Tuesday, April 23, 2013

723) BERITA 19/4/2013 : TENANG PELAJARI ILMU ISLAM




Headline: Tenang pelajari ilmu Islam
Publication: HM
Date of publication: Apr 19, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 036
Byline / Author: Oleh Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya gembira dengan kehidupan sekarang dan rasa lebih tenang. Dengan adanya kelas pengukuhan agama dan bantuan daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), saya rasa tidak keseorangan melalui fasa baru ini," kata Agnes Abdullah, 36.

Kisah saudara baru ini yang mendakwa terpaksa menanggung hutang RM2 juta selepas diabaikan suaminya disiarkan Harian Metro, sebelum ini.

Menurutnya, dia kini mempunyai jadual kursus tetap yang dianjurkan di Selayang dan setiap kali menghadiri kelas terbabit, perasaan tenang dan gembira menyelubungi diri menyebabkannya semakin tertarik dengan Islam.

Dia juga rasa bertuah kerana PPIM sudi memberikan semangat dan motivasi terutama ketika berdepan kekeliruan mengenai persoalan hukum serta amal ibadat lain, apatah lagi dia perlu membimbing anak tunggalnya yang baru berusia lima tahun.

"Terima kasih kepada semua yang membantu saya menghadapi situasi begini. Sebagai saudara baru, saya begitu mengharapkan bantuan dan dorongan," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan di sini, semalam.

Dalam pertemuan itu, dia diberikan motivasi menjadi Muslimah seperti dianjurkan agama oleh aktivis PPIM, Abdul Kareem Said Khadaied serta Datuk Musa Talib yang mengajar surah lazim kepadanya.

Agnes berkata, ketika ini dia dalam proses menjual asetnya bagi menampung hutang yang ditinggalkan termasuk membiayai persekolahan serta perbelanjaan lain.

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya memberi bantuan sewajarnya kepada Agnes selain berusaha membimbingnya sebaik mungkin memandangkan dia masih baru di dalam Islam dan masih banyak yang perlu dipelajarinya.

"Dia juga sebenarnya boleh menjadi contoh Muslimah terbaik kerana walaupun berdepan kesukaran di dalam hidup, dia tetap berpegang kepada agama selain berusaha meneruskan kehidupannya dengan ikhtiar sendiri," katanya.

722) EMEL PILIHAN-Wajib Tonton & Dengar Agenda Tawan Melayu & Mansuh Islam


Sumber : http://m.facebook.com/story.php?story_fbid=159913800839491&id=139656542845836&_rdr

Wednesday, April 17, 2013

721) BERNAMA ONLINE 9 APRIL 2013-Manifesto BN Untuk Tangani Kos Sara Hidup Mampu Dicapai Dalam Tempoh Lima Tahun




KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menangani peningkatan kos sara hidup rakyat dilihat lebih realistik dan diyakini mampu dicapai dalam tempoh lima tahun, kata seorang pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM).

Prof Amir Hussin Baharuddin berkata kerajaan sedia ada mampu menunaikan janji memandangkan ekonomi negara kini berkembang pesat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melaksanakan pelbagai transformasi ekonomi untuk memajukan negara termasuk memakmurkan rakyat.

"Misalnya BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) boleh meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah untuk berbelanja. Apabila mereka berbelanja ia akan menyumbang kepada aliran tunai negara dan wujud permintaan dalam pasaran sekaligus mampu menjana peluang pekerjaan dan perniagaan baharu," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Di samping itu, Amir Hussin berpandangan bahawa pelaksanaan tol tidak membebankan rakyat kerana tol yang dikutip boleh membebaskan rakyat daripada membayar kos pembinaan jalan raya yang sama.

"Ada pihak yang suruh kerajaan ambil alih sepenuhnya operasi lebuhraya, tapi bagi saya itu cadangan tidak berapa bagus sebab kalau kerajaan ambil alih semua, daripada segi logik akal, JKR (Jabatan Kerja Raya) sahaja tidak mampu untuk menyelenggara keseluruhan lebuh raya, cuba fikir.

"Bagi saya elok juga kerajaan bagi kepada pihak swasta dan kerajaan pantau operasi. Saya juga rasa sekarang ini harga tol tidak lah naik tinggi sangat, saya rasa tidak naik dah," katanya.

Katanya, berdasarkan pemerhatiannya pakatan pembangkang dilihat tidak akan serius dalam menunaikan janji seperti digariskan dalam manifesto pilihan raya umum 2008 dan hanya boleh digambarkan sekadar cakap kosong kepada rakyat memandangkan banyak janji gagal ditunaikan.

"Jika dilihat janji-janji pakatan pembangkang yang lepas pun sampai sekarang tidak ditunaikan, contoh paling nyata di Selangor yang ditadbir PKR, kerajaan negeri gagal tunai janji untuk memberi elaun kepada semua ibu tunggal seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum lepas. Ini baru isu kecil pun tidak boleh diselesaikan, macam mana hendak buat janji yang besar?," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata manifesto Barisan Nasional (BN) untuk menangani kos sara hidup rakyat adalah lebih objektif dan menggambarkan kesungguhan Perdana Menteri untuk membela nasib rakyat berpendapatan rendah.

"Kerajaan sedia ada merupakan kerajaan yang berwibawa dan saya boleh melihat kesungguhan Datuk Seri Najib dalam manisfesto BN. Jadi apa salahnya jika kita bagi peluang kepada orang yang bersungguh-sungguh buat kerja untuk rakyat," katanya.

-- BERNAMA

720) HARIAN METRO 13 APRIL 2013 : `Jelas ajaran sesat'



Kuala Lumpur: "Kita bimbang kejadian ini ada kaitan dengan ajaran sesat," kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, kecurigaan itu berdasarkan aduan Umi yang memaklumkan mengenai acara nikah batin yang kononnya bersaksikan malaikat kerana kepercayaan itu jelas bertentangan ajaran Islam.

Menurutnya, setakat ini aduan daripada Umi itu adalah yang pertama diterima PPIM membabitkan kes nikah batin dan akan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Umi dan Dira.

719) BERITA UTAMA 13 APRIL 2013-PERANGKAP NIKAH BATIN


Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: "Mereka bentang sejadah dan duduk berdepan sambil berjabat tangan. Seorang daripada mereka menjadi jurunikah dengan melafazkan akad aneh. Antara lafaz itu ialah bersaksikan Allah, berwalikan malaikat di kiri dan kanan."

Demikian pendedahan wanita mahu dikenali sebagai Umi, 24, ketika menceritakan pengalamannya hadir untuk ditemu duga sebagai pembantu rumah, namun terperangkap dan menjalani acara 'nikah batin' sebelum dirogol majikannya.

Umi berkata, kejadian itu berlaku Februari lalu selepas dia terbaca iklan mencari pembantu rumah yang disiarkan di akhbar dan berminat dengan pekerjaan itu.

Tanpa sebarang prasangka buruk, Umi yang berasal dari utara tanah air berkata, dia menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan berkenaan sebelum datang ke ibu negara untuk menjalani sesi temu duga.

"Sebaik sampai di Pudu Sentral, saya dijemput seorang lelaki berusia 60-an yang memperkenalkan diri sebagai majikan sebelum dibawa ke sebuah hotel untuk bertemu pembantunya," katanya.

Umi ditemui Harian Metro ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, di sini.

Bagaimanapun, kata Umi, sebaik masuk ke bilik hotel dia pelik kerana suasana di situ bukan seperti lokasi untuk temu duga, sebaliknya seperti bilik hotel biasa.

Menurutnya, di dalam bilik itu muncul seorang lelaki berusia 40-an yang kemudian diperkenalkan kepadanya sebagai kawan rapat merangkap pembantu bakal majikannya itu.

"Dalam keadaan keliru majikan tiba-tiba meminta rakannya mengendalikan upacara nikah batin kami berdua. Pada ketika itu saya seolah-olah orang bodoh dan hanya mengikut saja apa kata mereka," katanya.

Umi berkata, dia dinikahkan dengan bakal majikannya itu dengan mas kahwin RM111.

"Selepas si 'jurunikah' melafazkan akad nikah pelik itu, dia bertanya pada majikan saya itu sah atau tidak, dan majikan saya berkata sah.

"Memang lucu, tapi saya tidak mampu mengeluarkan suara untuk membantah. Selepas itu, kedua-dua lelaki berkenaan menulis 'sijil nikah' buatan mereka sendiri," katanya.

Umi berkata, selepas bernikah, 'suaminya' membuat satu lagi kejutan apabila meminta dia melakukan hubungan seks dengan pembantunya.

Apabila Umi menolak, kedua-dua lelaki itu tidak memaksa, sebaliknya beredar daripada bilik dan membiarkan dia seorang diri, sebelum 'suaminya' datang semula kira-kira 10 minit kemudian.

"Sejurus masuk ke bilik, saya diberi minum secawan teh sebelum terus tertidur.

"Apabila sedar keesokan hari, saya tergamam apabila tubuh hanya dibaluti selimut dan lelaki itu tidur di sebelah," katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu dia terus pulang ke kampung, namun 'suaminya' itu menghubunginya semula seminggu kemudian serta meminta datang bekerja, dia mengikut saja.

"Saya sangkakan hubungan 'intim' kami berakhir, tapi ia berterusan kerana lelaki itu kerap mencabul ketika saya menjalankan tugas di pejabat dan di rumahnya," katanya.

Umi berkata, lelaki itu juga membawanya ke rumah 'jurunikah' dan di situ dia dihadiahkan sebentuk cincin yang kononnya hadiah perkahwinan.

"Di rumah itu, saya amat terkejut kerana di dalamnya banyak patung dan berhala. Jadi saya tidak berani pakai cincin yang diberi dan hanya simpan saja," katanya.

Selain Umi, seorang lagi wanita turut tampil membuat aduan kepada PPIM dan mendakwa mengalami pengalaman hampir sama, namun bernasib baik kerana tidak dinikahkan secara batin.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Dira, 20, berkata, dia menghubungi lelaki itu untuk bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji RM900 sebulan.

"Sepanjang bekerja di rumah dan pejabat, saya beberapa kali dicabul menyebabkan saya rimas. Selepas berkongsi cerita dengan Umi, barulah saya tahu rupa-rupanya lebih 50 mangsa berdepan nasib sama.

"Hasil perbincangan, kami nekad membuat laporan di Balai Polis Pudu," katanya.

718) BERITA HARIAN 12 APRIL 2013-1000 PELAJAR TULIS POSKAD HARGAI JASA WIRA


Kuala Lumpur: Lebih 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara mengambil bahagian dalam Program Menulis Poskad Untuk Wira Negara di sini, semalam.

Sekolah kluster itu adalah yang kedua selepas SMK Damansara Damai 1 yang menyertai program itu bagi menunjukkan sokongan kepada perwira yang masih berjuang mempertahankan Lahad Datu.

Kandung pelbagai mesej

Poskad yang mengandungi pelbagai mesej yang ditulis oleh pelajar itu bertujuan menaikkan semangat anggota pasukan keselamatan yang terbabit dalam Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah.

Program itu turut dihadiri Penyelaras Briged Patriot, Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir dan Koordinator Kedua Briged Patriot, Datuk Nadzim Johan dan Guru Kanan Kemanusiaan SMK Seri Bintang Utara, Ruzila Yusoff.

Ramzi berkata program itu akan dipanjangkan dengan terus mengedarkan poskad kepada tiga sekolah dalam masa terdekat.

"Tiga sekolah yang akan turut serta dalam program ini adalah sekolah jenis kebangsaan Cina, Tamil dan sekolah agama," katanya.

Program anjuran Briged Patriot itu menyasarkan 20,000 poskad yang ditulis pelajar akan diserahkan kepada anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu pada minggu hadapan.

Ucap terima kasih

Pelajar, Wong Zhi Rang, 16, berkata beliau bersyukur kerana negara ini mempunyai pejuang yang cukup berani mempertahankan negara walaupun melalui pelbagai dugaan dan cabaran.

"Apabila mendapat berita mengenai insiden yang menimpa Lahad Datu saya terkejut kerana tidak sangka perkara seburuk ini boleh terjadi kepada negara yang aman seperti Malaysia.

"Bagaimanapun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada perwira yang sanggup berjuang mempertahankan negara bak kata pepatah harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama," katanya.

Pelajar lain, J Navin Laxman, 17, berkata beliau sedih apabila anggota keselamatan negara terkorban dan diumpamakan oleh sesetengah pihak sebagai 'mati katak'.

"Anggota keselamatan negara bermati-matian mempertahankan negara dan pihak di luar sana dengan sewenang-wenangnya menggelar sebagai mati sia-sia, jika anggota keluarga mereka yang berada di sana terkorban dan orang melabelkan seperti itu pasti mereka akan marah," katanya.




717) UTUSAN MALAYSIA 12 APRIL 2013: Poskad ucapan penghargaan untuk wira negara di Lahad Datu

Ahmad Ramzi Mohamad Zubair (berdiri dua dari kiri) bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (tiga dari kiri) melihat pelajar menulis kata-kata semangat pada Program Menulis Poskad Kepada Wira Lahad Datu di SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 April - Keberanian pasukan keselamatan negara berjuang di Lahad Datu disanjung dan dihargai menerusi Program Menulis Poskad Kepada Wira Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara di sini hari ini.

Program yang diadakan dengan kerjasama Briged Patriot Malaysia, Media Prima dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) ini merupakan inisiatif bagi membangkitkan kesedaran pelajar sekolah terhadap tragedi berdarah di Sabah serta menzahirkan semangat patriotisme di kalangan mereka.

Koordinator 1 Briged Patriot, Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubair, berkata, program tersebut turut bertujuan memanifestasikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pasukan keselamatan yang bermati-matian mempertahankan negara.

"Program ini diadakan sebagai cara alternatif untuk memberi sokongan moral kepada pejuang negara supaya mereka tahu bahawa kita sentiasa berada di belakang mereka," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau lagi, program tersebut juga diilhamkan untuk mendidik generasi muda menghargai serta menghormati anggota keselamatan negara.

"Saya marah melihat anggota keselamatan kita dibunuh dan diperlakukan dengan kejam tetapi saya lebih marah apabila ada rakyat yang mengatakan itu semua sandiwara, mati katak dan yang paling sedih, sanggup menggelar mereka anjing.

"Dengan adanya program ini, rakyat Malaysia terutamanya generasi muda dapat menyemai rasa hormat kepada perwira negara dan tidak memandang enteng pengorbanan mereka selain menanamkan keberanian dalam diri masyarakat untuk turut sama memegang tanggungjawab menjaga keamanan negara," ujarnya.

Penolong Ketua Pengawas SMK Seri Bintang Utara, Anis Hanani Abdullah, 17, memberitahu dia dan rakan-rakan begitu teruja untuk menyampaikan penghargaan mereka kepada anggota keselamatan negara di Lahad Datu.

"Kami amat menghargai usaha yang telah mereka curahkan dan bersemangat untuk menyatakan rasa terima kasih kami," katanya.

Wong Zhi Khan, 17, bangga dengan keberanian wira negara menjaga kedaulatan negara dan berharap isu pencerobohan pengganas Lahad Datu segera ditamatkan.

Program kesedaran yang bakal meneruskan penjelajahnya di seluruh negara, mensasarkan kutipan 20,000 poskad ucapan penghargaan serta kata-kata semangat rakyat kepada anggota keselamatan yang akan dihantar terus oleh Ahmad Ramzi ke Lahad Datu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130412/dn_11/Poskad-ucapan-penghargaan-untuk-wira-negara-di-Lahad-Datu#ixzz2QhrWAK6A

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Saturday, April 13, 2013

716) INFO PENGGUNA : KERAJAAN & PENGGUNA



Headline: Kerajaan & Pengguna
BERITA HARIAN ,Apr 9, 2013


KESUNGGUHAN dan komitmen Malaysia terhadap pengukuhan perlindungan dan kebajikan pengguna dan di rantau ASEAN telah mendapat perhatian di setiap negara ASEAN.

Sekaligus menjadikan Malaysia telah terpilih untuk menjadi tuan rumah penganjuran program seminar perlindungan pengguna yang bertujuan untuk memberi latihan dan berkongsi maklumat serta pengalaman mengenai isu perlindungan pengguna dikalangan agensi perlindungan pengguna dari negara-negara ASEAN yang telah diadakan pada 23 hingga 24 September 2010 di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur.

Seminar ini telah berjaya menarik penyertaan seramai 50 peserta yang terdiri daripada ahli negara ASEAN, pegawai kerajaan Malaysia dan wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan.

Seminar ini merangkumi bidang-bidang seperti pengiklanan, penipuan pengguna, perdagangan elektronik, keselamatan data dan maklumat peribadi, kredit pengguna, aduan pengguna dan pendidikan serta kesedaran pengguna.

Seminar ini merupakan salah satu sumbangan dalam mencapai hasrat kerajaan kearah pewujudan yang mantap, berdaya saing dan prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan pengguna secara keseluruhannya.

Seiring dengan itu kerajaan Malaysia di bawah kementeriannya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) berusaha keras melaksanakan program-program pendidikan pengguna menjalinkan kerjasama yang erat dengan persatuan / pertubuhan pengguna seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) dan persatuan-persatuan pengguna seluruh negeri.

Segala usaha ini bertujuan untuk memberikan ilmu kepenggunaan kepada masyarakat seluruhnya agar bersikap peka melangkah lebih proaktif mencari dan mengekang mana-mana pihak yang cuba merancang untuk menggugat hak-hak tersebut.

Oleh kerana itu sebagai pengguna, kita wajib sedar akan hak-hak kita dan melaksanakan tanggungjawab kita untuk menjaganya.

Hak mendapatkan keperluan asas, keselamatan, maklumat, membuat pilihan, menyuarakan pandangan, mendapatkan alam sekitar yang selamat dan sihat, mendapat ganti rugi, pendidikan kepenggunaan dan aspek-aspek yang berkaitan dengannya.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 mendefinasikan pengguna sebagaimana seperti yang berikut:-

a. Memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperolehi bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga atau isi rumah dan

b. tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, atau mengemukan dirinya sebagai memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutama bagi maksud:-

(i) membekalkannya semula secara perdangangan; atau

(ii) menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan; atau

(iii) dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdangangan, barang lain atau lekapan pada tanah;

Definasi yang diberikan itu menepati kesemua hak pengguna yang telah diperincikan sepertimana yang tersebut diatas oleh mendiang Presiden Amerika Syarikat, John F.Kennedy dan Pertubuhan Pengguna Sedunia (Internasional Organization Of Comsumer Unions - IOCU) masing-masing pada tahun 1962 dan 1985.

Demi untuk mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang melalui kerjasama dan sokongan orang ramai, jalinan yang baik antara Kerajaan dengan rakyat perlu dimantapkan dalam usaha membantu melindungi pengguna sekaligus memberi semangat dan nafas baru mewujudkan komuniti masyarakat yang bertanggungjawab, bijak, peka, komited, proaktif dan berinformasi terhadap keseluruhan isu kepenggunaan.

Selain merangka dan melaksanakan aktiviti dan program kepenggunaan bersesuaian dengan peranan masyarakat setempat disamping memberi kefahaman berhubung saluran aduan pengguna kepada KPDNKK dan kementerian / Agensi berkaitan, kerajaan berharap ilmu kepenggunaan yang diberikan dapat dimanafaatkan secara maksimum oleh rakyat sebagai pengguna.

- Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com

715) BERITA : `Aku cari, bunuh kau'



Byline / Author: Oleh Raja Puteri Nabiha Raja Ayub

Kuala Lumpur: "Kau tak bayar hari ini, aku akan datang cari kau di pejabat dan bunuh kau." Itu antara panggilan telefon berbaur ugutan dibuat seorang lelaki dipercayai dari sebuah syarikat pinjaman wang berlesen untuk menggertak seorang wanita agar membayar hutang pinjamannya, kelmarin.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata, panggilan itu diterimanya pada jam 3.30 petang.

Mangsa yang bekerja di sebuah bank, di sini, mendakwa lelaki terbabit sering datang ke pejabatnya dan membuat kecoh menyebabkan mangsa malu dengan rakan sepejabat.

"Selain membuat kecoh di pejabat, lelaki itu juga sering menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) atau menelefon saya dan mengarahkan saya melangsaikan hutang.

"Bukan itu saja, saya pernah dipukul di kaki kiri dengan cota oleh dua lelaki dari syarikat sama hingga menyebabkan kecederaan serius dan terpaksa menggunakan tongkat sejak Julai tahun lalu," katanya yang ditemui di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) selepas membuat laporan polis dengan ditemani Ketua Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Saharudin Bakar, semalam.

Katanya, dia sudah membayar sebanyak RM16,000 kepada syarikat berkenaan sedangkan dia hanya meminjam RM10,000 sejak Julai tahun lalu.

Wanita terbabit adalah antara lapan mangsa mendakwa dianiaya syarikat kewangan berlesen yang datang membuat laporan di IPKKL selepas syarikat kewangan itu masih meminta wang walaupun bayaran yang dibuat setiap bulan sudah melebihi jumlah pinjaman.

Saharudin berkata, laporan dibuat mangsa itu adalah yang kedua kepada polis selepas membuat laporan sama di Balai Polis Setapak, 22 Februari lalu.

"Saya berharap polis menjalankan siasatan ke atas laporan ini dan mengambil tindakan tegas ke atas syarikat terbabit," katanya.

714) BERITA : NIKMAT KESELESAAN




Kuala Lumpur: Kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan program transformasi dalam membentuk kerajaan cemerlang serta memperbaiki kehidupan rakyat cukup terserlah dan perlu dihargai semua pihak.

Biarpun ada yang cuba memperlekeh usaha dan pembaharuan dibawa, namun kesan transformasi jelas mengubah nasib ramai golongan miskin serta kurang bernasib baik.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, rakyat hari ini menikmati keselesaan hidup hasil perubahan dibawa perdana menteri.

"Kita ambil Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) sebagai contoh terdekat...walaupun ada pihak mengkritik kualiti dan mempersoalkan kewujudannya, namun mereka tidak boleh menolak KR1M memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan turut menikmati kehidupan bertaraf sederhana.

"Begitu juga dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Biarpun ada yang tidak setuju, tapi dari sudut perbelanjaan, orang susah dan miskin bandar memperoleh manfaat besar kerana dapat menikmati keselesaan sebagaimana golongan berkemampuan," katanya.

Beliau berkata, ada baiknya Barisan Nasional (BN) tidak menekankan isu subsidi dalam manifesto kali ini kerana pemberian sebegitu tidak dapat dinikmati sepenuhnya kumpulan sasar.

"Apapun pemberian kerajaan, kita perlu hargai kerana ia tanda keprihatinan mereka terhadap keluhan rakyat. Malah, perdana menteri juga perlu diberi ruang dan peluang untuk terus melaksanakan transformasi.

"Mungkin rakyat hari ini melihat transformasi hanya memberi perubahan kepada negara antara 10 dan 20 peratus saja, tapi saya yakin jika Perdana Menteri terus diberi mandat, pasti lebih banyak kejayaan dan keselesaan dikecapi rakyat pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk N Marimuthu berkata, beliau menyokong manifesto dibentangkan BN yang menekankan isu menangani kos sara hidup rakyat.

"Kita percaya rakyat berpendapatan tinggi mampu mencari penyelesaian kepada masalah kewangan dihadapi, bagaimanapun rakyat yang kesempitan memerlukan satu sistem bantuan untuk meringankan beban hidup mereka," katanya.

"Tidak kira berapa banyak diberi kerajaan untuk meringankan beban hidup rakyat, kami menerima dengan rasa syukur. Lebih-lebih lagi jika pemberian BR1M ditambah dan diberi secara tahunan"

Hadi Munir Al Baki, Pemandu Teksi

"Bantuan RM100 membantu kami menguruskan keperluan tiga anak bersekolah. Namun jika kerajaan meningkatkan lagi jumlahnya kami terima dengan gembira"

Isma Yuslyn Ismail, Tukang Jahit

"Jika dalam satu semester ada 6 subjek, kami mengeluarkan RM480 untuk buku. Bagaimanapun, jika kerajaan setuju tambah jumlah Baucar Buku 1Malaysia sudah tentu membantu"

Muhammad Hamidi Zamri, Pelajar

INFO

Kesungguhan menyediakan keperluan asas dan perkhidmatan pada harga rendah dibuktikan dalam produk 1Malaysia seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Klinik 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia.

Di Sabah dan Sarawak, Skim Penyeragaman Harga, subsidi pengangkutan dan KR1M membantu menurunkan harga barangan. Dasar Agro Makanan Negara diperkenalkan untuk memastikan harga bekalan asas makanan terjamin dan terjangkau. Bantuan RM100 setiap pelajar dan RM250 skim Baucar Buku 1Malaysia membantu meringankan beban perbelanjaan. Bantuan BR1M untuk isi rumah berpendapatan di bawah RM3,000 dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 memberi kelegaan yang disambut baik banyak pihak.

Dalam tempoh 5 tahun ini, kami berjanji untuk:

* Menambah BR1M sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk bujang secara tahunan

* Mempertingkatkan Baucar Buku 1Malaysia kepada RM300 dan Bantuan Persekolahan kepada RM150

* Menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta antara 20 dan 30 peratus

* Menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia

* Memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar

* Membuka Klinik 1Malaysia di kawasan padat.

* Menyediakan lebih banyak Pusat Jagaan Harian 1Malaysia untuk ibu bapa bekerja

* Menurunkan yuran jalur lebar sekurang-kurangnya 20 peratus

* Melaksanakan dasar 1Negara 1Harga bagi barangan keperluan asas

* Memperkenalkan lebih banyak produk 1Malaysia digerakkan GLC dan sektor swasta

Setakat ini, kami telah:

* Memperuntukkan RM6.4 bilion pada 2012-2013 untuk BR1M, Baucar Buku 1Malaysia dan Bantuan Persekolahan.

* Membelanjakan RM586 juta dalam tempoh dua tahun terakhir untuk Skim Penyeragaman Harga bagi memastikan harga barangan

* Membuka 85 KR1M di seluruh negara

* Membuka empat jelapang padi baru dengan gabungan keluasan 19,000 hektar.

* Membelanjakan RM134.8 bilion sejak 2010 bagi pelbagai subsidi seperti beras, tepung, gula, bahan api dan bahan tenaga serta bantuan pendidikan dan kebajikan sosial

* Memperuntukkan RM150 juta untuk mewujudkan 100 Pusat Internet 1Malaysia dalam bandar untuk manfaat golongan miskin bandar

* Melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi bagi memastikan subsidi hanya dinikmati kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan

* Memperkenalkan geran pelancaran RM10,000 dan pengecualian cukai untuk penubuhan pusat jagaan harian dan pendidikan awal kanak-kanak

713) ARTIKEL PILIHAN : BESEDERHANA DALAM HIDUP



Wasatiyah berasal daripada perkataan Arab iaitu wasat yang bererti tengah ataupun pertengahan. Boleh juga ditakrifkan sederhana atau kesederhanaan.

Wasatiyah dalam kehidupan merujuk konsep kehidupan yang mengamalkan kesederhanaan iaitu tidak keterlaluan.

Bagi umat Islam, konsep kesederhanaan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW yang dapat dilihat melalui setiap aspek. Contohnya dalam perbelanjaan, baginda menasihatkan umatnya berbelanja secara sederhana, tidak terlalu berlebihan dan tidak pula terlalu sedikit.

Hakikat ini ada dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu dan janganlah pula engkau menghulurkan dengan sehabis-habisnya, akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela dan menyesal." (Surah al-Isra, ayat 29)

Orang yang mengamalkan peraturan ini akan mendapat pujian daripada Allah seperti dijelaskan dalam ayat 67 surah al-Furqan, maksudnya: "Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana."

Baginda juga mengajar umatnya mengenai kesederhanaan ketika makan, berpakaian dan dalam beribadat kepada Allah.

Diceritakan seorang sahabat, Abdullah bin Umar al-As pernah bercadang untuk melakukan ibadat pada setiap waktu, berpuasa pada siang hari dan membaca seluruh isi al-Quran pada malamnya.

Bapanya mengahwinkannya dengan seorang wanita muda. Kemudian, bapanya bertanya pada menantunya mengenai anaknya itu, lalu menantunya menjawab: "Dia adalah seorang yang sangat warak dan tidak pernah tidur dengannya pada waktu malam serta tidak pernah mengadakan hubungan dengan sesiapa pun."

Mendengar jawapan itu, bapanya sangat marah kepada Abdullah dan mengatakan kepadanya yang dia mengahwinkannya dengan seorang wanita sangat baik, tetapi dia pula meletakkan isterinya itu dalam kegelisahan sepanjang waktu.

Namun, kerana terlalu asyik mengabdikan diri kepada Allah, dia tidak mempedulikan hal itu. Bapanya mengadukan hal itu kepada Rasulullah SAW yang kemudian bersabda kepadanya:

"Aku mendengar kamu berpuasa pada siang hari dan bersolat pada sepanjang malam." Dijawab Abdullah bahawa khabar itu benar. Kemudian Rasulullah bersabda lagi: "Janganlah buat begitu, tetapi sebagai gantinya berpuasalah kadang-kadang dan makanlah kadang-kadang, solat dan tidurlah pada waktu malam kerana badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, matamu mempunyai hak ke atas kamu, kurang tidur akan melemahkan mereka manakala isteri, anak-anak dan saudara-maramu juga mempunyai hak ke atas kamu."

Keadaan yang sama juga diceritakan Bukhari. Sesetengah sahabat Nabi SAW memutuskan untuk beribadat kepada Allah sepenuhnya. Seorang mengatakan bahawa dia akan bersolat sepanjang malam, seorang lain mengatakan dia akan berpuasa tanpa henti manakala orang ketiga mengatakan dia tidak akan berkahwin seumur hidup dan tidak akan berhubung dengan perempuan.

Rasulullah SAW mengetahui hasrat mereka lalu bersabda maksudnya: "Aku bersumpah dengan nama Allah bahawa aku takut kepada Allah dan aku menyedari tanggungjawabku kepada-Nya melebihi tanggungjawab kamu tetapi begini caraku. Kadang-kadang aku berpuasa dan kadang-kadang tidak. Aku bersolat dan tidur pada waktu malam juga aku berkahwin. Sesiapa yang tidak mengikut caraku bukanlah daripada golonganku."

Anas meriwayatkan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Jangan menzalimi diri sendiri, ada umat-umat tertentu yang menzalimi diri sendiri lalu Allah menghukum mereka. Engkau dapat melihat kesan-kesan gereja dan biara mereka."

Nabi Muhammad SAW tidak suka orang melakukan solat terus menerus serta memencilkan diri, tidak bergaul dengan orang ramai dan menolak kemewahan hidup yang biasa.

712) ARTIKEL PILIHAN : BANGUN PAGI CARILAH REZEKI



Oleh : Idris Musa
Harian Metro 10/4/13

Sewaktu singgah minum pagi di sebuah restoran sementara menunggu kereta diservis siap di pinggir kota pada hujung minggu, baru-baru ini, penulis terpandang seorang lelaki bukan Islam yang duduk selang beberapa meja.

Usia beliau sekitar 60-an dan sudah tua. Penampilannya juga sederhana, dengan kemeja lepas dan seluar pendek. Namun, sambil bersarapan beliau membaca surat khabar, meneliti isu dan perkembangan semasa.

Sesekali beliau bingkas bangun, berjalan menuju kawasan parkir dan mengambil sesuatu daripada keretanya, Toyota Alphard. Selepas itu, beliau datang semula dan duduk untuk meneruskan sarapan.

Di benak fikiran penulis tertanya sendirian, mengapa lelaki terbabit yang sudah berkereta besar, usia pula sudah lanjut, tetapi masih tahu bangun pagi dan baca surat khabar?

Ketika itu terfikir juga penulis mengenai sesetengah orang terutama yang masih muda, terkial-kial untuk bangun pagi, malah selalu terlewat ke tempat kerja, kurang bersemangat melakukan tugas, sedangkan pada usia itu otak cerdas dan badan juga sihat.

Ada segolongan lagi tidak bekerja yang dipanggil penganggur, dengan hidup dirasakan tidak dihimpit waktu. Segelintirnya beranggapan boleh tidur dan bangun sesuka hati setiap hari. Amboi, seronoknya hidup!

Bagi mereka yang tidak bekerja ini, mungkin akan mempersoalkan: Apa hendak disibukkan kerana kami tidak mengganggu dan menyusahkan orang? Tidak kurang juga mendakwa, bukan tidak berusaha untuk mendapatkan pekerjaan, cuma belum sampai rezeki.

Namun, selalunya sebaik bangun daripada tidur mereka berharap menu tersedia di meja untuk mengalas perut yang berkeroncong. Bagi yang masih bujang khususnya, si ibulah yang menjadi tempat bergantung, makan pakai semua ditanggung walaupun sudah besar panjang.

Sekiranya kita tinjau dari perspektif Islam, sikap malas bekerja, tidak bersemangat dan menganggur itu sangat dilarang. Sebaliknya, kita perlu sentiasa bersemangat dan rajin berusaha khususnya bagi lelaki.

Al-Quran menganjurkan kita agar rajin berusaha dan bekerja, bukannya semata-mata memasang angan-angan dan harapan untuk terus menjadi kaya dan hidup senang-lenang dalam sekelip mata.

"Dialah yang menjadikan bumi bagimu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata penjurunya serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah) kepada Allah jualah kamu dibangkitkan hidup semula." (Surah al-Mulk, ayat 15)

Hadis Nabi SAW juga menggalakkan kita orang Islam bekerja dan berdikari, antaranya bermaksud: "Sesungguhnya sebaik-baik usaha ialah usaha dengan tangannya sendiri." (Riwayat Imam Ahmad)

Al-Bukhari meriwayatkan hadis dengan maksud: "Seandainya seseorang kamu mengambil tali lalu mencari kayu dan meletakkannya di atas belakangnya adalah lebih baik baginya daripada dia meminta-minta orang, sama ada mereka memberinya ataupun menghampakannya."

Dilihat kepada sirah Nabi SAW, baginda sendiri pada usia 12 tahun sudah ikut bapa saudaranya, Abu Talib ke Syam (Syria) untuk berniaga. Malah, pada usia empat tahun baginda dikatakan menolong Halimatus Saadiah mengembala kambing.

Nabi Allah Daud AS juga bekerja sebagaimana diceritakan pada ayat 80, surah al-Anbiya maksudnya: "Dan Kami mengajar Nabi Daud membuat baju-baju besi untuk kamu, untuk menjaga keselamatan kamu dalam peperangan, maka adakah kamu bersyukur?"

Ibnu Jauzi meriwayatkan bahawa Saidina Umar al-Khattab menemui sekumpulan orang yang menganggur lalu beliau bertanya: "Apa kamu buat? Jawab mereka: "Kami sekalian orang-orang yang bertawakal (yakni menyerahkan nasib kami kepada Tuhan)."

Kata Umar: "Kamu sekalian pendusta. Sesungguhnya orang yang bertawakal itu ialah orang yang menanam satu benih di bumi, kemudian dia bertawakal kepada Allah." Sambung beliau lagi: "Jangan sampai ada lagi seseorang antara kamu yang menganggur, duduk senang-senang, enggan keluar mencari rezeki. Dia hanya duduk berdoa: Ya Allah! Ya Tuhanku, berilah aku rezeki. Padahal dia mengetahui bahawa langit itu tidak akan menurunkan hujan emas atau perak."

Saidina Umar juga pernah menegah golongan fakir miskin daripada duduk menganggur dan hanya mengharapkan orang memberi sedekah semata-mata.

Beliau berkata: "Wahai kalangan fakir miskin! Berlumba-lumbalah mencari kurnia Allah dan jangan sampai kamu menjadikan diri kamu tanggungan kaum Muslimin."

Dalam hal ini, Imam Syafie ada mengalunkan bait puisi berbunyi:

Biarlah kupukul batu meskipun dari puncak gunung

Itu lebih kusenangi daripada kerja menadah tangan

Biarlah orang kata kerjaku ini membawa malu dan hina

Apakah tidak malu dan hina kerja meminta-minta orang?

Oleh itu, ayuh buangkan kemalasan, bangun awal, cari kerja dan bekerja dengan penuh semangat. Usah berpeluk tubuh lagi, sahut cabaran bersaing bersama yang lain mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga.

* Penulis ialah Penolong Pengarang Rencana, Harian Metro

711) AKTIVITI PPIM-Perjumpaan Komiti Mangsa Muflis/Bankrap

Friday, April 12, 2013

710) Pelancaran Briged Patriot Peringkat Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) Pada 4/4/13



Kuala Lumpur: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) malam tadi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Wira Lahad Datu Media Prima (TWLDMP) serentak majlis pelancaran Briged Patriot peringkat universiti berkenaan.


Sumbangan RM5,050 hasil kutipan warga UPNM itu diserahkan Timbalan Naib Canselor universiti terbabit, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Wan kepada Wartawan TV3, Nur Anisa Ismail pada majlis di kampusUPNM, di sini yang turut menyaksikan penubuhan satu lagi inisiatif keamanan, Projek Peace Bayu.

Briged patriot

Briged Patriot yang dilancarkan 24 Mac lalu susulan pencerobohan kumpulan pengganas di Lahad Datu, Sabah adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertujuan menyubur dan menzahirkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat selain menanam kesedaran mengenai pentingnya berdiri di belakang pasukan keselamatan dalam memelihara keamanan negara.

Peace Bayu pula ditubuhkan atas inisiatif kemanusiaan dan keamanan oleh mahasiswa dari 25 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. Ia hasil ilham Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membentuk gerak kerja murni dalam kalangan mahasiswa untuk membantu kerajaan memperluaskan gelombang cintakan keamanan dan perpaduan dalam masyarakat.

Turut menyalurkan sumbangan kepada TWLDMP semalam adalah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sebanyak RM100,000 yang disampaikan Pengerusinya merangkap Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin kepada Pengurus Besar Komunikasi Korporat Media Prima, Mastura Adnan.

Di Negeri Sembilan, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau mengutip RM10,000 dalam tempoh 3 hingga 27 Mac lalu yang kemudian diserahkan Undang Luak Rembau, Datuk Lela Maharaja Muhamad Sharip Othman kepada wakil TV3 Negeri Sembilan, Muhd Faizal Abbas pada satu majlis ringkas di Balai Undang Luak Rembau.

Dalam perkembangan lain di Kangar, Kerajaan Perlis diwakili Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyumbang tanah bernilai kira-kira RM100,000 kepada Nor Aziah Noor, balu Allahyarham Asisten Superintendan Zulkifli Mamat yang terkorban dalam Ops Daulat. Tanah berkenaan terletak berhampiran rumah ibu Nor Aziah di Taman Sena.


"Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan negeri atas sumbangan ini dan saya hargai setiap sumbangan yang diberikan pelbagai pihak. Saya juga berharap semua pihak berdoa supaya saya kuat menempuh kehidupan mendatang bersama anak-anak," kata Nor Aziah.


PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...