Saturday, April 27, 2013
Tuesday, April 23, 2013
723) BERITA 19/4/2013 : TENANG PELAJARI ILMU ISLAM
Headline:
Tenang pelajari ilmu Islam
Publication:
HM
Date of
publication: Apr 19, 2013
Section
heading: Main Section
Page number:
036
Byline /
Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling
Kuala
Lumpur: "Saya gembira dengan kehidupan sekarang dan rasa lebih tenang.
Dengan adanya kelas pengukuhan agama dan bantuan daripada Majlis Agama Islam
Selangor (MAIS) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), saya rasa tidak
keseorangan melalui fasa baru ini," kata Agnes Abdullah, 36.
Kisah
saudara baru ini yang mendakwa terpaksa menanggung hutang RM2 juta selepas
diabaikan suaminya disiarkan Harian Metro, sebelum ini.
Menurutnya,
dia kini mempunyai jadual kursus tetap yang dianjurkan di Selayang dan setiap
kali menghadiri kelas terbabit, perasaan tenang dan gembira menyelubungi diri
menyebabkannya semakin tertarik dengan Islam.
Dia juga
rasa bertuah kerana PPIM sudi memberikan semangat dan motivasi terutama ketika
berdepan kekeliruan mengenai persoalan hukum serta amal ibadat lain, apatah
lagi dia perlu membimbing anak tunggalnya yang baru berusia lima tahun.
"Terima
kasih kepada semua yang membantu saya menghadapi situasi begini. Sebagai
saudara baru, saya begitu mengharapkan bantuan dan dorongan," katanya
ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan di
sini, semalam.
Dalam
pertemuan itu, dia diberikan motivasi menjadi Muslimah seperti dianjurkan agama
oleh aktivis PPIM, Abdul Kareem Said Khadaied serta Datuk Musa Talib yang
mengajar surah lazim kepadanya.
Agnes
berkata, ketika ini dia dalam proses menjual asetnya bagi menampung hutang yang
ditinggalkan termasuk membiayai persekolahan serta perbelanjaan lain.
Sementara
itu, Nadzim berkata, pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada Agnes selain
berusaha membimbingnya sebaik mungkin memandangkan dia masih baru di dalam
Islam dan masih banyak yang perlu dipelajarinya.
"Dia
juga sebenarnya boleh menjadi contoh Muslimah terbaik kerana walaupun berdepan
kesukaran di dalam hidup, dia tetap berpegang kepada agama selain berusaha
meneruskan kehidupannya dengan ikhtiar sendiri," katanya.
Wednesday, April 17, 2013
721) BERNAMA ONLINE 9 APRIL 2013-Manifesto BN Untuk Tangani Kos Sara Hidup Mampu Dicapai Dalam Tempoh Lima Tahun
KUALA LUMPUR, 9
April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menangani peningkatan
kos sara hidup rakyat dilihat lebih realistik dan diyakini mampu dicapai dalam
tempoh lima tahun, kata seorang pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia
(UUM).
Prof Amir Hussin
Baharuddin berkata kerajaan sedia ada mampu menunaikan janji memandangkan
ekonomi negara kini berkembang pesat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak yang melaksanakan pelbagai transformasi ekonomi untuk
memajukan negara termasuk memakmurkan rakyat.
"Misalnya
BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) boleh meningkatkan pendapatan rakyat
berpendapatan rendah untuk berbelanja. Apabila mereka berbelanja ia akan
menyumbang kepada aliran tunai negara dan wujud permintaan dalam pasaran
sekaligus mampu menjana peluang pekerjaan dan perniagaan baharu," katanya
ketika dihubungi Bernama, Selasa.
Di samping itu,
Amir Hussin berpandangan bahawa pelaksanaan tol tidak membebankan rakyat kerana
tol yang dikutip boleh membebaskan rakyat daripada membayar kos pembinaan jalan
raya yang sama.
"Ada pihak
yang suruh kerajaan ambil alih sepenuhnya operasi lebuhraya, tapi bagi saya itu
cadangan tidak berapa bagus sebab kalau kerajaan ambil alih semua, daripada
segi logik akal, JKR (Jabatan Kerja Raya) sahaja tidak mampu untuk
menyelenggara keseluruhan lebuh raya, cuba fikir.
"Bagi saya
elok juga kerajaan bagi kepada pihak swasta dan kerajaan pantau operasi. Saya
juga rasa sekarang ini harga tol tidak lah naik tinggi sangat, saya rasa tidak
naik dah," katanya.
Katanya,
berdasarkan pemerhatiannya pakatan pembangkang dilihat tidak akan serius dalam
menunaikan janji seperti digariskan dalam manifesto pilihan raya umum 2008 dan
hanya boleh digambarkan sekadar cakap kosong kepada rakyat memandangkan banyak
janji gagal ditunaikan.
"Jika dilihat
janji-janji pakatan pembangkang yang lepas pun sampai sekarang tidak
ditunaikan, contoh paling nyata di Selangor yang ditadbir PKR, kerajaan negeri
gagal tunai janji untuk memberi elaun kepada semua ibu tunggal seperti yang
dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lepas. Ini baru isu kecil pun
tidak boleh diselesaikan, macam mana hendak buat janji yang besar?,"
katanya.
Sementara itu,
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan
berkata manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menangani kos sara hidup rakyat
adalah lebih objektif dan menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri untuk
membela nasib rakyat berpendapatan rendah.
"Kerajaan
sedia ada merupakan kerajaan yang berwibawa dan saya boleh melihat kesungguhan
Datuk Seri Najib dalam manisfesto BN. Jadi apa salahnya jika kita bagi peluang
kepada orang yang bersungguh-sungguh buat kerja untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA
720) HARIAN METRO 13 APRIL 2013 : `Jelas ajaran sesat'
Kuala
Lumpur: "Kita bimbang kejadian ini ada kaitan dengan ajaran sesat,"
kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim
Johan.
Menurutnya,
kecurigaan itu berdasarkan aduan Umi yang memaklumkan mengenai acara nikah
batin yang kononnya bersaksikan malaikat kerana kepercayaan itu jelas bertentangan
ajaran Islam.
Menurutnya,
setakat ini aduan daripada Umi itu adalah yang pertama diterima PPIM
membabitkan kes nikah batin dan akan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa
agama untuk tindakan selanjutnya.
Sementara
itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur
Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan menerima laporan berhubung
kejadian itu daripada Umi dan Dira.
719) BERITA UTAMA 13 APRIL 2013-PERANGKAP NIKAH BATIN
Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling
Kuala Lumpur: "Mereka bentang sejadah dan duduk berdepan sambil berjabat tangan. Seorang daripada mereka menjadi jurunikah dengan melafazkan akad aneh. Antara lafaz itu ialah bersaksikan Allah, berwalikan malaikat di kiri dan kanan."
Demikian pendedahan wanita mahu dikenali sebagai Umi, 24, ketika menceritakan pengalamannya hadir untuk ditemu duga sebagai pembantu rumah, namun terperangkap dan menjalani acara 'nikah batin' sebelum dirogol majikannya.
Umi berkata, kejadian itu berlaku Februari lalu selepas dia terbaca iklan mencari pembantu rumah yang disiarkan di akhbar dan berminat dengan pekerjaan itu.
Tanpa sebarang prasangka buruk, Umi yang berasal dari utara tanah air berkata, dia menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan berkenaan sebelum datang ke ibu negara untuk menjalani sesi temu duga.
"Sebaik sampai di Pudu Sentral, saya dijemput seorang lelaki berusia 60-an yang memperkenalkan diri sebagai majikan sebelum dibawa ke sebuah hotel untuk bertemu pembantunya," katanya.
Umi ditemui Harian Metro ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, di sini.
Bagaimanapun, kata Umi, sebaik masuk ke bilik hotel dia pelik kerana suasana di situ bukan seperti lokasi untuk temu duga, sebaliknya seperti bilik hotel biasa.
Menurutnya, di dalam bilik itu muncul seorang lelaki berusia 40-an yang kemudian diperkenalkan kepadanya sebagai kawan rapat merangkap pembantu bakal majikannya itu.
"Dalam keadaan keliru majikan tiba-tiba meminta rakannya mengendalikan upacara nikah batin kami berdua. Pada ketika itu saya seolah-olah orang bodoh dan hanya mengikut saja apa kata mereka," katanya.
Umi berkata, dia dinikahkan dengan bakal majikannya itu dengan mas kahwin RM111.
"Selepas si 'jurunikah' melafazkan akad nikah pelik itu, dia bertanya pada majikan saya itu sah atau tidak, dan majikan saya berkata sah.
"Memang lucu, tapi saya tidak mampu mengeluarkan suara untuk membantah. Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan menulis 'sijil nikah' buatan mereka sendiri," katanya.
Umi berkata, selepas bernikah, 'suaminya' membuat satu lagi kejutan apabila meminta dia melakukan hubungan seks dengan pembantunya.
Apabila Umi menolak, kedua-dua lelaki itu tidak memaksa, sebaliknya beredar daripada bilik dan membiarkan dia seorang diri, sebelum 'suaminya' datang semula kira-kira 10 minit kemudian.
"Sejurus masuk ke bilik, saya diberi minum secawan teh sebelum terus tertidur.
"Apabila sedar keesokan hari, saya tergamam apabila tubuh hanya dibaluti selimut dan lelaki itu tidur di sebelah," katanya.
Menurutnya, selepas kejadian itu dia terus pulang ke kampung, namun 'suaminya' itu menghubunginya semula seminggu kemudian serta meminta datang bekerja, dia mengikut saja.
"Saya sangkakan hubungan 'intim' kami berakhir, tapi ia berterusan kerana lelaki itu kerap mencabul ketika saya menjalankan tugas di pejabat dan di rumahnya," katanya.
Umi berkata, lelaki itu juga membawanya ke rumah 'jurunikah' dan di situ dia dihadiahkan sebentuk cincin yang kononnya hadiah perkahwinan.
"Di rumah itu, saya amat terkejut kerana di dalamnya banyak patung dan berhala. Jadi saya tidak berani pakai cincin yang diberi dan hanya simpan saja," katanya.
Selain Umi, seorang lagi wanita turut tampil membuat aduan kepada PPIM dan mendakwa mengalami pengalaman hampir sama, namun bernasib baik kerana tidak dinikahkan secara batin.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Dira, 20, berkata, dia menghubungi lelaki itu untuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM900 sebulan.
"Sepanjang bekerja di rumah dan pejabat, saya beberapa kali dicabul menyebabkan saya rimas. Selepas berkongsi cerita dengan Umi, barulah saya tahu rupa-rupanya lebih 50 mangsa berdepan nasib sama.
"Hasil perbincangan, kami nekad membuat laporan di Balai Polis Pudu," katanya.
718) BERITA HARIAN 12 APRIL 2013-1000 PELAJAR TULIS POSKAD HARGAI JASA WIRA
Kuala
Lumpur: Lebih 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara
mengambil bahagian dalam Program Menulis Poskad Untuk Wira Negara di sini,
semalam.
Sekolah
kluster itu adalah yang kedua selepas SMK Damansara Damai 1 yang menyertai
program itu bagi menunjukkan sokongan kepada perwira yang masih berjuang
mempertahankan Lahad Datu.
Kandung
pelbagai mesej
Poskad
yang mengandungi pelbagai mesej yang ditulis oleh pelajar itu bertujuan
menaikkan semangat anggota pasukan keselamatan yang terbabit dalam Ops Daulat
di Lahad Datu, Sabah.
Program
itu turut dihadiri Penyelaras Briged Patriot, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad
Zubir dan Koordinator Kedua Briged Patriot, Datuk Nadzim Johan dan Guru Kanan
Kemanusiaan SMK Seri Bintang Utara, Ruzila Yusoff.
Ramzi
berkata program itu akan dipanjangkan dengan terus mengedarkan poskad kepada
tiga sekolah dalam masa terdekat.
"Tiga
sekolah yang akan turut serta dalam program ini adalah sekolah jenis kebangsaan
Cina, Tamil dan sekolah agama," katanya.
Program
anjuran Briged Patriot itu menyasarkan 20,000 poskad yang ditulis pelajar akan
diserahkan kepada anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu pada minggu
hadapan.
Ucap
terima kasih
Pelajar,
Wong Zhi Rang, 16, berkata beliau bersyukur kerana negara ini mempunyai pejuang
yang cukup berani mempertahankan negara walaupun melalui pelbagai dugaan dan
cabaran.
"Apabila
mendapat berita mengenai insiden yang menimpa Lahad Datu saya terkejut kerana
tidak sangka perkara seburuk ini boleh terjadi kepada negara yang aman seperti
Malaysia.
"Bagaimanapun
saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perwira yang sanggup berjuang
mempertahankan negara bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang,
manusia mati meninggalkan nama," katanya.
Pelajar
lain, J Navin Laxman, 17, berkata beliau sedih apabila anggota keselamatan
negara terkorban dan diumpamakan oleh sesetengah pihak sebagai 'mati katak'.
"Anggota
keselamatan negara bermati-matian mempertahankan negara dan pihak di luar sana
dengan sewenang-wenangnya menggelar sebagai mati sia-sia, jika anggota keluarga
mereka yang berada di sana terkorban dan orang melabelkan seperti itu pasti
mereka akan marah," katanya.
717) UTUSAN MALAYSIA 12 APRIL 2013: Poskad ucapan penghargaan untuk wira negara di Lahad Datu
KUALA LUMPUR 11 April - Keberanian pasukan keselamatan negara berjuang di Lahad Datu disanjung dan dihargai menerusi Program Menulis Poskad Kepada Wira Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara di sini hari ini.
Program yang diadakan dengan kerjasama Briged Patriot Malaysia, Media Prima dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini merupakan inisiatif bagi membangkitkan kesedaran pelajar sekolah terhadap tragedi berdarah di Sabah serta menzahirkan semangat patriotisme di kalangan mereka.
Koordinator 1 Briged Patriot, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubair, berkata, program tersebut turut bertujuan memanifestasikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pasukan keselamatan yang bermati-matian mempertahankan negara.
"Program ini diadakan sebagai cara alternatif untuk memberi sokongan moral kepada pejuang negara supaya mereka tahu bahawa kita sentiasa berada di belakang mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, program tersebut juga diilhamkan untuk mendidik generasi muda menghargai serta menghormati anggota keselamatan negara.
"Saya marah melihat anggota keselamatan kita dibunuh dan diperlakukan dengan kejam tetapi saya lebih marah apabila ada rakyat yang mengatakan itu semua sandiwara, mati katak dan yang paling sedih, sanggup menggelar mereka anjing.
"Dengan adanya program ini, rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dapat menyemai rasa hormat kepada perwira negara dan tidak memandang enteng pengorbanan mereka selain menanamkan keberanian dalam diri masyarakat untuk turut sama memegang tanggungjawab menjaga keamanan negara," ujarnya.
Penolong Ketua Pengawas SMK Seri Bintang Utara, Anis Hanani Abdullah, 17, memberitahu dia dan rakan-rakan begitu teruja untuk menyampaikan penghargaan mereka kepada anggota keselamatan negara di Lahad Datu.
"Kami amat menghargai usaha yang telah mereka curahkan dan bersemangat untuk menyatakan rasa terima kasih kami," katanya.
Wong Zhi Khan, 17, bangga dengan keberanian wira negara menjaga kedaulatan negara dan berharap isu pencerobohan pengganas Lahad Datu segera ditamatkan.
Program kesedaran yang bakal meneruskan penjelajahnya di seluruh negara, mensasarkan kutipan 20,000 poskad ucapan penghargaan serta kata-kata semangat rakyat kepada anggota keselamatan yang akan dihantar terus oleh Ahmad Ramzi ke Lahad Datu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130412/dn_11/Poskad-ucapan-penghargaan-untuk-wira-negara-di-Lahad-Datu#ixzz2QhrWAK6A
© Utusan Melayu (M) Bhd
Saturday, April 13, 2013
716) INFO PENGGUNA : KERAJAAN & PENGGUNA
Headline:
Kerajaan & Pengguna
BERITA HARIAN ,Apr 9, 2013
KESUNGGUHAN
dan komitmen Malaysia terhadap pengukuhan perlindungan dan kebajikan pengguna
dan di rantau ASEAN telah mendapat perhatian di setiap negara ASEAN.
Sekaligus
menjadikan Malaysia telah terpilih untuk menjadi tuan rumah penganjuran program
seminar perlindungan pengguna yang bertujuan untuk memberi latihan dan
berkongsi maklumat serta pengalaman mengenai isu perlindungan pengguna
dikalangan agensi perlindungan pengguna dari negara-negara ASEAN yang telah
diadakan pada 23 hingga 24 September 2010 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.
Seminar
ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 50 peserta yang terdiri daripada
ahli negara ASEAN, pegawai kerajaan Malaysia dan wakil daripada badan bukan
kerajaan (NGO) kepenggunaan.
Seminar
ini merangkumi bidang-bidang seperti pengiklanan, penipuan pengguna,
perdagangan elektronik, keselamatan data dan maklumat peribadi, kredit
pengguna, aduan pengguna dan pendidikan serta kesedaran pengguna.
Seminar
ini merupakan salah satu sumbangan dalam mencapai hasrat kerajaan kearah
pewujudan yang mantap, berdaya saing dan prihatin terhadap kebajikan dan
kesejahteraan pengguna secara keseluruhannya.
Seiring
dengan itu kerajaan Malaysia di bawah kementeriannya, Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) berusaha keras melaksanakan
program-program pendidikan pengguna menjalinkan kerjasama yang erat dengan
persatuan / pertubuhan pengguna seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM),
Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Persatuan
Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) dan persatuan-persatuan pengguna
seluruh negeri.
Segala
usaha ini bertujuan untuk memberikan ilmu kepenggunaan kepada masyarakat
seluruhnya agar bersikap peka melangkah lebih proaktif mencari dan mengekang
mana-mana pihak yang cuba merancang untuk menggugat hak-hak tersebut.
Oleh
kerana itu sebagai pengguna, kita wajib sedar akan hak-hak kita dan
melaksanakan tanggungjawab kita untuk menjaganya.
Hak
mendapatkan keperluan asas, keselamatan, maklumat, membuat pilihan, menyuarakan
pandangan, mendapatkan alam sekitar yang selamat dan sihat, mendapat ganti
rugi, pendidikan kepenggunaan dan aspek-aspek yang berkaitan dengannya.
Akta
Perlindungan Pengguna 1999 mendefinasikan pengguna sebagaimana seperti yang
berikut:-
a.
Memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada
lazimnya diperolehi bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga
atau isi rumah dan
b.
tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, atau mengemukan
dirinya sebagai memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu,
terutama bagi maksud:-
(i)
membekalkannya semula secara perdangangan; atau
(ii)
menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan; atau
(iii)
dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdangangan, barang lain atau
lekapan pada tanah;
Definasi
yang diberikan itu menepati kesemua hak pengguna yang telah diperincikan
sepertimana yang tersebut diatas oleh mendiang Presiden Amerika Syarikat, John
F.Kennedy dan Pertubuhan Pengguna Sedunia (Internasional Organization Of
Comsumer Unions - IOCU) masing-masing pada tahun 1962 dan 1985.
Demi
untuk mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang melalui
kerjasama dan sokongan orang ramai, jalinan yang baik antara Kerajaan dengan
rakyat perlu dimantapkan dalam usaha membantu melindungi pengguna sekaligus
memberi semangat dan nafas baru mewujudkan komuniti masyarakat yang
bertanggungjawab, bijak, peka, komited, proaktif dan berinformasi terhadap
keseluruhan isu kepenggunaan.
Selain
merangka dan melaksanakan aktiviti dan program kepenggunaan bersesuaian dengan
peranan masyarakat setempat disamping memberi kefahaman berhubung saluran aduan
pengguna kepada KPDNKK dan kementerian / Agensi berkaitan, kerajaan berharap ilmu
kepenggunaan yang diberikan dapat dimanafaatkan secara maksimum oleh rakyat
sebagai pengguna.
-
Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com
715) BERITA : `Aku cari, bunuh kau'
Byline
/ Author: Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub
Kuala
Lumpur: "Kau tak bayar hari ini, aku akan datang cari kau di pejabat dan
bunuh kau." Itu antara panggilan telefon berbaur ugutan dibuat seorang
lelaki dipercayai dari sebuah syarikat pinjaman wang berlesen untuk menggertak
seorang wanita agar membayar hutang pinjamannya, kelmarin.
Wanita
berusia 37 tahun itu berkata, panggilan itu diterimanya pada jam 3.30 petang.
Mangsa
yang bekerja di sebuah bank, di sini, mendakwa lelaki terbabit sering datang ke
pejabatnya dan membuat kecoh menyebabkan mangsa malu dengan rakan sepejabat.
"Selain
membuat kecoh di pejabat, lelaki itu juga sering menghantar SMS (khidmat
pesanan ringkas) atau menelefon saya dan mengarahkan saya melangsaikan hutang.
"Bukan
itu saja, saya pernah dipukul di kaki kiri dengan cota oleh dua lelaki dari
syarikat sama hingga menyebabkan kecederaan serius dan terpaksa menggunakan
tongkat sejak Julai tahun lalu," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat
Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) selepas membuat laporan polis dengan ditemani
Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin
Bakar, semalam.
Katanya,
dia sudah membayar sebanyak RM16,000 kepada syarikat berkenaan sedangkan dia
hanya meminjam RM10,000 sejak Julai tahun lalu.
Wanita
terbabit adalah antara lapan mangsa mendakwa dianiaya syarikat kewangan
berlesen yang datang membuat laporan di IPKKL selepas syarikat kewangan itu
masih meminta wang walaupun bayaran yang dibuat setiap bulan sudah melebihi
jumlah pinjaman.
Saharudin
berkata, laporan dibuat mangsa itu adalah yang kedua kepada polis selepas
membuat laporan sama di Balai Polis Setapak, 22 Februari lalu.
"Saya
berharap polis menjalankan siasatan ke atas laporan ini dan mengambil tindakan
tegas ke atas syarikat terbabit," katanya.
714) BERITA : NIKMAT KESELESAAN
Kuala
Lumpur: Kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan
program transformasi dalam membentuk kerajaan cemerlang serta memperbaiki
kehidupan rakyat cukup terserlah dan perlu dihargai semua pihak.
Biarpun
ada yang cuba memperlekeh usaha dan pembaharuan dibawa, namun kesan
transformasi jelas mengubah nasib ramai golongan miskin serta kurang bernasib
baik.
Ketua
Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata,
rakyat hari ini menikmati keselesaan hidup hasil perubahan dibawa perdana
menteri.
"Kita
ambil Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sebagai contoh terdekat...walaupun ada
pihak mengkritik kualiti dan mempersoalkan kewujudannya, namun mereka tidak
boleh menolak KR1M memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan turut
menikmati kehidupan bertaraf sederhana.
"Begitu
juga dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Biarpun ada yang tidak
setuju, tapi dari sudut perbelanjaan, orang susah dan miskin bandar memperoleh manfaat
besar kerana dapat menikmati keselesaan sebagaimana golongan
berkemampuan," katanya.
Beliau
berkata, ada baiknya Barisan Nasional (BN) tidak menekankan isu subsidi dalam
manifesto kali ini kerana pemberian sebegitu tidak dapat dinikmati sepenuhnya
kumpulan sasar.
"Apapun
pemberian kerajaan, kita perlu hargai kerana ia tanda keprihatinan mereka
terhadap keluhan rakyat. Malah, perdana menteri juga perlu diberi ruang dan
peluang untuk terus melaksanakan transformasi.
"Mungkin
rakyat hari ini melihat transformasi hanya memberi perubahan kepada negara
antara 10 dan 20 peratus saja, tapi saya yakin jika Perdana Menteri terus
diberi mandat, pasti lebih banyak kejayaan dan keselesaan dikecapi rakyat pada
masa akan datang," katanya.
Sementara
itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu
berkata, beliau menyokong manifesto dibentangkan BN yang menekankan isu
menangani kos sara hidup rakyat.
"Kita
percaya rakyat berpendapatan tinggi mampu mencari penyelesaian kepada masalah kewangan
dihadapi, bagaimanapun rakyat yang kesempitan memerlukan satu sistem bantuan
untuk meringankan beban hidup mereka," katanya.
"Tidak
kira berapa banyak diberi kerajaan untuk meringankan beban hidup rakyat, kami
menerima dengan rasa syukur. Lebih-lebih lagi jika pemberian BR1M ditambah dan
diberi secara tahunan"
Hadi
Munir Al Baki, Pemandu Teksi
"Bantuan
RM100 membantu kami menguruskan keperluan tiga anak bersekolah. Namun jika
kerajaan meningkatkan lagi jumlahnya kami terima dengan gembira"
Isma
Yuslyn Ismail, Tukang Jahit
"Jika
dalam satu semester ada 6 subjek, kami mengeluarkan RM480 untuk buku.
Bagaimanapun, jika kerajaan setuju tambah jumlah Baucar Buku 1Malaysia sudah
tentu membantu"
Muhammad
Hamidi Zamri, Pelajar
INFO
Kesungguhan
menyediakan keperluan asas dan perkhidmatan pada harga rendah dibuktikan dalam
produk 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan
Menu Rakyat 1Malaysia.
Di
Sabah dan Sarawak, Skim Penyeragaman Harga, subsidi pengangkutan dan KR1M
membantu menurunkan harga barangan. Dasar Agro Makanan Negara diperkenalkan
untuk memastikan harga bekalan asas makanan terjamin dan terjangkau. Bantuan
RM100 setiap pelajar dan RM250 skim Baucar Buku 1Malaysia membantu meringankan
beban perbelanjaan. Bantuan BR1M untuk isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000
dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 memberi kelegaan yang
disambut baik banyak pihak.
Dalam
tempoh 5 tahun ini, kami berjanji untuk:
*
Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang secara
tahunan
*
Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan
kepada RM150
*
Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta antara
20 dan 30 peratus
*
Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia
*
Memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar
*
Membuka Klinik 1Malaysia di kawasan padat.
*
Menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibu bapa bekerja
*
Menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20 peratus
*
Melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas
*
Memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia digerakkan GLC dan sektor swasta
Setakat
ini, kami telah:
*
Memperuntukkan RM6.4 bilion pada 2012-2013 untuk BR1M, Baucar Buku 1Malaysia
dan Bantuan Persekolahan.
*
Membelanjakan RM586 juta dalam tempoh dua tahun terakhir untuk Skim
Penyeragaman Harga bagi memastikan harga barangan
*
Membuka 85 KR1M di seluruh negara
*
Membuka empat jelapang padi baru dengan gabungan keluasan 19,000 hektar.
*
Membelanjakan RM134.8 bilion sejak 2010 bagi pelbagai subsidi seperti beras,
tepung, gula, bahan api dan bahan tenaga serta bantuan pendidikan dan kebajikan
sosial
*
Memperuntukkan RM150 juta untuk mewujudkan 100 Pusat Internet 1Malaysia dalam
bandar untuk manfaat golongan miskin bandar
*
Melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi bagi memastikan subsidi hanya
dinikmati kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan
*
Memperkenalkan geran pelancaran RM10,000 dan pengecualian cukai untuk penubuhan
pusat jagaan harian dan pendidikan awal kanak-kanak
713) ARTIKEL PILIHAN : BESEDERHANA DALAM HIDUP
Wasatiyah
berasal daripada perkataan Arab iaitu wasat yang bererti tengah ataupun
pertengahan. Boleh juga ditakrifkan sederhana atau kesederhanaan.
Wasatiyah
dalam kehidupan merujuk konsep kehidupan yang mengamalkan kesederhanaan iaitu
tidak keterlaluan.
Bagi
umat Islam, konsep kesederhanaan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang dapat
dilihat melalui setiap aspek. Contohnya dalam perbelanjaan, baginda
menasihatkan umatnya berbelanja secara sederhana, tidak terlalu berlebihan dan
tidak pula terlalu sedikit.
Hakikat
ini ada dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan janganlah engkau
jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkan
dengan sehabis-habisnya, akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang
tercela dan menyesal." (Surah al-Isra, ayat 29)
Orang
yang mengamalkan peraturan ini akan mendapat pujian daripada Allah seperti dijelaskan
dalam ayat 67 surah al-Furqan, maksudnya: "Dan mereka yang apabila
membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan
perbelanjaan mereka adalah betul sederhana."
Baginda
juga mengajar umatnya mengenai kesederhanaan ketika makan, berpakaian dan dalam
beribadat kepada Allah.
Diceritakan
seorang sahabat, Abdullah bin Umar al-As pernah bercadang untuk melakukan
ibadat pada setiap waktu, berpuasa pada siang hari dan membaca seluruh isi
al-Quran pada malamnya.
Bapanya
mengahwinkannya dengan seorang wanita muda. Kemudian, bapanya bertanya pada
menantunya mengenai anaknya itu, lalu menantunya menjawab: "Dia adalah
seorang yang sangat warak dan tidak pernah tidur dengannya pada waktu malam
serta tidak pernah mengadakan hubungan dengan sesiapa pun."
Mendengar
jawapan itu, bapanya sangat marah kepada Abdullah dan mengatakan kepadanya yang
dia mengahwinkannya dengan seorang wanita sangat baik, tetapi dia pula
meletakkan isterinya itu dalam kegelisahan sepanjang waktu.
Namun,
kerana terlalu asyik mengabdikan diri kepada Allah, dia tidak mempedulikan hal
itu. Bapanya mengadukan hal itu kepada Rasulullah SAW yang kemudian bersabda
kepadanya:
"Aku
mendengar kamu berpuasa pada siang hari dan bersolat pada sepanjang
malam." Dijawab Abdullah bahawa khabar itu benar. Kemudian Rasulullah
bersabda lagi: "Janganlah buat begitu, tetapi sebagai gantinya berpuasalah
kadang-kadang dan makanlah kadang-kadang, solat dan tidurlah pada waktu malam
kerana badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, matamu mempunyai hak ke atas
kamu, kurang tidur akan melemahkan mereka manakala isteri, anak-anak dan
saudara-maramu juga mempunyai hak ke atas kamu."
Keadaan
yang sama juga diceritakan Bukhari. Sesetengah sahabat Nabi SAW memutuskan
untuk beribadat kepada Allah sepenuhnya. Seorang mengatakan bahawa dia akan
bersolat sepanjang malam, seorang lain mengatakan dia akan berpuasa tanpa henti
manakala orang ketiga mengatakan dia tidak akan berkahwin seumur hidup dan
tidak akan berhubung dengan perempuan.
Rasulullah
SAW mengetahui hasrat mereka lalu bersabda maksudnya: "Aku bersumpah
dengan nama Allah bahawa aku takut kepada Allah dan aku menyedari
tanggungjawabku kepada-Nya melebihi tanggungjawab kamu tetapi begini caraku.
Kadang-kadang aku berpuasa dan kadang-kadang tidak. Aku bersolat dan tidur pada
waktu malam juga aku berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut caraku bukanlah
daripada golonganku."
Anas
meriwayatkan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Jangan menzalimi diri
sendiri, ada umat-umat tertentu yang menzalimi diri sendiri lalu Allah
menghukum mereka. Engkau dapat melihat kesan-kesan gereja dan biara
mereka."
Nabi
Muhammad SAW tidak suka orang melakukan solat terus menerus serta memencilkan
diri, tidak bergaul dengan orang ramai dan menolak kemewahan hidup yang biasa.
712) ARTIKEL PILIHAN : BANGUN PAGI CARILAH REZEKI
Oleh : Idris Musa
Harian Metro 10/4/13
Sewaktu
singgah minum pagi di sebuah restoran sementara menunggu kereta diservis siap
di pinggir kota pada hujung minggu, baru-baru ini, penulis terpandang seorang lelaki
bukan Islam yang duduk selang beberapa meja.
Usia
beliau sekitar 60-an dan sudah tua. Penampilannya juga sederhana, dengan kemeja
lepas dan seluar pendek. Namun, sambil bersarapan beliau membaca surat khabar,
meneliti isu dan perkembangan semasa.
Sesekali
beliau bingkas bangun, berjalan menuju kawasan parkir dan mengambil sesuatu
daripada keretanya, Toyota Alphard. Selepas itu, beliau datang semula dan duduk
untuk meneruskan sarapan.
Di
benak fikiran penulis tertanya sendirian, mengapa lelaki terbabit yang sudah
berkereta besar, usia pula sudah lanjut, tetapi masih tahu bangun pagi dan baca
surat khabar?
Ketika
itu terfikir juga penulis mengenai sesetengah orang terutama yang masih muda,
terkial-kial untuk bangun pagi, malah selalu terlewat ke tempat kerja, kurang
bersemangat melakukan tugas, sedangkan pada usia itu otak cerdas dan badan juga
sihat.
Ada
segolongan lagi tidak bekerja yang dipanggil penganggur, dengan hidup dirasakan
tidak dihimpit waktu. Segelintirnya beranggapan boleh tidur dan bangun sesuka
hati setiap hari. Amboi, seronoknya hidup!
Bagi
mereka yang tidak bekerja ini, mungkin akan mempersoalkan: Apa hendak
disibukkan kerana kami tidak mengganggu dan menyusahkan orang? Tidak kurang
juga mendakwa, bukan tidak berusaha untuk mendapatkan pekerjaan, cuma belum
sampai rezeki.
Namun,
selalunya sebaik bangun daripada tidur mereka berharap menu tersedia di meja
untuk mengalas perut yang berkeroncong. Bagi yang masih bujang khususnya, si
ibulah yang menjadi tempat bergantung, makan pakai semua ditanggung walaupun
sudah besar panjang.
Sekiranya
kita tinjau dari perspektif Islam, sikap malas bekerja, tidak bersemangat dan
menganggur itu sangat dilarang. Sebaliknya, kita perlu sentiasa bersemangat dan
rajin berusaha khususnya bagi lelaki.
Al-Quran
menganjurkan kita agar rajin berusaha dan bekerja, bukannya semata-mata
memasang angan-angan dan harapan untuk terus menjadi kaya dan hidup
senang-lenang dalam sekelip mata.
"Dialah
yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata
penjurunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah)
kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula." (Surah al-Mulk, ayat
15)
Hadis
Nabi SAW juga menggalakkan kita orang Islam bekerja dan berdikari, antaranya
bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik usaha ialah usaha dengan tangannya
sendiri." (Riwayat Imam Ahmad)
Al-Bukhari
meriwayatkan hadis dengan maksud: "Seandainya seseorang kamu mengambil
tali lalu mencari kayu dan meletakkannya di atas belakangnya adalah lebih baik
baginya daripada dia meminta-minta orang, sama ada mereka memberinya ataupun
menghampakannya."
Dilihat
kepada sirah Nabi SAW, baginda sendiri pada usia 12 tahun sudah ikut bapa
saudaranya, Abu Talib ke Syam (Syria) untuk berniaga. Malah, pada usia empat
tahun baginda dikatakan menolong Halimatus Saadiah mengembala kambing.
Nabi
Allah Daud AS juga bekerja sebagaimana diceritakan pada ayat 80, surah
al-Anbiya maksudnya: "Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi
untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam peperangan, maka adakah kamu bersyukur?"
Ibnu
Jauzi meriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab menemui sekumpulan orang yang
menganggur lalu beliau bertanya: "Apa kamu buat? Jawab mereka: "Kami
sekalian orang-orang yang bertawakal (yakni menyerahkan nasib kami kepada
Tuhan)."
Kata
Umar: "Kamu sekalian pendusta. Sesungguhnya orang yang bertawakal itu
ialah orang yang menanam satu benih di bumi, kemudian dia bertawakal kepada
Allah." Sambung beliau lagi: "Jangan sampai ada lagi seseorang antara
kamu yang menganggur, duduk senang-senang, enggan keluar mencari rezeki. Dia
hanya duduk berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku, berilah aku rezeki. Padahal dia
mengetahui bahawa langit itu tidak akan menurunkan hujan emas atau perak."
Saidina
Umar juga pernah menegah golongan fakir miskin daripada duduk menganggur dan
hanya mengharapkan orang memberi sedekah semata-mata.
Beliau
berkata: "Wahai kalangan fakir miskin! Berlumba-lumbalah mencari kurnia
Allah dan jangan sampai kamu menjadikan diri kamu tanggungan kaum
Muslimin."
Dalam
hal ini, Imam Syafie ada mengalunkan bait puisi berbunyi:
Biarlah
kupukul batu meskipun dari puncak gunung
Itu
lebih kusenangi daripada kerja menadah tangan
Biarlah
orang kata kerjaku ini membawa malu dan hina
Apakah
tidak malu dan hina kerja meminta-minta orang?
Oleh
itu, ayuh buangkan kemalasan, bangun awal, cari kerja dan bekerja dengan penuh
semangat. Usah berpeluk tubuh lagi, sahut cabaran bersaing bersama yang lain
mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.
*
Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro
Friday, April 12, 2013
710) Pelancaran Briged Patriot Peringkat Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Pada 4/4/13
Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) malam tadi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima (TWLDMP) serentak majlis pelancaran Briged Patriot peringkat universiti berkenaan.
Sumbangan RM5,050 hasil kutipan warga UPNM itu diserahkan Timbalan Naib Canselor universiti terbabit, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Wan kepada Wartawan TV3, Nur Anisa Ismail pada majlis di kampusUPNM, di sini yang turut menyaksikan penubuhan satu lagi inisiatif keamanan, Projek Peace Bayu.
Briged patriot
Briged Patriot yang dilancarkan 24 Mac lalu susulan pencerobohan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyubur dan menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain menanam kesedaran mengenai pentingnya berdiri di belakang pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan negara.
Peace Bayu pula ditubuhkan atas inisiatif kemanusiaan dan keamanan oleh mahasiswa dari 25 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Ia hasil ilham Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membentuk gerak kerja murni dalam kalangan mahasiswa untuk membantu kerajaan memperluaskan gelombang cintakan keamanan dan perpaduan dalam masyarakat.
Turut menyalurkan sumbangan kepada TWLDMP semalam adalah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM100,000 yang disampaikan Pengerusinya merangkap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada Pengurus Besar Komunikasi Korporat Media Prima, Mastura Adnan.
Di Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau mengutip RM10,000 dalam tempoh 3 hingga 27 Mac lalu yang kemudian diserahkan Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman kepada wakil TV3 Negeri Sembilan, Muhd Faizal Abbas pada satu majlis ringkas di Balai Undang Luak Rembau.
Dalam perkembangan lain di Kangar, Kerajaan Perlis diwakili Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyumbang tanah bernilai kira-kira RM100,000 kepada Nor Aziah Noor, balu Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam Ops Daulat. Tanah berkenaan terletak berhampiran rumah ibu Nor Aziah di Taman Sena.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini dan saya hargai setiap sumbangan yang diberikan pelbagai pihak. Saya juga berharap semua pihak berdoa supaya saya kuat menempuh kehidupan mendatang bersama anak-anak," kata Nor Aziah.
Subscribe to:
Posts (Atom)
PERJUANGAN KAMI
ARKIB ARTIKEL
-
▼
2013
(400)
-
▼
April
(16)
- 724) VIDEO ' Lagi Bahaya Dari Peluru Kalau Salah P...
- 723) BERITA 19/4/2013 : TENANG PELAJARI ILMU ISLAM
- 722) EMEL PILIHAN-Wajib Tonton & Dengar Agenda Taw...
- 721) BERNAMA ONLINE 9 APRIL 2013-Manifesto BN Untu...
- 720) HARIAN METRO 13 APRIL 2013 : `Jelas ajaran se...
- 719) BERITA UTAMA 13 APRIL 2013-PERANGKAP NIKAH BATIN
- 718) BERITA HARIAN 12 APRIL 2013-1000 PELAJAR TULI...
- 717) UTUSAN MALAYSIA 12 APRIL 2013: Poskad ucapan ...
- 716) INFO PENGGUNA : KERAJAAN & PENGGUNA
- 715) BERITA : `Aku cari, bunuh kau'
- 714) BERITA : NIKMAT KESELESAAN
- 713) ARTIKEL PILIHAN : BESEDERHANA DALAM HIDUP
- 712) ARTIKEL PILIHAN : BANGUN PAGI CARILAH REZEKI
- 711) AKTIVITI PPIM-Perjumpaan Komiti Mangsa Muflis...
- 710) Pelancaran Briged Patriot Peringkat Universit...
- 709) RENUNGAN:China Sedang Mendidik kanak-kanak ut...
-
▼
April
(16)