaannya dalam ruangan terhad ini.
Ada sebahagian kecil ulama khususnya ulama kontemporari, berpandangan berjabat tangan lelaki dan wanita dibenarkan tanpa syahwat, yang dimulai oleh orang lain (bukannya kita). Contohnya wanita bukan Islam menghulurkan tangan di hadapan orang ramai yang mana jika tidak disambut boleh mengaibkannya, dan beberapa syarat lagi.
Apa pun hujah kedua-dua pihak, berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram bukanlah amalan Rasulullah dan para sahabat serta para solihin. Namun begitu, jika berlaku dalam kerjaya seseorang, kehalalan gaji seseorang tidak tertakluk kepada hal tersebut tetapi gajinya tertakluk kepada bidang tugas utama dalam kejayanya dan cara perlaksanaan yang dilakukan. Jika dilakukan secara “culas” dan sambil lewa, status halal gajinya akan terkesan.
Berkenaan sama ada perlu atau tidak berhenti kerja kerana hal itu, saya kira tidak perlu. Apa yang perlu dilakukan adalah cuba mengawal aktiviti yang melibatkan dosa itu dan elakkan daripada kekerapan berlakunya. Pada masa yang sama memperbanyakkan istighfar dan taubat secara berterusan. Namun, jika ada kemudahan dan peluang untuk mendapat kerjaya lain yang lebih minimum terdedah dengan hal sedemikian, sudah tentu ia lebih baik unutk berhijrah.
Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Sumber: Solusi Isu#20, 2010
No comments:
Post a Comment