Tuesday, April 28, 2026

AJK SURAU TAMAN SERAYA BUAT 10 LAPORAN POLIS BERKAITAN GANGGUAN - UTUSAN MALAYSIA - 24/04/2026

 

AMPANG: Ahli Jawatankuasa (AJK) Surau Taman Seraya membuat 10 laporan polis berkait dakwaan gangguan yang dibuat seorang penduduk di kawasan tersebut.

Pengerusi Surau Taman Seraya, Abdullah Sulaiman berkata, laporan itu dibuat selepas beberapa isu dibangkitkan penduduk terbabit termasuk bantahan laungan azan serta solat Jumaat.

Katanya, individu berkenaan telah menghantar mesej melalui WhatsApp secara peribadi yang disifatkan sebagai gangguan kepada AJK surau.

“Pertama, mereka mengatakan azan yang dilaksanakan sekarang ini mengganggu. Kedua, solat berjemaah yang telah diumumkan diminta untuk ditutup. Ketiga, persiapan ruang luar untuk solat juga tidak dipersetujui sehingga kami diminta tidak memasang lampu.

“Jadi, kita mengambil keputusan untuk membuat laporan polis susulan wujudnya beberapa bentuk gangguan yang disifatkan bermotifkan isu agama, raja dan kaum (3R),” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah, di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid), Masridzi Sat; Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah dan Presiden

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Dalam sidang akhbar berasingan, Abdullah turut berkata, perkara itu sudah berlarutan sejak lima tahun lalu dan mendakwa sebelum ini terdapat kerosakan yang berlaku dalam surau berkenaan.

“Perkara itu (kerosakan dalam surau) berlaku cuma saya berpendapat perkara itu tidak ada kesahihan tentang siapa yang membuatnya dan rakaman Kemera Litar Tertutup (CCTV), maka sebab itu saya rasa tidak perlu buat laporan. Tetapi perkara itu memang berlaku sebab kita dapati kesan wayar bawah speaker di dinding dipotong.

“Hasil daripada perkara itu, pihak polis mencadangkan ada CCTV, sebab itu sekarang baru ada CCTV. Maksudnya mungkin kelalaian daripada pihak kami, maka sebab itu kami tidak tahu siapa yang potong. Tetapi perkara itu memang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, Mohd. Firdaus Babh berkata, pihaknya cuba mencari jalan terbaik bagi memelihara keharmonian masyarakat di kawasan berkenaan.

“Pejabat ADUN tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana NGO yang datang membantu kerana kita bersama-sama dan di peringkat DUN juga, setelah kami mendapat mesej dan minit mesyuarat, kami mengambil keputusan perkara ini terlalu serius, kemudian kami mendapat nasihat daripada pihak berkuasa untuk menangguh dan membatalkan program pada esok hari,” katanya.

Menurut jadual awal, sesi dialog melibatkan isu Surau Taman Seraya akan diadakan esok di Dewan Komuniti Taman Muda, namun dibatalkan atas faktor keselamatan.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

AJK SURAU TAMAN SERAYA BUAT 10 LAPORAN POLIS BERKAITAN GANGGUAN

https://www.utusan.com.my/nasional/2026/04/ajk-surau-taman-seraya-buat-10-laporan-polis/

No comments:

PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL