Monday, April 3, 2023

JANGAN SAMPAI PENCARUM TERKESAN BUNUH DIRI - UTUSAN MALAYSIA - 03/04/2023

 

PETALING JAYA: Kerajaan diminta untuk terus tidak membiarkan rakyat terutamanya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terkesan untuk meneruskan kelangsungan hidup mengambil tindakan bunuh diri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ini kerana tekanan emosi dan masalah yang dihadapi boleh mengakibatkan seseorang itu mengambil tindakan di luar jangkaan.

“Kami ini terima aduan pelbagai, sesetengah itu sudah dalam keadaan terlalu teruk di mana terkesan dengan kehidupan melibatkan cerai berai dan pergaduhan.

“Pihak bank menekan, sewa rumah, keperluan persekolahan anak-anak, jadi terlalu banyak masalah yang dihadapi rakyat.

“Oleh itu, kita bukan mahu paksa keluarkan caruman KWSP, tetapi merayu kepada pihak kerajaan supaya badan baitulmal, masjid atau surau boleh wujudkan tabung untuk bantu dan perlu ada jawatankuasa menilai masalah rakyat yang perlu ditangani, tak akan mahu tunggu sampai ada yang bunuh diri?” Soalnya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pencarum dilaporkan sanggup berjalan kaki dari Tol Skudai menuju ke Istana Negara bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP.

Menurut pemandu teksi, Norazlan Ismail, 49, misi itu dilaksanakan supaya kepayahannya disedari pihak atasan kerajaan terutama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pengeluaran itu mungkin boleh selamatkan rumah tangga dan keluarganya.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, jawatankuasa bertindak khas bagi menilai dan menangani masalah yang dihadapi itu perlu serius untuk melihat kaedah dan membantu masalah yang dihadapi mereka.

Katanya, langkah yang diteliti jawatankuasa itu juga perlu disegerakan supaya dapat memberi impak atau sekurang-kurangnya harapan kepada mereka yang terkesan.

“Masalah kos sara hidup memang ada, tetapi yang kaya tetap kaya juga. Bukan mahu merungut, tetapi itu perlunya susun atur berkesan supaya manfaat itu sampai.

“Contohnya, mungkin kerajaan boleh hentikan import beberapa senarai barang seperti halia, serai dan kunyit. Jadi jawatankuasa itu boleh jadi satu pusat permudahkan mereka terjejas tanam tanaman itu dengan bantu apa yang patut.

“Semua ini kena ada kesungguhan bersungguh-sungguh untuk melepaskan orang kita dalam masalah dihadapi.

“Kalau sebelum ini kita bercerita tentang pesawat MAS, MH370…hari-hari ada perkembangan, jadi masalah ini melibatkan satu negara dan bukan satu pesawat sahaja. Maka, perlu serius diambil secara tegas dan dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

JANGAN SAMPAI PENCARUM TERKESAN BUNUH DIRI

https://www.utusan.com.my/nasional/2023/04/jangan-sampai-pencarum-kwsp-terkesan-bunuh-diri/

No comments:

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...