Headline: Gundah
diburu 20 ceti haram
Publication: Harian Metro
Date of publication:
Jul 14, 2012
Section heading:
Main Section
Page number: 058
Byline / Author:
Oleh Yusmizal Dolah Aling
KUALA LUMPUR: Kerana
tertarik dengan tawaran mendapatkan pakej sebuah Toyota Camry, Vios, Myvi,
kerusi urut dan sistem teater rumah pada harga RM45,000 daripada peraduan gores
dan menang, seorang pesara syarikat swasta bukan saja menipu keluarga untuk
berhutang dengan along, malah dia juga berputih mata apabila diperdaya kononnya
mendapat pulangan sehingga setengah juta ringgit.
Akibatnya, dia kini
berdepan ancaman 20 ceti haram yang memburunya untuk mendapatkan jumlah
pinjaman dibuat semata-mata membiayai pakej anjuran syarikat itu biarpun
hakikatnya dia hanya memperoleh peralatan bernilai tidak sampai RM10,000.
Mangsa yang mahu
dikenali sebagai Samad, 50-an berkata, dia terjebak dengan sindiket terbabit
selepas mendapat panggilan telefon Mei lalu mengatakan dia terpilih memenangi
pakej VIP terbabit menerusi cabutan bertuah satu peraduan.
Tertarik dengan
keuntungan terbabit, dia bersetuju untuk memasukkan wang sebagai proses
permulaan untuk mendapatkan kereta mewah berkenaan pada harga serendah RM20,000
dengan jaminan ia boleh dijual semula di pasaran dengan harga RM180,000.
Samad berkata, dua
individu dipercayai ejen syarikat berkenaan memaklumkan dia perlu melunaskan
sebahagian daripada jumlah keseluruhan pakej bagi membolehkan kereta itu
didaftarkan atas namanya namun disebabkan kekurangan wang dia meminjam ceti
haram.
"Permulaannya
saya menyerahkan geran tanah di Kampung Tawakal, Kempas Johor kepada along
untuk mendapatkan sedikit wang dan saya serahkan kepada dua individu itu.
"Tidak lama
kemudian, saya dimaklumkan perlu segerakan bayaran untuk membolehkan saya
mendapat keseluruhan pakej pada harga istimewa dengan jaminan pulangan lumayan.
Selepas itu, saya meminjam dan tanpa disedari saya berurusan dengan 20 along
serentak," katanya ketika membuat kepada Pegawai Unit Tindakan Khas
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yati Saharudin, baru-baru ini.
Menurutnya, dia
menyembunyikan perkara itu daripada pengetahuan keluarga sehingga tidak dapat
menguruskan hutang pinjaman RM152,000 menyebabkan dia menjual kereta, van dan
barang kemas isterinya.
"Saya kini
takut untuk keluar rumah kerana bimbang ancaman along, malah wang simpanan
termasuk dokumen berkaitan seperti pengenalan diri disimpan ahli keluarga
terdekat sebagai langkah pencegahan supaya saya tidak lagi terjebak"
katanya.
Sementara itu, Yati
berkata, PPIM menjalankan siasatan awal berdasarkan aduan terbabit dan
mendapati alamat tertera di baucar hadiah itu sebuah kedai runcit yang
beroperasi di Singapura.
Katanya, pihaknya
juga mengadakan perbincangan dengan along terbabit bagi mendapatkan semula
geran tanah dan rumah milik Samad hasil bantuan ahli keluarganya yang
mengumpulkan wang untuk melunaskan pinjaman itu.