Wednesday, August 6, 2014

2078) SINAR HARIAN 5/8/2014- Boikot McDonald's beri isyarat kepada dunia - PPIM


Boikot McDonald's beri isyarat kepada dunia

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan tindakan rakyat Malaysia memboikot McDonald's mampu memberi isyarat jelas kepada dunia.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mendakwa, isyarat itu akan disampaikan kepada penyokong Israel apabila semua premis McDonald's di Malaysia kosong tiada pelanggan.

“Bagus sekali tindakan itu kerana semua rakyat Malaysia boleh membuat sesuatu yang tidak terlalu berat dan tidak mengorbankan jiwa raga tapi akan dapat menghantar isyarat kepada masyarakat dunia.

“Hantar isyarat ini terus kepada mereka yang menyokong Israel. Contohnya apabila kedai itu kosong.

"Dunia akan tahu yang kita tak mahu kezaliman dan pembunuhan terus berlaku ke atas Palestin,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini,

Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang kempen memboikot McDonald's besar-besaran yang dijadualkan Jumaat ini.

Menurutnya tindakan memboikot ini boleh diteruskan sehingga Israel meninggalkan bumi Palestin.

“Kita zahirkan semangat kita secara jelas kepada dunia. Kita boleh teruskan boikot ini sehingga mereka sedar bahawa mereka tidak boleh terus membuli golongan yang lemah.

“Kita tujukan kepada syarikat-syarikat yang menyokong pergerakan zionis ini bahawa kita tak lagi boleh bersabar dan terus menyokong mereka dengan duit yang kita belanja,” katanya lagi.

Menurutnya, memboikot itu juga boleh menjadi ruang untuk mendidik masyarakat tentang tujuan sebenar tujuan tersebut.

“Ini pergerakan baru di Malaysia. Kalau disatukan, masyarakat dunia akan hormati rakyat Malaysia. Kita berjuang dengan ekonomi. Kena berkorban sedikit.

“Kalau anak-anak minta pergi McDonald's, beritahu kenapa tak boleh. Ambil peluang ini untuk didik anak-anak kita dan masyarakat kenapa kita marahkan Israel? Jelaskan pada mereka.

“Setakat ini ada empat syarikat utama yang boleh diboikot iaitu McDonald’s, Colgate, Coca-Cola dan Starbucks. Tapi kalau nak boikot yang lain silakan,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian sedang berusaha untuk mendapatkan respons daripada pihak McDonald sendiri berhubung isu ini.

No comments:

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...