Friday, August 8, 2014

2081) ANTARAPOS 7/8/2014 - Teruskan boikot pihak yang sumbang dana kepada Israel - PPIM






SHAH ALAM: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa rakyat di negara ini supaya meneruskan agenda mereka untuk memboikot McDonald's Malaysia yang didakwa menjadi penyumbang kepada rejim Israel.
 
Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata demikian mengulas pendirian McDonald’s Malaysia yang memberitahu bahawa mereka tidak menyokong mana-mana kegiatan politik, keganasan atau penindasan di seluruh dunia.
 
"Kita teruskan, dia (McDonald’s Malaysia) keluarkan kenyataan itu biarlah. Lagi pun benda ini dah lama dan kita nak tengok juga kuasa pengguna atau pun kuasa rakyat Malaysia ini yang kita nampak ada kesungguhan dia dan kita akan tengok apa yang akan terjadi.
 
"Contohnya esok akan ada boikot di seluruh negara dan kita akan tengoklah apa yang akan terjadi sekurang-kurangnya dia tahu lain kali dan bukan itu sahaja maknanya nanti bila syarikat telekomunikasi Maxis buat sesuatu yang tak betul kita pun boleh boikot, Astro boleh boikot juga.
 
"Jadi, sekarang ini suara adalah suara pengguna untuk menegakkan kebenaran yang mana kita juga perlu menunjukkan apa yang kita buat ke arah menentukan keadilan dilaksanakan," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Bagaimanapun, Nadzim berkata apa yang rakyat Malaysia lakukan hari ini tidak akan memberikan kerugian besar kepada McDonald’s di seluruh dunia apatah lagi merosakkan kerajaan Israel.
 
"Apa yang kita buat hari ini sudah tentu tidak akan memberi kerugian besar kepada McDonald’s dunia dan tidak akan dapat merosakkan kerajaan Isreal," jelasnya.
 
"Apa yang kita buat ini merupakan satu kesatuan usaha untuk membawa kesedaran kepada mana-mana peniaga atau perniagaan yang menyokong ataupun yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada negara rejim Israel ini," katanya lagi.
 
Malah, Nadzim turut mengingatkan mana-mana syarikat di negara ini supaya berusaha untuk mengelakkan sebarang usaha ke arah membantu kepada pergerakan anti-kemanusiaan Yahudi.
 
"Jadi, seharusnya kita mengelakkanlah sebarang usaha ke arah membantu atau menyokong Yahudi. Perkara ini bukan benda baru.
 
"Kita mahu signal ini sampai dan dapat dijelaskan kepada mereka yang kita lihat tidak mahu membantu usaha kemanusiaan malah membantu institut Yahudi ini yang memang kerjanya melaksanakan program-program untuk negara Israel," tambahnya. 
 
Selepas beberapa siri bantahan dilakukan rakyat di negara ini terhadap produk yang dikatakan menyumbang kepada rejim Israel, McDonald's hari ini mengeluarkan iklan di akhbar-akhbar utama bagi menjelaskan polisi mereka mengenai Israel.
 
McDonald's menyatakan bahawa mereka tidak terlibat dengan serangan di Gaza.
 
"Kami ingin menegaskan bahawa adalah merupakan pendirian McDonald’s Malaysia untuk tidak terbabit serta menyokong mana-mana kegiatan politik, keganasan atau penindasan di seluruh dunia.
 
"Kami akhiri dengan menyatakan McDonald’s Malaysia bersimpati terhadap mangsa-mangsa yang tidak bersalah dalam mana-mana tragedi kemanusiaan," menurut kenyataan itu.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...