Sunday, June 30, 2013

800) BERITA BERNAMA 29 JUN 2013-PDRM Akan Bangun Sistem Status Siasatan Kes



KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan membangunkan sistem status siasatan kes untuk membolehkan pengadu mengetahui perkembangan siasatan laporannya.

Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM Datuk Wira Ayub Yaakob berkata ia merupakan kesinambungan projek laporan polis secara dalam talian melalui portal laporan PDRM, yang akan dilaksanakan September ini.

"Kita akan berikan kata laluan kepada mereka yang membuat laporan polis dan mereka boleh mengakses sistem tersebut bagi mengetahui perkembangan siasatan kes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Penipuan Pelaburan Dalam Perniagaan peringkat Kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Bernama, Wisma Bernama di sini, Sabtu.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia dengan kerjasama PDRM, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SCM).

Turut hadir Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya dan ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Ayub berkata pada peringkat awal, projek itu akan dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Beliau juga berkata polis menerima laporan berhubung 351 kes berkaitan penipuan perniagaan dengan kerugian bernilai RM100 juta pada tahun lepas dan bagi empat bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima 95 kes dengan jumlah kerugian RM15 juta.

"Kebanyakan kes melibatkan penipuan internet dan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan dan profesional. Ada juga yang tidak melaporkan kepada pihak berkuasa kerana malu," katanya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati membuat pelaburan dan perlu menyemak dengan pihak tertentu termasuk SSM bagi mengelak ditipu.

-- BERNAMA

799) BERITA METRO AHAD 30 JUN 2013-Periksa status kes secara online


Byline / Author: Oleh Shamran Sarahan


Kuala Lumpur: Polis akan membangunkan sistem laporan serta status siasatan kes secara talian di Internet untuk membolehkan pengadu mendapat akses lebih mudah dan cepat menjelang September depan.

Pengarah Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, Bukit Aman Komisioner Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, pada peringkat awal, projek itu akan dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan sebelum diperluaskan ke seluruh negara, selain pihaknya masih meneliti keberkesanan sistem itu.

"Kita (polis) mahu memudahkan orang ramai membuat laporan dan mengadu maklumat kepada polis hanya melalui Internet.

"Begitupun, kita masih meneliti meneliti beberapa perkara dan pada peringkat awal nanti bukan semua kes boleh dilaporkan secara online (talian), kita akan kenal pasti perkara itu.

"Selain itu, kita membangunkan satu sistem yang membolehkan pengadu mengetahui perkembangan siasatan laporan membabitkan mereka.

"Kita akan beri kata laluan kepada mereka yang membuat laporan polis dan mereka boleh mengakses sistem itu bagi mengetahui perkembangan siasatan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Penipuan Pelaburan Dalam Perniagaan peringkat Kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Bernama, Wisma Bernama, di sini, semalam.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia dengan kerjasama PDRM, Bank Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SCM).

Turut hadir Presiden Lembaga Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya dan ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Ayub berkata, sepanjang tahun lalu polis menerima laporan sebanyak 351 kes berkaitan penipuan perniagaan membabitkan kerugian bernilai RM100 juta.

"Empat bulan pertama tahun ini, polis menerima 95 kes dengan jumlah kerugian RM15 juta. Kebanyakan kes membabitkan penipuan Internet dengan rata-rata mereka yang ditipu adalah golongan berpendidikan dan profesional," katanya.

Dalam pada itu, Ayub yang juga bekas Pengerusi Urusetia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bukit Aman dilantik menerajui Jabatan Pencegahan Dan Pembanterasan Jenayah yang baru diperkenalkan tahun ini, berkuatkuasa kelmarin.

Saturday, June 29, 2013

798) BERNAMA 28/6/13- Terima Dana Asing Untuk Huru Harakan Negara Bukti Anwar Tidak Bermaruah



KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Pendedahan terbaharu oleh negarawan Indonesia Jusuf Kalla mengenai sikap Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan bahawa pemimpin pembangkang itu sanggup menerima dana asing bagi menghuruharakan negara, menurut beberapa pemerhati.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata kenyataan Jusuf itu seharusnya membuka mata para penyokong pembangkang mengenai kegilaan Anwar untuk menjadi perdana menteri dan seharusnya jugalah mereka tidak lagi membiarkan diri dimanipulasi oleh Anwar untuk kepentingan peribadinya.

"Bukan sahaja Anwar terasuk untuk tidak menerima kekalahan pembangkang pada PRU13 tetapi juga sudah bertindak melampau sanggup mendedahkan pengikutnya kepada bahaya melalui perhimpunan haram Blackout 505," katanya ketika dihubungi Bernama Jumaat.

Mengulas kenyataan bekas naib presiden Indonesia itu, antara lainnya bahawa tindakan Anwar menguntungkan musuh-musuh Islam dan kawan-kawannya turut membantu kewangan dalam kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, Nadzim berkata Anwar tidak boleh bersembunyi lagi dan kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadapnya.

"Anwar dah tak kesah walaupun sampai tahap perlu menjual negara sendiri... saya berharap kerajaan mengambil tindakan terhadap beliau yang melanggar undang-undang dan tidak menghormati perlembagaan negara," katanya.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib pula berkata Anwar terang-terangan memalukan Malaysia sehingga pemimpin antarabangsa seperti Jusuf turut rasa terpanggil untuk menyelar tindakan beliau.

"Anwar tidak wajar mengheret rakyat mengadakan perhimpunan memprotes keputusan PRU13 yang tidak berpihak kepada pembangkang. Tindakan Anwar itu jelas menunjukkan rasa tidak hormat serta tidak tahu adab menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini," katanya.

Sambil menyeru rakan-rakan Anwar dalam pakatan pembangkang memperhalusi kenyataan Jusuf bagi menilai keperibadian Anwar, beliau bertanya kenapa politik huru hara baru terjadi selepas munculnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tidak sebelumnya walaupun PAS dan DAP telah lama wujud.

Menyentuh mengenai dakwaan bahawa Anwar telah menerima dana daripada kuasa asing untuk perhimpunan Blackout 505 dan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Md Shukri berkata jika dakwaan itu benar maka Anwar memang sanggup menggadai Malaysia demi kepentingan khayalannya.

Presiden Pakar Malayalee Malaysia R. Nambiar pula berkata kalah dan menang adalah perkara yang lazim berlaku dalam sesuatu pertandingan dan tidak seharus terlalu payah untuk diterima hakikatnya apatah lagi jika pemimpin itu berjiwa besar.

"Cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri adalah dianggap pemikiran positif namun jika terbukti sudah ditolak oleh majoriti rakyat, terimalah hakikatnya dan berundurlah. Berilah peluang kepada pemimpin yang dipilih rakyat untuk meneruskan pembangunan negara," katanya.

Selepas pendedahan oleh Yusuf, katanya Penasihat PKR itu patut malu terhadap dirinya sendiri di atas putar belit kenyataan yang diberikan kepada rakyat kononnya beliau ada membuat perjanjian dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk pula berkata kenyataan Jusuf adalah satu bukti yang menunjukkan apa yang seringkali dikatakan Anwar kononnya hendak memperjuangkan nasib rakyat sebenarnya adalah perjuangan untuk beliau menjadi perdana menteri.

"Terserlah sudah motif sebenar di sebalik isu demonstrasi, isu pilihan raya tidak telus dan pelbagai tuduhan terhadap institusi kerajaan adalah untuk perjuangkan kepentingan peribadinya dan bukan bersifat 'substantial' untuk rakyat atau demokrasi di negara ini," katanya.

Azeem Fazwan berkata pengikut dan penyokong pembangkang perlu sedar bahawa perjuangan Anwar untuk kepentingan peribadinya adalah tidak sihat dan tidak baik untuk negara dan rakyat.



-- BERNAMA

Friday, June 28, 2013

797) SINAR HARIAN 26/6/13-PPIM, PKP kerjasama banteras 'Ah Long'

Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mustaffa Hamzah (kiri sekali), Nadzim dan Samsudin pada sidang media, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP) akan menjalinkan kerjasama bagi membanteras kegiatan 'Ah Long'.

Menurut Presiden PPIM, Datuk Nadzim Johan, kegiatan ini semakin menjadi-jadi menyebabkan kedua-dua badan bukan kerajaan (NGO) itu terpanggil untuk mengambil tindakan segera bagi mengatasi perkara ini.

"Menjelang Adiliftitri yang akan menjelang tidak lama lagi, saya lihat kegiatan 'Ah Long' semakin berleluasa dan mereka bijak memerangkap pengguna.

"Perkara ini perlu tindakan serius. Kami tidak mahu pengguna ditipu ataupun tertipu," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut Yang Dipertua (YDP) PKP, Samsudin Mohamad Fauzi, kegiatan ini sudah berlanjutan sejak sekian lama, namun kegiatan ini sukar dibendung.

"Kegiatan ini sudah berlanjutan dari masa ke masa.

"Oleh sebab itu saya rasa perlunya satu penguatkuasaan yang mantap," katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai pemberi pinjaman berlesen pula, Samsudin berkata, kebanyakan pemberi pinjaman berlesen tidak mengikut undang-undang yang telah ditetapkan yang akhirnya menyebabkan pengguna terpedaya.

"Mereka hanya memanipulasi lesen tersebut.

"Sepanjang tinjuan yang dilakukan, sukar untuk kami menemui pemberi lesen yang mematuhi undang-undang," katanya.

Tambahnya lagi, kebanyakan pemberi pinjaman wang berlesen menipu pengguna dengan pelbagai cara termasuk pemberian baucer dan dokumen kosong kepada peminjam.

"Kebanyakan pengguna tidak tahu, mereka hanya menandatangani dokumen kosong yang akhirnya memerangkap mereka sendiri.

"Pengguna perlu mengetahui undang-undang dan hak mereka, supaya mereka tidak ditipu," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/ppim-pkp-kerjasama-banteras-ah-long-1.176164

796) UTUSAN MALAYSIA 28/6/13-Ambil tindakan premis enggan guna bahasa Melayu



KUALA LUMPUR 27 Jun - Pihak berkuasa tempatan digesa mengenakan tindakan terhadap premis perniagaan yang enggan menggunakan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan mereka.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, penekanan lebih serius perlu dilakukan demi memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang telah sekian lama menjadi penghubung antara kaum di negara ini.

Menurut beliau, jika dibiarkan, ditakuti bahasa kebangsaan akan menjadi semakin layu dan seterusnya tenggelam dalam era globalisasi masa kini.

"Segala hal rasmi melibatkan pihak berkuasa tempatan wajib menggunakan bahasa Melayu, namun persoalannya, adakah kewajipan itu tidak diamalkan semasa pendaftaran premis perniagaan yang dilakukan oleh peniaga?

"Ini jelas menunjukkan penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa Melayu lemah dan kami menyeru kepada pihak berkuasa supaya sedar dan ambil tindakan khusus bagi menjamin kedudukan bahasa kebangsaan di tanah air ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Nadzim, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga bertanggungjawab dalam mengekalkan bahasa tersebut seiring dengan peranan mereka sebagai pusat rujukan bahasa Melayu yang dihormati.

"Penggunaan bahasa Melayu harus konsisten dengan pembangunan negara ini. Saya tidak mahu Malaysia dianggap sama seperti negara lain yang mana penggunaan bahasa di papan tanda tidak diselaraskan," katanya

Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib menegaskan, penggunaan bahasa Melayu dalam semua aspek memerlukan campur tangan pihak berkuasa supaya penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan.

Jelasnya, pihak berkuasa turut diminta supaya tidak mudah akur dengan kehendak para peniaga yang hanya memandang remeh tentang penggunaan bahasa kebangsaan untuk premis perniagaan mereka.

"Kita mesti bertindak tegas dalam hal ini kerana tanggungjawab memperkasakan bahasa Melayu terletak pada bahu seluruh rakyat Malaysia," katanya.

 Artikel Penuh: http://202.190.126.82/utusan/Dalam_Negeri/20130628/dn_18/Ambil-tindakan-premis-enggan-guna-bahasa-Melayu#ixzz2XUUw3pU3
© Utusan Melayu (M) Bhd



795) LAPORAN LANGSUNG UTUSAN ONLINE 27/6/2013 Daripada KHAIRULANUAR YAHAYA



Assalamualaikum dan selamat tengah hari. Kini saya, KHAIRULANUAR YAHAYA berada di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

PPIM bersama Kelab Wartawan Muda Malaysia mengadakan sidang akhbar mengenai isu penggunaan bahasa bukan kebangsaan di papan tanda iklan yang dilihat semakin berleluasa di Malaysia.

by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 11:57 AM yesterday



Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, pengunaan bahasa bukan kebangsaan ini mengelirukan pelancong.

Justeru beliau mahu pihak berkuasa tempatan dan Dewan Bahasa dan Pustaka memantau serta menguatkuasakan undang-undang untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Ini kerana isu papan tanda bukan bahasa kebangsaan ini sama isu sekolah vernakular di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, jika tindakan tidak diambil, akan sampai satu tahap bahasa kebangsaan tidak lagi dihormati.


by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE on 12:34 PM yesterday














794) UTUSAN MALAYSIA 27/6/13-NGO bimbang pasar mini berjenama jejaskan peruncit kecil

NADZIM Johan (duduk, dua kiri), Samsudin Mohamad Fauzi (duduk, kanan) pada sidang akhbar berhubung isu ah Long dan peniaga-peniaga runcit kecil di Kondominium Villa Puteri, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 26 Jun - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan bagi pihak pemborong dan peruncit yang bakal mengalami kerugian akibat hasrat pembukaan lebih banyak pasar mini oleh rangkaian pasar raya besar, khususnya di kawasan perumahan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, walaupun langkah pasar raya besar itu dilihat sebagai satu usaha mewujudkan suasana persaingan secara sihat, namun strategi mereka akan menjejaskan ekonomi peniaga runcit kecil-kecilan.

"Ini berikutan lambakan pasar mini berjenama akan menyebabkan kedai runcit tidak lagi menjadi pilihan pengguna memandangkan harga barangan ditawarkan rangkaian pasar raya itu lebih murah.

"Perbezaan harga berlaku kerana pasar mini merupakan cawangan daripada perniagaan runcit yang beroperasi dalam skala besar dan mampu membeli stok secara pukal, sekali gus memperoleh harga lebih murah berbanding kedai runcit," katanya dalam sidang akhbar di ibu negara hari ini.

Katanya, bukan niat menghalang pasar raya besar mengembangkan operasi perniagaan mereka tetapi biarlah dilakukan secara adil dan pada masa sama tidak menjejaskan perniagaan runcit kecil-kecilan.

"Ini berikutan terdapat kira-kira 50,000 pemborong dan peruncit di seluruh negara yang bergantung kepada perniagaan itu untuk mencari sumber pendapatan," katanya.

Katanya, walaupun pengguna memperoleh manfaat dari segi pilihan barangan, namun kesannya dalam jangka masa panjang akan menyebabkan pasar raya besar memonopoli rangkaian perniagaan runcit.

"Keuntungan yang pada mulanya boleh dinikmati oleh lebih 50,000 peruncit, akhirnya dimonopoli beberapa pemilik pasar raya besar," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta supaya kerajaan mengkaji terlebih dahulu cadangan dan hasrat pasar raya besar itu sebelum membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, Pengerusi Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia, Amanullah Maideen turut menyatakan kebimbangan bayaran sewa kedai akan meningkat berikutan pasar mini tersebut menawarkan harga lebih tinggi untuk mendapatkan lokasi perniagaan.

"Apabila kedai runcit berada di kawasan sama, sudah tentu pemilik kedai juga akan mengenakan sewa mengikut harga semasa. Peniaga runcit kecil-kecilan tidak mempunyai pilihan, terpaksa menaikkan harga barangan," katanya.

Pada masa sama, beliau meminta supaya pasar raya besar tidak membuka cawangan pasar mini di lokasi yang telah mempunyai banyak kedai runcit.

Katanya, dari segi tawaran harga pula, pemilik kedai runcit tidak ada masalah untuk menawarkan harga barangan lebih murah jika diberi peluang membeli barangan secara pukal bersama-sama peniaga kecil yang lain.

"Namun disebabkan terpaksa membeli barang-barang daripada pembekal pada harga lebih mahal daripada pasar mini, menyebabkan kami tidak dapat menawarkan harga rendah kepada pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Samsudin Mohamad Fauzi berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara ini kerana sekiranya syarikat besar dibiarkan memonopoli perniagaan runcit, dikhuatiri akan membunuh ekonomi peruncit tempatan.

"Tidak mustahil suatu hari nanti harga barangan akan dikawal oleh syarikat-syarikat besar yang menjalankan perniagaan runcit kerana mereka memegang kuasa monopoli tersebut," katanya.


Sehubungan itu, bagi memberikan keadilan kepada semua pihak, beliau meminta supaya syarikat-syarikat besar meneruskan operasi perniagaan dalam skala besar menerusi pasar raya dan biarlah peniaga kedai runcit meneruskan perniagaan secara kecil-kecilan.

Wednesday, June 26, 2013

793) ISU:PAPAN IKLAN YANG MEMINGGIRKAN BAHASA KEBANGSAAN

kempenppim's PAPAN IKLAN YANG MEMINGGIRKAN BAHASA KEBANGSAAAN album on Photobucket

Kebelakangan ini, terdapat berbagai jenis papan tanda yang tidak langsung bersemangat Malaysia atau melambangkan nilai-nilai perpaduan dan kesejahteraan Negara ini. Tulisan yang terpampang tidak membezakan samada kita berada di Hong Kong, New York, Kota London atau Beijing. Apa yang kita lihat sebenarnya bertentangan dengan semangat perlembagaan Negara.

Ini adalah antara gambar yang diambil sekitar Lembah Klang. Jika anda di luar sana ada gambar yang boleh dikongsi boleh emel kepada kami di muslimconsumers@gmail.com.

792) UTUSAN MALAYSIA 26/6/13-Cadangan pengharaman e-Rokok relevan



KUALA LUMPUR 25 Jun - Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) menggesa supaya rokok elektronik atau e-Rokok diharamkan berikutan produk itu memberikan kesan sampingan seperti penyakit berbahaya kepada pengguna.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, penggunaan e-Rokok oleh kalangan generasi muda terutamanya dilihat sebagai satu trend tidak sihat dan wajar diharamkan di negara ini.

"Golongan remaja kebanyakannya yang terdiri daripada pelajar sanggup untuk tidak minum dan makan bagi menyimpan duit belanja mereka untuk membeli e-Rokok.

"Lazimnya, rokok tersebut digunakan oleh perokok tegar sebagai alternatif untuk berhenti merokok, tetapi mereka tidak sedar bahawa e-Rokok masih mengandungi cecair nikotin yang mampu memberikan kesan ketagihan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menggesa kerajaan supaya segera mengharamkan rokok elektronik atau e-Rokok yang semakin menjadi trend di negara ini terutama dalam kalangan remaja.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, langkah berkenaan perlu bagi menyekat penularan penggunaan rokok berkenaan yang hanya membawa kesan buruk kepada kesihatan.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata, e-Rokok kini boleh dibeli di mana-mana sahaja, malah pengguna boleh membuat pembelian menerusi internet, menyebabkan bertambah sukar untuk dikawal.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya meminta supaya Kementerian Kesihatan menjalankan kajian mendalam terhadap kesan sampingan penggunaan e-Rokok.

"Secara jelas, merokok membawa kesan buruk kepada tubuh badan dan mengundang pelbagai penyakit kronik seperti kanser, jantung, paru-paru dan sebagainya,'' katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, kementerian perlu mengeluarkan polisi tentang penggunaan e-Rokok, seterusnya membuat keputusan sama ada perlu atau tidak mengharamkan rokok tersebut.

Tuesday, June 25, 2013

791) HARIAN METRO 25/6/13 - Kelentong dua `Datuk'



Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Bermodalkan alasan mahu membeli tanah serta tawaran pelaburan bernilai RM3 bilion bagi memikat mangsa, dua lelaki bergelar 'Datuk' dikesan aktif memperdayakan beberapa mangsa sekitar Lembah Klang dan selatan tanah air.

Tidak cukup dengan tawaran keuntungan berlipat kali ganda, lelaki terbabit juga menawarkan imbuhan lain termasuk membeli sebuah bank konvensional hasil pelaburan di Filipina bagi menarik perhatian individu yang mahu mendapat keuntungan mudah.

Taktik itu dikesan beberapa minggu lalu selepas seorang pengadu dikenali sebagai Wati berusia 30-an membuat aduan kepada Sekretariat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana bimbang lebih ramai menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.

Wati berkata, dia dihubungi oleh kedua-dua lelaki terbabit yang memperkenalkan diri sebagai ahli perniagaan yang mahu mencari tanah untuk perniagaan berskala besar.

Mereka mengaku menjadi ejen, broker dan perunding hartanah bagi memastikan helah mereka berhasil selepas mengaku pakar dalam bidang berkenaan.

Mereka kemudian menawarkan saya menjadi rakan kongsi pelaburan bernilai RM3 bilion sekali gus membolehkan mereka membeli sebuah bank dan menjadi pemiliknya, katanya.

Menurutnya, selang beberapa jam selepas panggilan pertama, kedua-dua lelaki berkenaan mula menunjukkan belang sebenar apabila seorang daripada mereka turut mengaku kerabat diraja dan berhasrat membantu usahawan Bumiputera di negara ini.

Katanya, pada peringkat awal, dia diminta memasukkan RM5,000 ke dalam akaun peribadi 'Datuk' berkenaan tanpa diberikan sebarang dokumen atau resit sebagai bukti pembayaran.

Saya pula mengajak seorang lagi rakan untuk menyertai perniagaan itu dan sama seperti saya, tiada sebarang resit diberikan selepas wang dimasukkan menyebabkan saya mula mengesyaki sesuatu.

Selang sehari, saya dihubungi lagi dan kali ini mereka meminta wang tunai RM22,200 iaitu RM20,000 konon untuk urusan pendaftaran dengan Bank Dunia manakala selebihnya untuk bayaran pendaftaran syarikat, katanya yang membuat aduan kepada PPIM minggu lalu.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan (gambar) berkata, selepas menerima aduan itu, pihaknya mendapati wujud persamaan dengan beberapa kes penipuan seperti itu.


Justeru kita meminta orang ramai jangan terpedaya dengan penipuan sebegini, sebaliknya rujuk kepada pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Bank Negara Malaysia jika mendapati sesuatu yang meragukan, katanya.

790) NEW STRAITS TIMES 22/6/13 - Safety concerns raised over Blackout 505 rally



KUALA LUMPUR: The opposition should know better than infringing upon the rights of others.

That was the response from several quarters who voiced their concern for the safety of those travelling to the city today in view of the opposition-led rally.

It is learnt that the opposition and their allies would gather at several points in the city and march to Padang Merbok despite their application to hold a demonstration at the venue being rejected by City Hall.

Recalling what had taken place in the last rally organised by Bersih, Malaysian Muslim Consumers Association chief activist Datuk Nadzim Johan described the opposition-led rally as ridiculous as it was a threat to public order.

What had started as something ridiculous has become ludicrous. We should not trample on others' rights to live peacefully.

The opposition should respect the choice made by the people of the country in the last general election.

Do you know what happened during the last Bersih rally? We received many reports by kidney patients who were not able to attend their scheduled dialysis treatments that day because of the ruckus caused by the opposition, said Nadzim.

He said some patients even passed out after failing to receive treatment, as they were fearful of the dangers posed by the rally.

Nadzim added a majority had grown tired of the demonstrations.

We did a survey and discovered that even opposition supporters have had enough of them (rallies). They just want to move on and feel that Pakatan should address their grouses through legal channels.

As the gatherings would be held at several public locations, including a shopping mall, Malaysia Shopping Malls Association member Datuk Ameer Ali Mydin said that security for mall employees was a matter of concern.

He said businesses were likely to be hampered whenever roads were closed due to such events.

That is my main concern. Most will be afraid to come to work and worse, they will not get paid (for that day).

One must take into consideration that 70 per cent of staff in shopping malls nationwide are women.

At any time when the main arteries to Kuala Lumpur are closed, you can see a drop in business activities, said Ameer, who is also Mydin Mohamed Holdings Berhad executive director.

Malaysian Taxi Owners and Drivers Association secretary Hiew Pow Man said the rallies would severely affect the livelihood of taxi drivers.

If the organisers are determined to hold the rally (despite going against the law), I just hope that they will keep everything to a minimum, as they must think about taxi drivers, too.

If they keep demonstrating for long hours, then how are we going to make ends meet for the day?

They must remember that there are 30,000 taxis providing service in the city.

789) BERITA HARIAN 22/6/13- 'Batalkan saja Blackout 505'


Byline / Author: Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim; Mohd Nasaruddin Parzi; Syafik Aznan


Kuala Lumpur: Pelbagai pihak mengingatkan pakatan pembangkang supaya membatalkan Perhimpunan Blackout 505 hari ini kerana ia boleh mengancam dan memperjudikan keselamatan rakyat dan negara.

Mereka juga menggesa orang ramai tidak menyertai himpunan di Padang Merbok itu berikutan kegagalan penganjur mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Presiden Kelab Warisan Malaysia (KERIS), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, berkata alasan hak kebebasan berhimpun yang dicanang pemimpin pembangkang bagi mengajak rakyat berkumpul sama sekali tidak masuk akal.

Katanya, walaupun hak itu termaktub dalam perlembagaan, ia masih tertakluk kepada proses undang-undang seperti digaris di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA).

Dalam kes Blackout 505 ini, mereka cuba memanipulasikan undang-undang. Walaupun penganjur sudah hantar notis 10 hari kepada polis, ia tidak bermaksud perhimpunan itu dibenarkan. Kebenaran DBKL selain masyarakat sekeliling juga diperlukan.

Tukar ke lokasi lain

DBKL tidak luluskan untuk berhimpun di Padang Merbok, maka penganjur harus batalkan atau menukar ke lokasi lain seperti stadium, katanya yang menyifatkan perhimpunan itu hanya propaganda Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menutup kelemahannya.

Beliau berkata, pembangkang seharusnya menunggu keputusan petisyen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang difailkan di mahkamah.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan pula berkata, hanya tindakan tegas oleh polis diperlukan kini bagi memastikan perhimpunan berkenaan dibatalkan selain menasihatkan penganjur akur dengan keputusan DBKL

Kalau batalkan terus (perhimpunan itu) memang sangat elok. Tidak ada faedahnya... hanya menyusah dan merugikan orang ramai yang terpaksa bersesak di jalan raya.

Matlamat dan tujuan perhimpunan itu juga tidak kena pada tempatnya. Kalau betul mahu membantah keputusan PRU-13, tempatnya di mahkamah, bukan padang atau jalan raya, katanya.

Rakyat perlu sedar

Katanya, rakyat perlu sedar tujuan penganjurannya itu hanya untuk memburukkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan, bukan mahu mencari apa-apa penyelesaian.

Orang sudah kalah (pilihan raya), dia akan buat apa saja untuk burukkan orang lain. Ini sifat orang tidak bertamadun dan wajar dicemuh, katanya diminta mengulas kedegilan penganjur tetap mahu mengadakan perhimpunan di lokasi itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Teksi dan Kereta Sewa Kuala Lumpur (KL) Selangor, Datuk Aslah Abdullah, turut mengingatkan penganjur supaya mendengar rintihan warga kota khususnya pemandu teksi.

Janganlah lagi mengheret rakyat berhimpun di ibu negara. bukan saja tempatnya tidak sesuai, malah akan menyusahkan orang ramai. (Pemandu) teksi pun susah cari makan, katanya.

Turut menyatakan bantahan sebelum ini, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, yang menyifatkan perhimpunan itu akan merugikan banyak pihak, terutama peniaga dan penjaja kecil.

788) GABUNGAN NGO GESA TUBUH SURAHANJAYA DIRAJA SIASAT RED BEAN ARMY

UTUSAN MALAYSIA 22/6/13

NEW STRAITS TIMES 22/6/13

HARIAN METRO 22/6/13

BERITA HARIAN 22/6/13





787) UTUSAN MALAYSIA 16/6/13-Berita baik untuk golongan pertengahan - NGO pengguna


KUALA LUMPUR 15 Jun - Pelancaran kereta Proton terbaharu, Saga SV dengan harga lebih rendah disifatkan sebagai berita menggembirakan buat golongan pertengahan.

Malah, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pengurangan harga kereta itu juga akan memberi manfaat kepada golongan muda yang mahu membeli kereta pertama mereka.

Dalam masa sama, tambah beliau, inisiatif itu merupakan keprihatinan tinggi syarikat kenderaan nasional tersebut terhadap kehendak rakyat selain membuktikan kerajaan menunaikan aku janji dalam pilihan raya umum lalu.

"Berita gembira ini diharap dapat diteruskan oleh pengeluar kenderaan lain dalam membantu mengurangkan beban pengguna," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman pelancaran model mampu milik Saga SV oleh Proton hari ini yang berharga antara RM33,438 hingga RM36,888 iaitu kira-kira RM5,000 lebih rendah berbanding model terdahulu.

Mengulas isu sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya berharap harga kompetitif itu akan berkekalan untuk jangka masa panjang.


"Sehubungan itu, kerajaan perlu memantau dan mengawal harga kereta dari semasa ke semasa bagi menjamin rakyat terus menikmati faedah tersebut," katanya.

Saturday, June 22, 2013

786) BERITA UTUSAN MALAYSIA 22 JUN 2013-Tubuh Suruhanjaya Diraja

NADZIM Johan (tengah) menjawab soalan media sambil ditemani Dzulkarnain Taib (kiri) dan Kelana Putra Muhamad dalam sidang akhbar khas menentang Red Bean Army di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Jun - Gabungan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat kewujudan tentera siber 'Red Bean Army' dan kesan buruknya yang memecah belah perpaduan rakyat.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, perkara itu perlu dilakukan kerajaan bagi mencari kebenaran dan mengelakkan masyarakat daripada terus terperangkap dalam fitnah dunia siber.

Menurut beliau, pihaknya juga berhasrat menghantar memorandum mengenai gesaan penubuhan suruhanjaya itu kepada Menteri Dalam Negeri pada sesi sidang Parlimen akan datang.

"Masyarakat mudah terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan oleh pihak yang ada kepentingan tertentu, malah kita juga mendapat maklumat gerakan itu mempunyai kaitan dengan sayap-sayap tertentu seperti komunis.

"Kita berharap kerajaan dapat segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat perkara ini dan merungkaikan kebenaran, jika terbukti benar wujud, tindakan tegas perlu diambil," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzulkarnain Taib; Pengarah Strategik Permuafakatan Wangsa Malaysia (Pewangsa Malaysia), Kelana Putra Muhamad dan aktivis belia Pewangsa Malaysia, Amir Ashraf Hamzah.

Menurut Nadzim, pihaknya mendapat maklumat tentang kegiatan Red Bean Army yang dikesan bermula sekitar 2007 dan gerakan bagi menghakis hubungan erat antara kaum di negara ini telah dilakukan dengan begitu tersusun serta strategik.

"Jika sesuatu isu dibangkitkan mengikut sudut kaum, keadaan kacau bilau akan wujud, kita tidak mahu negara ini jadi medan kacau bilau, soal perpaduan, keamanan dan keselamatan tidak boleh diperjudikan.

"Penubuhan suruhanjaya itu adalah keperluan mendesak yang amat serius, kita perlu mengetahui siapa petualang dan bagaimana mereka mendapat wang serta modus operandi yang digunakan dalam media sosial seperti Facebook dan Twitter," katanya.

Sementara itu, menurut Dzulkarnain, pihaknya tidak mahu terburu-buru menuduh pembabitan DAP dalam Red Bean Army dan berharap penubuhan Suruhanjaya Diraja dapat merungkaikan kebenaran mengenai kewujudan tentera siber itu.

"Bahaya Red Bean Army ialah memecahbelahkan perpaduan kaum dan kita lihat kesannya apabila banyak institusi telah diserang dan dihina hingga melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Mara dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)," katanya.

Menurutnya, bahaya yang dibawa oleh Red Bean Army ialah gerakan itu membangkitkan isu dalam media sosial mengikut sudut pandangan kaum yang boleh membawa elemen subversif dan melampau.

"Kita lihat Red Bean Army ada peranannya dalam menjadikan kematian Teoh Beng Hock sebagai isu kaum Cina dan polis juga didakwa membunuh kaum India dalam lokap,'' katanya.

Katanya, ekoran kejadian itu pihak berkenaan mendesak kerajaan mengadakan inkues tetapi perkara tersebut tidak berlaku dalam kes melibatkan orang Melayu seperti runtuhan Jambatan Kedua Pulau Pinang dan kematian seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Tambahnya, beliau juga melihat tentera siber tersebut mempunyai peranan untuk menghasut penyokong parti pembangkang bagi melakukan demonstrasi jalanan yang menganggu-gugat keamanan serta keselamatan negara.

785) ARTIKEL PILIHAN : Sekolah satu aliran tak rugikan sesiapa


(ARKIB BERITA HARIAN 8 NOVEMBER 2009)

Byline / Author: Oleh Teo Kok Seong


DALAM masyarakat majmuk seperti Malaysia, pendidikan perlu dilihat sebagai lebih daripada mendidik anak-anak. Ia perlu dilihat sebagai kuasa yang mampu mewujudkan integrasi, khususnya perpaduan kaum. Dengan perkataan lain, pendidikan adalah penting sekali dalam pembentukan bangsa Malaysia.

Dalam konteks ini, tidak dapat dinafikan bahawa sekolah adalah institusi terbaik memupuk perpaduan dalam kalangan golongan muda.

Malaysia sentiasa sedar mengenai kepentingan sekolah dalam hal ini. Inilah juga aspirasi utama pada Penyata Razak (1956). Tetapi malangnya, hasrat semurni ini tidak mencukupi, kalau kita sebagai golongan tua tidak benar-benar berusaha ke arah itu.

Hari ini, golongan muda didapati tidak banyak bergaul dengan mereka daripada kelompok etnik lain dan lebih mudarat lagi, mereka tidak mempunyai keinginan untuk bergaul dalam konteks ini.

Ini antaranya disebabkan ibu bapa mereka menyekolahkan mereka di sekolah yang pelajarnya terdiri daripada hanya satu kelompok etnik.

Gejala tidak bergaul ini berlarutan sehingga ke institusi pengajian tinggi dan juga tempat kerja. Sehubungan itu, pada masa kini, polarisasi kaum dapat dilihat di mana-mana saja.

Sudah tiba masa dengan mengambil semangat konsep 1Malaysia, kita perkasakan peranan pemersatu pada sekolah dan institusi pengajian yang lain.

Dari segi pendidikan semata-mata, sekolah kita rata-ratanya berjaya menghasilkan pelajar yang bijak pandai tetapi apa ertinya anak kita pintar, kalau mereka tidak boleh bersatu.

Satu cara terbaik mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan sistem satu sekolah atau satu aliran. Ia terbukti lebih berjaya dalam pembentukan negara-bangsa mana-mana masyarakat mengamalkannya, lebih-lebih lagi dalam pembinaan jati diri nasional yang sama serta jelas sifat nasionalnya, dalam kalangan semua sektor masyarakat.

Liberalisasi dalam bidang pendidikan di negara ini, bukan saja membenarkan persekolahan vernakular dan agama, tetapi ikut meluluskan kewujudan sekolah swasta, sekolah antarabangsa (yang ikut dihadiri rakyat Malaysia) dan lain-lain.

Kita juga membenarkan anak-anak diajar secara persendirian di rumah, yang sudah tentu tidak memungkinkan pergaulan antara kaum wujud dalam bentuk yang unggul.

Sistem yang membenarkan pelbagai jenis persekolahan ini nampaknya tidak berjaya menyatukan kita semua.

Kita harus menerima hakikat ini untuk kepentingan negara, dan tidak boleh lagi mempertahankannya. Ini antaranya adalah kerana ia hanya memecahbelahkan kita semua.

Perpaduan perlu dipupuk pada usia yang muda, seperti kata pepatah Melayu, 'melentur buluh biar dari rebung'. Sewaktu di sekolah rendah lagi, anak-anak perlu bergaul dengan sebebas-bebasnya dan ini bukan saja untuk mengenali satu sama lain, tetapi yang lebih penting belajar menghormati dan mempercayai mereka yang berlainan bangsa dan agama.

Tidak seorang pun yang boleh memahami dan kemudian menerima untuk dihargai budaya, agama dan bahasa kelompok etnik lain, kalau dia tidak pernah mengenali kelompok berkenaan. Inilah yang dikatakan oleh pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta.

Sehubungan ini, kita perlu terlebih dulu kenal-mengenali, sebelum elemen hubungan etnik lain berlaku secara positif dalam konteks perpaduan kaum di negara ini.

Justeru, bagaimanakah anak kita boleh mengenali, memahami dan menerima untuk dihargai pelbagai perbezaan yang wujud antara kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain, kalau mereka tidak pernah mempunyai peluang bergaul, lebih-lebih lagi pada usia muda.

Sesungguhnya, anak kecil ini boleh dengan cepat, bukan saja bergaul dengan baik, malah mampu memanfaatkan perbezaan antara mereka, untuk kebaikan bersama pada mulanya, dan kepentingan negara kemudiannya.

Malangnya, kita selaku golongan tua tidak mahu mewujudkan peluang ini pada peringkat sekolah rendah. Apabila bertemu di sekolah menengah, kebanyakan anak ini sudah pun membentuk pelbagai persepsi, sikap dan buruk sangka, terhadap mereka yang tidak sebangsa dan seagama dengan mereka.

Perasaan curiga-mencurigai yang kuat sudah pun tertanam dan sukar dikikis, akibat sistem yang lemah ini, selain ikut diracuni pemikiran tertutup daripada sesetengah golongan tua.

Ada anak kita yang tidak pun berpeluang bertemu dengan anak daripada kelompok etnik lain di sekolah menengah dan ini kerana mereka meneruskan persekolahan di puluhan sekolah persendirian di negara ini.

Ini berlaku pada anak Cina, yang kemudian ke China, Taiwan atau Hong Kong, untuk memperoleh pendidikan pengajian tinggi dalam bahasa Cina.

Golongan tua perlu menyedari bahawa sistem pelbagai sekolah ini, lebih-lebih lagi yang bersifat persendirian/swasta, tidak menyumbang kepada pembentukan negara-bangsa Malaysia, dalam banyak aspek. Malah sistem pelbagai sekolah ini memecahbelahkan negara.

Sehubungan itu, marilah kita mencari jalan terbaik dengan tekad baru 1Malaysia, untuk mewujudkan sistem satu sekolah, yang menggunakan bahasa kebangsaan kita sebagai satu-satunya bahasa pengantar, semata-mata untuk penyatuan generasi mendatang, dan sekali gus demi kepentingan negara.

Tugas ini tidak mudah seperti yang diakui oleh banyak pihak. Namun, ia boleh menjadi kenyataan, mungkin dalam waktu terdekat ini, seperti kata pepatah Melayu, `nak seribu daya, tak nak seribu dalih'.

Kita boleh bermula dengan menerimanya, untuk diperhalusi kebaikan semua pihak, khususnya mengenai pendidikan bahasa ibunda yang dikhuatiri akan lenyap apabila dilaksanakan sistem satu sekolah.

Ia masih boleh diteruskan, bukan lagi dalam bentuk sekarang, tetapi dalam bentuk sebagai hanya satu subjek. Melalui cara ini, budaya dan warisan serta komponen sistem kepercayaan kaum tertentu, masih boleh dipertahankan dalam bentuk yang utuh.

Pengorbanan daripada pihak berkenaan dalam hal ini, bukan saja amat diperlukan, malah sangat disanjungi sepanjang sejarah Malaysia moden!. Mekanisme untuk sistem satu sekolah sudah ada, iaitu dalam bentuk ribuan sekolah kebangsaan di segenap pelosok negara.

Kita hanya perlu memanfaatkan sekolah ini agar ia bukan saja perkasa, tetapi menarik dari segi imej nasionalnya, untuk dihadiri oleh pelajar Cina dan India yang kebanyakannya belajar di sekolah vernakular, dan juga sebilangan pelajar Melayu yang memilih untuk menimba ilmu di sekolah agama.

Akhir kalam, semua pihak harus meyakini sistem satu sekolah ini sebagai hasrat murni lagi khalis, untuk menyatukan anak kita demi pembentukan bangsa Malaysia yang betul-betul bersatu, dalam Malaysia menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dari luar. Ia bukan sekali-kali niat buruk mana-mana pihak untuk melenyapkan budaya, agama dan bahasa kelompok etnik tertentu.


* Penulis ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...