SUBANG JAYA - Gabungan 11 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan melaksanakan moratorium segera terhadap Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang dijadual dikuatkuasakan esok, bagi memberi ruang kepada kajian menyeluruh dilakukan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, gesaan itu dibuat bersama beberapa organisasi lain bagi memastikan pelaksanaan akta berkenaan benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan.
Beliau berkata, gabungan itu mengambil maklum usaha kerajaan memperkenalkan rangka perundangan khusus bagi sektor ekonomi gig sebagai langkah memperkukuh perlindungan sosial serta tadbir urus industri yang semakin berkembang.
“Namun, berdasarkan penelitian awal serta maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh di lapangan, masih terdapat beberapa aspek yang memerlukan penelitian dan penambahbaikan sebelum pelaksanaan menyeluruh dapat dilaksanakan secara efektif,” katanya semasa sidang media Tuntutan Moratorium Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) di Wisma MTUC di sini pada Isnin.
 |
| Kamarul Baharin (kanan) pada sidang media, Isnin. Foto Sinar Harian - ROSLI TALIB |
Antara yang hadir, Pemangku Presiden, Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia, Datuk Mohammed Dauzkaply Nor l Ghazali dan Ketua Aktivis, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.
Gabungan itu terdiri daripada 11 organisasi mewakili pelbagai segmen dalam ekosistem ekonomi gig termasuk MTUC, PPIM dan Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM).
Gabungan turut dianggotai pertubuhan mewakili pekerja e-haili ng dan p-hailing seperti Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead Malaysia), Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH) dan Pertubuhan Tenaga GiG Melaka (Tenaga GiG Melaka).
Manakala wakil dari sektor digital dan komuniti penghantar tempatan termasuk Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM), Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), Persatuan Rakan Penghantar Kedah (RPK) dan Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak (PKPPBP) turut menyertai gabungan itu.
Kamarul Baharin berkata, antara isu kritikal dikenal pasti adalah takrifan pekerja gig di bawah Seksyen 2 yang disifatkan terlalu umum dan berpotensi menyebabkan lambakan tenaga kerja serta menekan pendapatan pekerja tempatan.
Ujarnya, peruntukan itu juga dilihat bertindih dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta berisiko membuka ruang kepada penyalahgunaan akaun sekiranya mekanisme penguatkuasaan tidak diperjelaskan.
"Selain itu, penubuhan Tribunal Pekerja Gig di bawah Seksyen 22 hingga 30 disifatkan belum matang dari segi bidang kuasa, struktur dan prosedur pelaksanaan, selain berpotensi bertindih dengan mekanisme penyelesaian pertikaian sedia ada.
“Tiada kepastian sama ada tribunal ini akan diwujudkan di seluruh negara atau hanya di Putrajaya, sekali gus boleh meningkatkan kos kepada pengadu,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, Majlis Perundingan Gig pula dilihat hanya berfungsi sebagai badan nasihat tanpa kuasa keputusan yang mengikat, selain menimbulkan persoalan ketelusan dalam pelantikan ahli serta ketiadaan jaminan keterwakilan sebenar pekerja gig.
Katanya, prosedur penyahaktifan akaun di bawah Seksyen 14 juga berpotensi melambatkan tindakan terhadap kes serius dan menjejaskan kepercayaan pengguna terhadap keselamatan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.
“Peruntukan hak berpersatuan di bawah Seksyen 10 turut dilihat mewujudkan pertindihan saluran representasi tanpa kuasa rundingan kolektif yang mengikat, berbeza dengan kesatuan sekerja di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967,” katanya.
Kamarul Baharin berkata, MTUC juga akan membawa isu itu ke Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) susulan dakwaan pelanggaran hak pekerja termasuk kebebasan berpersatuan dan rundingan kolektif.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemformalan sektor gig melalui akta berkenaan berpotensi mendedahkan pekerja kepada kewajipan cukai tanpa jaminan perlindungan pendapatan atau sokongan kewangan setara.
Ujarnya, proses libat urus juga dipersoalkan kerana dilihat tidak menyeluruh dan tidak telus, selain membangkitkan isu integriti apabila melibatkan entiti yang hanya didaftarkan secara rasmi pada 2 Mac 2026.
“Perkara ini menimbulkan persoalan bagaimana dasar melibatkan lebih 1.2 juta penggiat ekonomi gig boleh dirangka dengan penglibatan entiti yang belum mempunyai status perundangan jelas ketika itu,” ujarnya.
Selain itu, gabungan berkenaan turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan premium insurans komersial dalam sektor e-hailing yang disifatkan memberi tekanan langsung kepada pendapatan pekerja serta berpotensi meningkatkan kos kepada pengguna.
Sehubungan itu, gabungan berkenaan mengemukakan beberapa tuntutan termasuk melaksanakan moratorium terhadap Akta 872, menubuhkan platform libat urus berstruktur atau mekanisme 'sandbox', menjalankan penilaian impak menyeluruh serta memastikan sebarang pindaan mengambil kira prinsip keadilan dan keseimbangan pasaran.
“Kami kekal komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan Kerajaan Madani dan semua pemegang taruh dalam memperkukuh ekosistem ekonomi gig negara demi kepentingan bersama,” tambahnya.
Artikel oleh: Sinar Harian
11 NGO DESAK MORATORIUM AKTA PEKERJA GIG 2025
https://www.sinarharian.com.my/article/773468/berita/nasional/11-ngo-desak-moratorium-akta-pekerja-gig-2025