Saturday, August 30, 2025

'TOLONG SIASAT BAGAIMANA TANAH RIZAB MELAYU DI PERAK DIPINDAH MILIK KEPADA BUKAN BUMIPUTERA' - PPIM - BERITA HARIAN - 29/08/2025

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung pemindahan tanah rizab Melayu (TRM) kepada syarikat bukan Bumiputera yang didakwa berlaku di Perak.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya menerima beberapa aduan mengenai perkara itu yang turut terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.

Beliau berkata, siasatan mendapati tanah milik agensi kerajaan yang terletak di dua kawasan di Perak dipindah milik dalam bentuk saham kepada dua syarikat bukan Bumiputera.

Katanya, lebih mengejutkan sebahagian besar tanah itu sudah diberi kebenaran pecah lot untuk tujuan perumahan dan dijual kepada bukan Melayu.

"Penukaran tanah dilakukan melalui pemindahan saham syarikat kerana tanah dimiliki syarikat. Jadi, sesiapa saja boleh membeli tanah itu termasuk bukan warganegara melalui pertukaran saham syarikat, walaupun ia TRM.

"Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis perlu menyiasat perkara ini sama ada berlaku salah laku atau pemalsuan kerana memang jelas TRM tidak boleh dipindah milik kecuali mendapat kebenaran atau kelulusan pihak berkuasa," katanya selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Menara KPJ di sini, hari ini.

Pada 2023, media menyiarkan laporan mengenai pengurusan TRM di Perak dikesan kurang cekap sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 3,214 hektar tanah status itu dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah.

Tindakan itu bertentangan dengan Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu 142 dan tidak mengikut Seksyen 419 Kanun Tanah Negara.

Nadzim berkata, PPIM juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menuntut satu siasatan menyeluruh dijalankan pihak berkuasa bagi mengenal pasti sama ada terdapat penipuan, pemalsuan dokumen serta salah guna kuasa oleh pihak tertentu.

Katanya, menjadi persoalan pihaknya bagaimana TRM boleh dipindah milik kepada bukan Melayu dan siapa yang meluluskan pemindahan itu.

"Kami meminta JSJK menyiasat dengan telus dan jujur supaya hak orang Melayu dipelihara serta tidak digadai kepada bukan Melayu dengan menerima suapan," katanya.

Nadzim berharap pihak terbabit dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau kuasa, jika didapati wujud kelakuan jenayah.

Artikel oleh: Berita Harian

'TOLONG SIASAT BAGAIMANA TANAH RIZAB MELAYU DI PERAK DIPINDAH MILIK KEPADA BUKAN BUMIPUTERA' - PPIM

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1439715/tolong-siasat-bagaimana-tanah-rizab-melayu-di-perak-dipindah-milik

Friday, August 29, 2025

TANAH RIZAB MELAYU PERAK 'BOCOR' KE TANGAN BUKAN BUMIPUTERA, PPIM DESAK POLIS BERTINDAK - THE MERDEKA TIMES - 29/08/2025

 

  • Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, siasatan awal mendapati tanah milik sebuah agensi kerajaan di dua kawasan di Perak telah dipindahkan dalam bentuk saham kepada dua syarikat bukan Bumiputera.
  • “Lebih mengejutkan, sebahagian besar tanah itu sudah mendapat kebenaran pecah lot untuk tujuan perumahan dan dijual kepada bukan Melayu. Penukaran ini berlaku melalui pemindahan saham syarikat kerana tanah dimiliki syarikat. Jadi sesiapa sahaja boleh membeli tanah itu, termasuk bukan warganegara, walaupun ia berstatus TRM,” katanya.
  • PPIM sudah membuat laporan polis berhubung isu berkenaan dan menuntut siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur penipuan, pemalsuan dokumen atau salah guna kuasa.

AKTIVITI | KOPERASI PASMEB & PPIM JALINKAN KERJASAMA PROJEK PENANAMAN NENAS - PPIM - 28/08/2025

28 Ogos 2025 - Satu perjanjian kerjasama telah dimeterai antara Koperasi Pasmeb Berhad dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia bagi melaksanakan projek penanaman nenas.


BAHAYA PRODUK TIRUAN: PRISTIN DEDAH MINYAK IKAN PALSU JEJAS KESIHATAN RAKYAT! - AATVNEWS - 28/08/2025


KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2025 – PRISTIN, peneraju suplemen minyak ikan premium di Malaysia, mengecam keras penjualan berleluasa produk tiruan PRISTIN® yang didapati dijual di beberapa platform e-dagang utama negara.

Syarikat itu mendedahkan bahawa penjual tidak sah menawarkan produk palsu pada harga yang jauh lebih rendah daripada pasaran, sekali gus menimbulkan risiko kesihatan serius kepada pengguna, katanya ketika ditemui Media di Ibu Pejabat PPIM disini hari ini.

“Ini bukan sekadar isu perniagaan, tetapi satu ancaman besar terhadap kesihatan awam. Produk tiruan mengandungi bahan berbahaya yang boleh mengakibatkan komplikasi serius,” tegas wakil PRISTIN, Holista.

PRISTIN turut menegaskan bahawa produk asli mereka melalui kawalan kualiti ketat dan piawaian keselamatan antarabangsa, berbanding produk tiruan yang tidak disahkan kandungannya serta berpotensi mengandungi toksin berbahaya.

Sehubungan itu, PRISTIN menyeru:

Platform e-dagang untuk segera menurunkan penyenaraian produk tiruan dan memperketat kawalan penjual.

Pihak berkuasa seperti KKM, KPDNHEP, MCMC, dan polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan tegas ke atas penjual dan pengeluar produk tiruan.

Pengguna agar lebih berwaspada dan hanya membeli PRISTIN asli di rangkaian rasmi seperti Watsons, Guardian atau farmasi berdaftar.

PRISTIN juga menasihatkan orang ramai untuk memeriksa bungkusan, label pengesahan, dan tidak mudah terpedaya dengan harga terlalu murah yang tidak masuk akal.

“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada suplemen yang asli, selamat, dan berkesan,” tambah kenyataan itu.

PRISTIN memberi jaminan akan terus memperjuangkan keselamatan pengguna dan memastikan penjualan produk tiruan dihapuskan sepenuhnya dari pasaran dalam talian Malaysia.

#PRISTINAsli #LindungiKesihatan #TolakProdukTiruan #MinyakIkanPremium #KesihatanAwam

Artikel oleh: AATV News

BAHAYA PRODUK TIRUAN: PRISTIN DEDAH MINYAK IKAN PALSU JEJAS KESIHATAN RAKYAT!

https://aatvnews.com/?p=15410

LAMBAKAN MAKANAN TAMBAHAN TIRUAN DI PLATFORM E-DAGANG - PPIM - BERITA HARIAN - 28/08/2025


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa platform e-dagang dibanjiri produk makanan tambahan tiruan dipercayai boleh menjejaskan tahap kesihatan jika diambil terlalu lama.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya kerap mendapat aduan daripada pengguna berkenaan penjualan produk sedemikian sejak beberapa tahun ini.

Malah katanya, ada juga penjual yang berani menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mempromosikan produk tiruan yang dijual.

"Masih ramai tidak tahu yang sebenarnya terlalu banyak produk makanan tambahan yang dijual menerusi platform e-dagang adalah tiruan kerana ia berjaya ditiru dengan baik.

"Jadi sebagai langkah keselamatan, pengguna dinasihatkan supaya tidak membeli sebarang makanan tambahan menerusi platform e-dagang terutama dari penjual yang menjual pelbagai jenis barangan.

"Ini bagi mengelak daripada kesihatan terjejas kerana kita tidak tahu apa isi kandungan makanan tersebut dan di mana ia dibuat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau percaya, tindakan penjual yang menjual produk makanan tambahan tiruan adalah untuk mendapatkan wang yang mudah kerana kebanyakan produk yang dijual tidak berkualiti dan dijual dengan harga lebih murah daripada asal.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan mungkin juga ada segelintir penjual yang tidak tahu produk dijual ada tiruan.

"Justeru, saya minta supaya agensi berkaitan mengambil tindakan dalam mengatasi isu ini segera kerana ia sudah lama dan membabitkan isu kesihatan," katanya.

Sementara itu, wakil syarikat pengeluar minyak ikan, Datuk Dr Rajen Manicka, berkata dua minggu lalu pihaknya mendapat aduan daripada pengguna berkenaan produk tiruan yang dijual di platform e-dagang.

Katanya, tanpa membuang masa pihaknya membeli produk berkenaan yang dijual dengan harga RM38 berbanding harga asal antara RM74 hingga RM101 dan menjalankan ujian di makmal untuk mengetahui isu kandungannya.

"Apa yang mengejutkan, hasil ujian mendapati isi kandungan dalam kapsul yang dijual di platform e-dagang itu mengandungi minyak susu soya dan tiada langsung minyak ikan.

"Minyak susu soya mempunyai kandungan toksin yang tinggi dan jika diambil terlalu lama, boleh menyebabkan keradangan, kolesterol dan kanser," katanya yang sudah membuat laporan polis semalam.

Rajen berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu yang menjual produk tiruan lengkap dengan Pensijilan Halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, produk syarikatnya memang disahkan mempunyai Pensijilan Halal JAKIM dan pengguna tidak perlu ragu-ragu.

"Bagaimanapun, produk tiruan berkenaan sudah pasti menggunakan logo palsu dan tidak diketahui isi kandungannya selain tidak tahu di mana ia dibuat.

"Saya percaya pihak yang membuat produk tiruan ini bukan syarikat kecil kerana berjaya menghasilkan produk yang hampir saya dengan produk kami," katanya.

Katanya, pihaknya juga sudah membuat aduan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk mengetahui siapa dalang di sebalik pembuatan produk tiruan itu.

Selain itu katanya, pihaknya juga sudah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Jadi saya berharap, orang ramai tidak lagi membeli produk minyak ikan dari platform e-dagang dan hanya membelinya dari farmasi di seluruh negara bagi mengelak sebarang masalah kesihatan," katanya.

Artikel oleh: Berita Harian

LAMBAKAN MAKANAN TAMBAHAN TIRUAN DI PLATFORM E-DAGANG - PPIM

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/08/1439234/lambakan-makanan-tambahan-tiruan-di-platform-e-dagang-ppim#google_vignette

Thursday, August 28, 2025

AKTIVITI | MAJLIS HI-TEA HARMONI PRIHATIN MALAYSIA (HPM) - MERDEKA UNTUK GAZA - PPIM - 28/08/2025

Sekitar Majlis Hi-Tea Harmoni Prihatin Malaysia (HPM) - Merdeka Untuk Gaza yang dihadiri oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi.

SUPLEMENT PALSU DI PASARAN - SIDANG MEDIA PPIM - 28/08/2025

Baru-baru ini PPIM telah menerima aduan mengenai tindakan beberapa penjual tidak sah dalam talian yang menawarkan produk tiruan PRISTIN®️ pada harga yang rendah serta kualiti yang meragukan. 

Menurut PRISTIN, bahan tiruan ini tidak melalui kawalan kualiti ketat dan piawaian keselamatan yang ditetapkan untuk produk asli. 

Memandangkan isu ini memberikan ancaman dan membahayakan pengguna, satu sidang media telah diadakan bagi memberikan penjelasan yang lebih lanjut mengenai produk ini dan kemudaratan yang bakal dihadapi pengguna akibat pengambilannya.

Panel kehadiran sidang media terdiri daripada Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi, Pengarah PRISTIN, Dato' Dr Rajen Manicka, Ketua Pegawai Eksekutif PRISTIN, Mr Leong Man Loong dan Pengurus Besar MADSA, En James Pereira.

Wednesday, August 27, 2025

PPIM TIDAK IKTIRAF GEM, TIADA SEBARANG HUBUNGAN KERJASAMA - HARIAN METRO - 26/08/2025

 

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan pihaknya tiada kaitan dengan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) seperti heboh diperkata sejak kebelakangan ini.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, GEM pernah bernaung di bawah PPIM ketika awal penubuhan, namun selepas itu bergerak sendiri tanpa rujukan atau nasihat daripada pihaknya.

"PPIM tidak mengiktiraf GEM dalam apa-apa kapasiti memandangkan segala keputusan dan tindakan mereka dibuat tanpa merujuk kepada kami.

"PPIM juga tidak mempunyai sebarang hubungan atau kerjasama dengan GEM pada masa ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati GEM a dalah gabungan tidak berdaftar, sekali gus tidak diiktiraf di sisi undang-undang serta kerajaan.

"Oleh itu, sebarang kenyataan atau tindakan yang cuba mengaitkan PPIM dengan GEM adalah tidak benar dan mengelirukan masyarakat.

"PPIM kekal memperjuangkan hak pengguna Islam di Malaysia dan memastikan masyarakat tidak terkeliru dengan pihak yang menggunakan nama PPIM tanpa kebenaran," katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM TIDAK IKTIRAF GEM, TIADA SEBARANG HUBUNGAN KERJASAMA

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/08/1257031/ppim-tidak-iktiraf-gem-tiada-sebarang-hubungan-kerjasama

PPIM NAFI ADA KAITAN DENGAN GABUNGAN E-HAILING MALAYSIA - SINAR HARIAN - 27/08/2025

 

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menegaskan pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM) seperti yang cuba didakwa oleh pihak tertentu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun GEM pada peringkat awal penubuhan pernah bergerak di bawah naungan PPIM, namun selepas itu setiap keputusan, tindakan dan kenyataan yang dibuat tidak pernah dirujuk kepada persatuan tersebut.

“PPIM ingin menegaskan bahawa GEM telah bergerak secara sendiri tanpa sebarang nasihat atau pengesahan daripada kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, PPIM tidak mempunyai sebarang hubungan atau kerjasama dengan GEM pada masa ini.

“Sebarang kenyataan atau tindakan yang cuba mengaitkan PPIM dengan GEM adalah tidak benar. PPIM kekal memperjuangkan hak-hak pengguna Islam di Malaysia,” katanya.

Berdasarkan semakan, GEM merupakan sebuah gabungan yang tidak berdaftar dan oleh itu tidak diiktiraf di sisi undang-undang serta tidak diiktiraf oleh kerajaan.

Artikel oleh: Sinar Harian

PPIM NAFI ADA KAITAN DENGAN GABUNGAN E-HAILING MALAYSIA

https://www.sinarharian.com.my/article/745219/edisi/selangor-kl/ppim-nafi-ada-kaitan-dengan-gabungan-e-hailing-malaysia

Monday, August 25, 2025

AKTIVITI | KUNJUNGAN HORMAT KETUA AKTIVIS PPIM KE PENGARAH TANAH DAN GALIAN WILAYAH PERSEKUTUAN - PPIM - 21/08/2025

21 Ogos 2025 - Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas YBhg. Datin Paduka Rahilah Rahmat, Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Friday, August 22, 2025

AKTIVITI | AVOCAKE PUKIS & DELIGHT BY ELEGANCE GROUP LANCAR PRODUK HILIRAN TERBAHARU BERASASKAN SANTAN - PPIM - 22/08/2025

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi merasmikan Majlis Perasmian Cawangan Terbaharu Avocake Pukis & Delight dari syarikat Elegance Global Trading Sdn Bhd bertempat di UTC Angsana Seremban, Ruang Legar Lobby, Plaza Ampangan, Seremban.

Majlis ini menyaksikan pelancaran produk hiliran inovatif berasaskan santan, sebagai sebahagian daripada usaha Avocake Pukis & Delight untuk memperkenalkan pilihan hidangan moden, enak dan mesra pelanggan kepada masyarakat.

Avocake Pukis & Delight diterajui oleh Pengarah Urusan, Dr. Shamsiah Yaakob. Mini kafe ini menawarkan hidangan tradisional dari Kota Baru, Jogjakarta, Indonesia, serta pelbagai pilihan minuman berasaskan buah avocado yang dipelbagaikan.

AKTIVITI | SEMINAR SCAMPROOF: SAFEGUARDING MALAYSIA CONSUMERS FINANCIAL FUTURE - PPIM - 20/08/2025

20 Ogos 2025 - Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menghadiri ke Seminar Kewangan bertajuk Scamproof: Safeguarding Malaysia Consumers Financial Future di Dewan Saksama, Bangunan BHEUU, Putrajaya. 

Seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap jenayah komersil serta memperkukuhkan kerjasama komuniti bersama PDRM dalam usaha membanteras penipuan.

Monday, August 18, 2025

PPIM LANCAR ANTI BULLY CENTRE, BUKA SALURAN ADUAN TANPA TAKUT - REFLEKS - 14/08/2025

 

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Anti Bully Centre (ABC) sebagai platform bagi orang ramai membuat aduan dan memberi cadangan berkaitan isu buli. Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pusat itu memberi ruang kepada mangsa atau saksi melapor tanpa rasa takut, selain menjadi saluran untuk mencari penyelesaian.

Menurutnya, ramai mangsa sebelum ini enggan membuat laporan kerana dibelenggu ketakutan. ABC bukan sahaja menerima aduan, malah berperanan menghalang kejadian buli, meningkatkan kesedaran masyarakat dan mengemukakan cadangan pencegahan.

Beliau menggesa semua pihak termasuk menteri, Ahli Parlimen dan masyarakat untuk menyokong usaha ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan boleh menghubungi talian 013-611 6666.

Artikel oleh: Refleks

PPIM LANCAR ANTI BULLY CENTRE, BUKA SALURAN ADUAN TANPA TAKUT

https://refleks.my/ppim-lancar-anti-bully-centre-buka-saluran-aduan-tanpa-takut/?fbclid=IwY2xjawMLgq5leHRuA2FlbQIxMABicmlkETFHUEpJVEN3MHFtdDdWSktaAR5ZnO7T-BLPRtvR6hmY6fyA8rLPplwiFIMbtdBLwHY3qHEi0gcCNL3i4wRBdg_aem_eRhF2X-mzmb6T9l7lKOiDg

Saturday, August 16, 2025

AKTIVITI | PERJUMPAAN PPIM BERSAMA PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA - PPIM - 13/08/2025

13 Ogos 2025 -Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi, bersama Penasihat PPIM serta wakil-wakil NGO telah mengadakan perjumpaan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Dato’ Seri Syed Daniel.


Friday, August 15, 2025

ANTI BULLY CENTRE (ABC) DILANCAR, PPIM & NGO BERSATU PERANGI BUDAYA BULI - HARAPAN DAILY - 15/08/2025

 

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi dan NGO-NGO mengenai isu gejala buli di Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur. 14hb Ogos 2025 (Khamis)

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 2025 – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap insiden buli yang kerap melibatkan pelajar-pelajar sekolah mutakhir ini. Satu sidang media yang menghimpunkan beberapa tokoh masyarakat dan aktivis telah diadakan di ibu negara bagi membincangkan penubuhan Anti-Bully Centre (ABC), sebuah pusat aduan khusus untuk memerangi budaya buli di Malaysia.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Nadzim Johan atau Toqqi, mantan Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan, Yang Dipertua Pertubuhan Gerak Mahalela Malaysia, En. Faisalkamal, serta Dato’ Jeff Amin daripada Pertubuhan Kebajikan Bekas-Bekas Pekerja Hospitaliti Kuala Lumpur.
Menurut En. Faisal Kamal, budaya buli di sekolah dan institusi pendidikan telah wujud sejak puluhan tahun dan berulang tanpa tindakan tegas. Berkongsi pengalaman peribadi sebagai mangsa buli, beliau menegaskan bahawa fenomena ini perlu dihentikan segera. “Tak ada sebab nak buli. Budaya ini tak masuk akal dan mesti dihentikan,” tegasnya.
ABC akan menjadi pusat aduan terbuka bagi mangsa atau saksi kejadian buli. Menerusi talian khas ( 013-611-6666) aduan akan dijamin kerahsiaan dan diambil tindakan segera oleh pasukan ABC.
Toqqi menjelaskan, ABC akan bertindak pantas di seluruh negara untuk melindungi pelajar serta memberi amaran keras kepada pembuli. “Kami akan terus ke lapangan, berjumpa pihak terlibat, dan memastikan pembuli tahu mereka tidak akan terlepas,” katanya.
Datuk Seri Mohd Redzuan pula menekankan keperluan melatih fasilitator orientasi di sekolah dan universiti supaya program pengenalan tidak disalahguna menjadi medan buli. “Orientasi sepatutnya membina ketahanan fizikal dan mental, bukan mengundang penderaan atau kematian,” ujarnya.
Sementara itu, Dato’ Jeff Amin menyokong penuh inisiatif ini dan menyeru semua NGO, pihak sekolah, serta ibu bapa untuk berganding bahu membanteras budaya buli. Menurutnya, kesedaran mesti bermula dari rumah.

Ramai pembuli adalah bekas mangsa yang mahu membalas dendam ketika berstatus senior. ABC, tegas mereka, adalah platform untuk memutuskan kitaran dendam ini. Antara langkah yang akan diambil ABC sebaik menerima aduan termasuk membuat laporan polis, mengadakan pertemuan dengan pembuli, ibu bapa mereka, pihak sekolah, serta memaparkan wajah pembuli di media sosial. Kementerian Pendidikan digesa agar memberi sokongan penuh kepada ABC sebagai usaha bersama rakyat dan NGO dalam melindungi maruah dan keselamatan pelajar di seluruh negara.

Artikel oleh: Harapan Daily

ANTI BULLY CENTRE (ABC) DILANCAR, PPIM & NGO BERSATU PERANGI BUDAYA BULI

https://harapandaily.com/2025/08/15/anti-bully-centre-abc-dilancar-ppim-ngo-bersatu-perangi-budaya-buli/



PERJUANGAN KAMI

PERJUANGAN KAMI

ARKIB ARTIKEL