Sunday, January 16, 2011

BINCANG [sim] INFO : Dr Asri: Benarkan Hanya Azan di Pembesar Suara


Date: 2011/1/15
Subject: [sim] INFO : Dr Asri: Benarkan Hanya Azan di Pembesar Suara


Mohd Asri Zainul Abidin


Saya ingin mengulas sedikit tentang bacaan-bacaan -selain azan - yang menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang ramai. Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan Islam sehingga mereka menyangka ia azan.

Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan. Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah 'perjuangan mempertahankan Islam'. Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

• Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi Muhammad SAW. Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

• Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau mereka tidak difardukan solat seperti wanita yang haid atau bukan Islam dan lain-lain.

 
Keliru antara azan dan bacaan lain


• Ramai orang bukan Islam keliru antara azan dan bacaan-bacaan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

• Sebenarnya, Nabi sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Baginda, kata Abu Sa'id al-Khudri:

"Ketika Nabi Muhammad SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: "Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat" (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).


Dalam hadis ini Nabi Muhammad SAW melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain.

Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis ini dengan katanya:

"Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid).



Dosa menyakiti sesiapa di sekeliling


"Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa.. tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid.. dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini.. boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara.

"Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya". (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).


Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Arab Saudi yang penduduknya semua beragama Islam. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita?



Tipu daya iblis

• Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

"Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajjud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara munkar". ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

• Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu politik semata, tetapi itu arahan Nabi s.a.w. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.

Penulis adalah bekas mufti Perlis. Profesor Madya Dr Asri adalah juga pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia.

__._,_.___

14 comments:

Unknown said...

Slm, sy stuju dgn apa yg ditulis oleh Dr Asri.. hrp umat islam bljr dahulu sblm mmbuat sesuatu... rujuk Al-Quran, hadis dan para ulama'..

Unknown said...

betul tu...segala kemusykilan hendaklah merujuk kepada 4 rujukan yang utama dalam islam: al-quran, sunnah, ijma' dan qias....

Unknown said...

seharusnya semua pihak menghormati dan tidak mempertikaikan kebebasan beragama di negara majmuk ini.

Bagi kaum bukan Islam azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam. Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang.

seluruh umat Islam tidak boleh menerima dan merasa terpukul dengan arahan seorang peguam yang meminta suara azan diperlahankan kerana ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

Unknown said...

saya sokong rakyatgusar.....umat islam hendaklah bersatu menegakkan Islam

hijau said...

ya sy sokong dgn rakyatgusar..knape org buat konsert yg membisingkan blh dbiarkan tp azan utk memgil umat islam solat, dpertikaikan..adakah semua ulamak di Malaysia tlah bsetuju dgn isu ini?

wa ya sin said...

Rakyat Gusar Kata

"Bagi kaum bukan Islam azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam. Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang."

TIDAK SETUJU! kerana
1) Azan adalah dimiliki oleh Allah sebagaimana Doa " Allah Tuhan yang Memiliki (Rabba) Seruan azan ...." Terjemahan "yang mensyariatkan seruan azan" tidak tepat.

2) Azan adalah seruan untuk bersolat bukan menandakan masuk watu. Itu adalah ajaran RTM bukan ajaran Allah dan Rasul.

3) Tidak boleh meyamakan Islam dengan agama lain dalam apa saja. Apa saja ajaran Islam tidak sama dengan ajaran agama lain, kerana Nabi bersabda " Alislam mu yukla wala yuklaalai'" yakni "Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengatasinya"

4) Kenapa Azan tidak mengetarkan orang kafir? Sebab azan hanya di anggap tanda masuk waktu. Cuba bayangkan sekiranya azan tamat maka umat islam berduyung2 ke masjid, yang berkereta, yang berjalan, yang makan berhenti masuk masjid dan berjamaah. Memperlihatkan kesatuan umat islam dan Keramatnya seruan itu!. Mana mungkin kafirun akan buka mulut. Tepuk dada tanya dimana kita solat? sendirian berhad saja.

5) Kuat mana pun kita azan umat zaman ini tidak menghendahkan azan. Apa kita sensitif sangat kalau si kapir komplain? Sepatutnta kita sensitif dengan azan dengan bersegera berjamaah.

-->> Umat islam suka merekayasa ajaran islam! Azan pun mereka nak buat innovasi!. Gigitlah sunnah dengan Geraham!.

-->> Umat Islam perlu buat koreksi semula amalan2 yang di lakukan. Sebab kebanyakan orang islam belajar islam cuma masa di sekolah untuk PMR dan SPM saja.

Unknown said...

bagi saya, saya bukan expert dlm hal2 hukum haram ni..tapi kalo kita berpegang pd sumber hukum utama dlm Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak ulamak dan qias InsyaAllah kita tidak akan terpesong..

Unknown said...

Adakah kita ingin Malaysia menjadi seperi Singapura
kita perlu mempertahankan agama islam ini, firman ALLAh dalam surah Al imran: إن الدين عند الله الإسلام..

Unknown said...

saudara ibn ahmad:

"Bagi kaum bukan Islam azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam. Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang."

saya x kata agama islam sama dengan agama lain.."sesungguhnya Agama disisi(diredai) Allah itu adalah agama Islam.."

'sama' disini bermaksud stiap agama 2 ada ritual masing-masing..Kita tidak menghina dan melarang mereka melakukan adat dan amalan tersebut.

Islam sendiri tidak mengajarkan untuk menghina agama lain. bahkan, Islam melarang ummatnya untuk menghina dan merendahkan agama, pengikut atau tuhan-tuhan mereka walaupun itu terdapat sebuah kebaikan. akan tetapi, bahaya dan keburukan yang akan ditimbulkan jauh lebih besar kerana mereka akan menyerang kembali dan menghina Islam serta Allah tanpa ilmu. Allah berfirman :

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Artinya : "Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan." (QS Al-An'am : 108).

Unknown said...

sokong dengan pendapat rakyatgusar....memang Allah melarang hambaNya menghina agama lain....

miss said...

betul kata ott..Kenapa kiter nk hina agama lain..Tambahan Malaysia ini merupakan negara Islam

mutiara hati said...

Allahhu akbar...

azie2121 said...

Ibnu Ahmad: I cant agree with you more.

Hanya kerana orang berugama lain menguatkan seruan agama mereka atau seumpamanya, janganlah kita plak menggunakan logik bahawa kita pn harus buat macam mereka, seolah2 kita mengikut rentak diorg plak. Islam ada identiti sendiri. Tak boleh disamakan dg agama lain.

Azan adalah syiar Islam tapi biarlah "disyiarkan" secara Islam. Bukan sbb nak melawan org len. Tunjukkanlah apa Islam yang sebenar, bukan Islam berdasarkan emosi.

Mohd Yusup said...

Assalamualaikum..saya menyokong tulisan IBNU AHMAD, beliau menulis,

4) Kenapa Azan tidak mengetarkan orang kafir? Sebab azan hanya di anggap tanda masuk waktu. Cuba bayangkan sekiranya azan tamat maka umat islam berduyung2 ke masjid, yang berkereta, yang berjalan, yang makan berhenti masuk masjid dan berjamaah. Memperlihatkan kesatuan umat islam dan Keramatnya seruan itu!. Mana mungkin kafirun akan buka mulut. Tepuk dada tanya dimana kita solat? sendirian berhad saja.

5) Kuat mana pun kita azan umat zaman ini tidak menghendahkan azan. Apa kita sensitif sangat kalau si kapir komplain? Sepatutnta kita sensitif dengan azan dengan bersegera berjamaah.

dan tambahan pada pendapat saya, orang lain tidak menghormati ISLAM kerana ramai diantara saudara-saudara ISLAM kita secara terang-terangan menghina ISLAM itu sendiri dari segi cara berpakaian, pergaulan, pertuturan dan kehidupan seharian.
Wallahualam.

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...