Wednesday, November 28, 2012

664) KLINIK PENGGUNA PPIM 28 NOVEMBER 2012 BERSAMA BILL STILL MEMBINCANGKAN TENTANG RIBA

663)BERITA HARIAN METRO- ISU PENDUDUK VILLA PUTERA : DATUK BANDAR ULAS AKAN PANGGIL PEMAJU




Headline: Panggil pemaju
Publication: HM
Date of publication: Nov 27, 2012
Section heading: Main Section
Page number: 002


KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengadakan perjumpaan dengan pemaju perumahan Regalia@Sultan Ismail, Mayland View Sdn Bhd bagi menyelesaikan isu pencerobohan tanah yang didakwa penghuni Kondominium Villa Putera.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pertikaian yang berlaku antara Mayland dan Villa Putera sudah lama berlaku dan penyelesaian sudah diambil.

"Bagaimanapun, DBKL akan memanggil semula Mayland dalam masa terdekat ini untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai aduan penduduk di Villa Putera seterusnya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi kedua-dua pihak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

662) PENGUMUMAN: Klinik Pengguna 28 November 2012


Dengarkan Klinik Pengguna hari ini di Bernama, Radio 24 93.9fm jam 1.15ptg bersama YM Tengku Azwil B Tengku Abdul Razak,Penasihat PPIM dan tetamu istimewa Bill Still, yang akan membincangkan tentang riba 

Bill Still berada di sini sempena World Conference Riba 2012. Maklumat lanjut tentang Bill Still, sila rujuk http://www.worldribaconference.org/2012-conference/speakers/bill-still.html


Monday, November 26, 2012

660) BERITA: Jual nama VIP kaut RM6 juta




Publication: Harian Metro
Date of publication: Nov 26, 2012 
Section heading: Main Section 
Page number: 014 
Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling 

KUALA LUMPUR: Mengakui mendapat restu dan naungan orang kenamaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai projek diusahakannya, seorang lelaki dikatakan memperdaya orang ramai untuk menjadi rakan kongsi serta pelabur menyebabkan mangsa kerugian lebih RM6 juta. 

Untuk meyakinkan mangsanya, lelaki itu turut menjanjikan pulangan harian dan mingguan kepada mangsa berjumlah RM2,000 hingga RM10,000 dengan menunjukkan dokumen yang didakwanya ditandatangani pemimpin nombor satu negara sebagai bukti perniagaannya itu sejak 2010. 

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Rahayu, 50, berkata suspek turut `menjual' profil satu yayasan berserta gambar VIP dan pakar motivasi terkenal untuk projek berskala besar yang konon diusahakannya di pantai timur. 

Rahayu, berkata dia dan suami diperkenalkan kepada lelaki itu menerusi seorang rakan dan membuat pelaburan RM170,000 pertengahan Oktober lalu selepas dijanjikan pulangan sehingga RM300,000 dalam masa lima bulan. 

"Dua minggu selepas itu, saya menerima lapan cek bernilai RM80,000 yang didakwa sebagai keuntungan projek, namun hampa selepas mendapati ia cek tendang menyebabkan saya mula meragui kesahihan perniagaan lelaki itu," katanya. 

Menurut Rahayu, sebelum ini dia terpengaruh dan yakin dengan segala kata-kata suspek selepas melihat gambar kerja amal yayasan itu yang mempunyai helikopter sendiri dan semua urusan perniagaan dilakukan di hotel terkemuka. 

"Apa yang menyedihkan, semua wang yang saya serahkan kepadanya itu adalah simpanan untuk melangsungkan perkahwinan anak saya akhir bulan ini," katanya ketika membuat aduan kepada Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, di sini semalam. 

Rahayu berkata, mereka suami isteri berulang kali menghubungi lelaki itu meminta wangnya dikembalikan dan lelaki itu bersetuju membiayai kos perkahwinan anaknya di sebuah kelab sebagai ganti kelewatan bayaran dijanjikan. 

Sebagai bukti, dia menghantar sepucuk surat jaminan kepada pengurusan kelab terbabit memaklumkan akan membayar segala perbelanjaan perkahwinan itu namun hingga kini tiada satu sen pun dibayar. 

"Kini kami tertekan kerana pengurusan kelab meminta wang pendahuluan untuk majlis kahwin. Dengan pendedahan ini, saya harap orang lain tidak jadi mangsa," katanya. 

Seorang lagi mangsa dikenali sebagai Azwan, 37, berkata, dia kerugian RM60,000 selepas menyertai 'perniagaan' itu akhir tahun lalu. 

Selepas diberikan cek tendang beberapa kali, dia yang membuat pinjaman peribadi semata-mata untuk menyertai yayasan itu mula menyedari dirinya ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Pudu. 

"Pada awal pembabitan, saya dijanjikan pulangan mingguan RM5,000, tapi hanya menerima cek tendang bernilai RM10,000 selepas enam minggu kemudian," katanya. 

Sementara itu, Nadzim berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa pelaburan perniagaan yang tidak wujud itu. 

"Berdasarkan aduan kepada PPIM, setakat ini lebih 20 orang sudah menjadi mangsa dengan jumlah lebih RM6 juta. Justeru, saya minta mereka yang mempunyai maklumat untuk tampil membuat aduan kepada pihak berkuasa," katanya.


659) BERITA : Penghuni Villa Putera kecewa



KUALA LUMPUR 25 Nov. - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) segera menyelesaikan isu pencerobohan pemaju, Mayland View Sdn. Bhd. (Mayland) ke atas hartanah milik Perbadanan Pengurusan Villa Putera.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, suatu jalan penyelesaian yang konkrit perlu diadakan memandangkan isu tersebut telah berlarutan lebih tiga tahun.

Beliau turut melahirkan kebimbangan sekiranya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak atau lambat menyelesaikan isu seperti itu, berkemungkinan besar akan lebih banyak pemaju berani melakukan tindakan yang sama.

"Kita hairan bagaimana pemaju terbabit boleh mendirikan sebuah kondominium mewah tetapi tidak mempunyai pelan pembangunan terancang apabila gagal menyediakan laluan keluar dan masuk ke jalan utama untuk penduduk, sebaliknya menyediakan laluan setelah bangunan siap.

"Lebih mengecewakan, pemaju membina laluan berukuran kira-kira 2.37 meter persegi tersebut di tanah milik Perbadanan Pengurusan Villa Putera gara-gara kawasan milik Mayland itu adalah terhad," katanya dalam sidang akhbar mengenai pencerobohan tanah milik Perbadanan Pengurusan Villa Putera di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama lebih 50 penduduk Villa tersebut mengadakan bantahan aman di laluan itu sebelum bertindak memagar tanah yang diceroboh Mayland.

Nadzim hairan bagaimana pembinaan kondominium mewah itu diberi kelulusan untuk didirikan memandangkan pembinaannya gagal mengikut prosedur dan spesifikasi yang betul berdasarkan perkara-perkara yang terkandung di bawah perintah pembangunan (DO).

Sementara itu, Jurucakap Jawatankuasa Penduduk Villa Putera, Suhaime Shamsudin berkata, pencerobohan tersebut berlaku sejak 2009 apabila Mayland membina laluan masuk dan keluar untuk penduduk kondominium berkenaan.

Menurutnya, berikutan kerja-kerja pencerobohan tersebut, pihak pengurusan Villa Putera telah membuat bantahan termasuk merujuk kepada Jabatan Kerja Awam DBKL bagi meminta kerja-kerja pembinaan laluan itu dihentikan.

Hasil daripada bantahan itu, jelasnya, pentadbir tanah di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah memutuskan bahawa permohonan hak lalu lalang pihak Mayland ke atas tanah itu adalah terbatal.

"Namun begitu pihak Mayland tidak memandang serius terhadap keputusan itu dengan masih meneruskan kerja-kerja pembinaan laluan dan kini telah menggunakan laluan berkenaan.

"Oleh kerana itu, pihak pengurusan Villa Putera telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju Mayland. Selain itu kami juga berharap DBKL dapat mengambil langkah yang sewajarnya kerana telah memberi kelulusan kepada pihak Mayland walaupun secara jelas mereka mencerobohi tanah milik kami," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20121126/wk_01/Penghuni-Villa-Putera-kecewa#ixzz2DLBtAIKR 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wednesday, November 21, 2012

658) SEMUA UMAT ISLAM MESTI BOIKOT PRODUK YAHUDI TANPA ALASAN LAGI


JANGAN KITA HANYA MERASA SIMPATI,

SEBALIKNYA HARUS MERASA EMPATI

DAN BERTINDAK MEMBOIKOT

PRODUK YAHUDI DAN SEKUTUNYA

DENGAN SEGERA.

Tuesday, November 13, 2012

657) BERITA HARIAN METRO : Pening hutang RM2j




Headline: Pening hutang RM2j
Byline / Author: Oleh Intan Mas Ayu Shahimi; Yusmizal Dolah Aling


KUALA LUMPUR: Niat murni seorang wanita membantu orang lain terutama rakan yang dalam kesempitan dengan meminjamkan wang, memakan diri apabila dia kini menanggung hutang hampir RM2 juta.

Ibu kepada 12 anak yang bertugas sebagai guru di Sabah itu mengaku dia tidak berfikir panjang apabila menawarkan diri membantu 102 rakan dan kenalannya dengan meminjam wang daripada tiga ceti haram atau along tanpa pengetahuan suami dan keluarganya.

"Pada awalnya, saya hanya berniat ingin membantu rakan yang terdesak. Mungkin kerana bahagia melihat kegembiraan orang lain, saya langsung tidak terfikir niat baik itu memakan diri," katanya kesal.

Wanita berasal dari utara Semenanjung hanya mahu dikenali sebagai Masni, 50, berkata, hidupnya makin tersepit apabila rakan yang meminjam mula mengadu tidak mampu membayar semula mengikut jadual dipersetujui sebelum ini, kerana terikat dengan pelbagai komitmen.

"Bayangkan, hanya dalam tempoh kurang sebulan pada Jun lalu, saya sudah meminjam RM685,000 daripada ceti untuk membantu 102 rakan dan kenalan.

"Kini setiap bulan, saya terpaksa mendahulukan wang simpanan untuk menampung jumlah faedah tiga along sebanyak RM73,000.

"Ada masanya, saya terpaksa bergolok-gadai dan menebalkan muka meminta pertolongan daripada anak," katanya ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, semalam.

Menurutnya, ketika ini tidak ada perkara lain yang terlintas dalam fikiran setiap kali bangun daripada tidur, selain mati.

"Saya betul-betul menyesal... kenapalah saya sanggup meminjam ceti haram untuk membantu kawan yang tidak mampu.

"Lebih luluh perasaan ini apabila seorang daripada anak menyatakan hasratnya untuk menjual organ tubuh semata-mata untuk membayar hutang dan mengembalikan kebahagiaan keluarga kami," katanya.

Masni berkata, hidupnya kini tidak tenteram apabila dikejar along setiap hari yang mendesak supaya wang pinjaman termasuk faedah berjumlah hampir RM2 juta dibayar tunai.

"Kalau dulu perkara ini saya cuba sembunyikan daripada pengetahuan suami, namun ia terbongkar apabila along menghantar orang untuk mengutip hutang di pintu rumah.

"Malah, kawan yang meminjam juga terpinga-pinga apabila nama mereka mula dikaitkan sebagai peminjam along terbabit," katanya.

Sedar usaha murninya mula menikam diri, Masni terpaksa mencari jalan untuk bersembunyi, sementara suaminya mencari jalan untuk menjual tanah pusaka keluarga.

"Lebih teruk, saya juga pernah terfikir untuk melarikan diri ke New Zealand semata-mata untuk bekerja dan mencari wang bagi membayar semua pinjaman selain mengelak daripada diganggu along berkenaan.

"Saya sudah melihat iklan daripada agensi pekerjaan luar negara, namun selepas berfikir panjang, saya memutuskan untuk berdepan masalah ini dengan sokongan suami serta anak," katanya.

Sementara itu, Pegawai Unit Tindakan Khas PPIM, Yati Saharuddin berkata, kes berkenaan cukup unik dan pertama kali diterima pihak persatuan.

"Kami sudah berbincang dengan mangsa dan kini dalam proses melengkapkan laporan untuk mendapatkan jumlah sebenar pinjaman ketiga-tiga along.

"Pihak persatuan juga sudah mengatur satu pertemuan antara keluarga Masni dengan 102 peminjam di bawahnya dan tiga along untuk berbincang mengenai kaedah pembayaran semula supaya tidak membebankan mangsa," katanya.

Monday, November 5, 2012

655) BERITA:Sikap tamak raih pulangan tinggi buat ramai terjebak




Kuala Lumpur: Sikap tamak serta terpengaruh dengan ajakan rakan dan saudara-mara yang mendakwa meraih pulangan tinggi menjadi punca ramai yang menyertai pelbagai skim pelaburan palsu, termasuk urus niaga dagangan emas.

Walaupun pelabur skim berkenaan terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi, mereka tetap melabur sekalipun mempunyai kemampuan untuk mengenal pasti sama ada sesuatu pelaburan itu berdaya tahan atau sebaliknya.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata faktor utama mendorong ramai menyertai pelbagai skim cepat kaya ialah sikap tamak dan mahu cepat kaya.

Sukar ditepis

Katanya, ini sekaligus menyebabkan skim pelaburan palsu termasuk kononnya yang bersandarkan emas terus mendapat sambutan orang ramai, termasuk golongan profesional.

"Dorongan pulangan keuntungan pelaburan luar biasa tinggi hingga 30 peratus setahun, menjadi tarikan utama yang sukar ditepis kalangan pelabur," katanya.

Pelabur skim cepat kaya atau pelaburan palsu mudah terpedaya hingga menyertainya selepas melihat pulangan pelaburan bulanan tinggi kirakira 10 peratus yang dinikmati rakan atau kenalan rapat mereka, walaupun pelaburan itu secara asasnya tidak mungkin berdaya tahan.

Kesukaran pihak berkuasa termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengambil tindakan pencegahan awal kerana dikhuatiri syarikat terbabit melakukan perniagaan berlandaskan undang-undang, dipercayai menyuburkan lagi skim pelaburan berkenaan.

Sudah terlewat

Maamor berkata, pihak berkuasa hanya boleh mengambil tindakan selepas aduan terhadap sesuatu skim pelaburan, dan keadaan ketika itu mungkin sudah terlewat.

"Bagi kes pelabur teraniaya, sebagai persatuan pengguna, peranan PPIM hanya terhad kepada cadangan atau rayuan kepada BNM atau SC untuk mengambil tindakan mendapatkan kembali wang pelabur," katanya.

Baru-baru ini, BNM menyerbu sebuah syarikat yang didakwa menawarkan skim tipu pelaburan emas yang mana dilaporkan bank pusat mendapati aset dan tunai syarikat itu tidak mampu menampung dividen pelabur sedia ada.

Dalam pada itu, Maamor turut mengingatkan pelabur bahawa tindakan mereka melabur dalam skim berkaitan terdedah kepada tindakan undang-undang, termasuk penggubahan wang haram selain tindakan mengambil deposit secara haram terhadap syarikat pelaburan itu.

"Saya berharap pengguna negara ini tidak lagi tertipu dengan mana-mana skim pelaburan menawarkan keuntungan terlalu tinggi dan memastikan setiap pelaburan mereka ditumpukan dalam pelaburan sah di sisi undang-undang.

"Jangan mempunyai sikap tamak melabur dalam skim seperti ini kerana ia tidak akan mampu untuk menampung pembayaran dividen selama-lamanya. Bila keadaan itu berlaku, pelabur tidak akan sempat menarik kembali pelaburan mereka," katanya.

MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH: 3/11/12
M/S:7


654) BERITA : Makkah bukan lokasi kaut keuntungan






Kuala Lumpur: Penerbit filem atau drama diingatkan jangan menjadikan Makkah lokasi mengaut keuntungan dengan menerapkan lakonan kononnya bercirikan Islam walaupun hakikatnya adegan dipertontonkan bertentangan dengan agama.

Lakonan banyak menyentuh elemen percintaan, bersentuhan antara bukan muhrim turut dilihat seperti mempersendakan Tanah Suci itu sebagai tempat beribadah dan perhimpunan jutaan umat Islam terbesar khususnya ketika musim haji.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata filem dan drama seperti itu harus diperhalusi pihak berkuasa dari segi isi kandungan dan kaedah penyampaiannya.

Katanya, jika ia dilakonkan di tempat baik dan suci, maka bentuk lakonan dan maksud tersirat dan tersurat daripada cerita itu mesti bertepatan dengan kehendak Islam.

Nilai setiap babak

"Justeru, PPIM desak KPKK (Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) dan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) nilai semula setiap babak yang menjadikan Makkah sebagai lokasi penggambaran.

"Kebanyakan karya dihasilkan hanya mengandungi unsur melalaikan seperti bercinta dan bersentuhan antara bukan muhrim.

"Mereka (pengarah dan penerbit drama atau filem) mungkin kurang jelas dari segi hukum walaupun ia nampak sopan, tetapi cara mereka menterjemah lakonan tidak tepat dan ada kalanya bertentangan," katanya kepada BH.

Akhir-akhir ini, banyak filem atau drama bersiri yang disiarkan menjadikan Makkah sebagai lokasi penggambaran dengan banyak menerapkan elemen percintaan.

Dr Maamor berkata, pengarah dan penerbit sepatutnya ada rasa tanggungjawab tinggi kepada agama dalam menyiarkan setiap hasil karya mereka sama ada ia benar-benar menepati kehendak agama atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Pertubuhan Ilmuan Malaysia (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya berkata, pengarah dan penerbit perlu merujuk terlebih dulu kepada pihak yang pakar dalam hal ehwal agama bagi menilai sama ada sesuatu adegan itu sesuai atau tidak untuk dilakonkan di Tanah Suci.

Unsur tidak baik

Katanya, kegagalan berbuat demikian menjadikan lakonan banyak mengetengahkan unsur-unsur tidak baik, tambah pula ia dibuat di tempat mulia.

"Jangan hanya menjadikan Makkah untuk melambangkan kononnya sesebuah filem atau drama itu seperti bercirikan Islam, tetapi bila dilihat dari segi penceritaan, penuh dengan emosi percintaan, bersentuhan bukan muhrim dan membuka aurat, ia jelas bertentangan.

"Malah, pelakon yang melakonkan adegan itu harus diyakini mempunyai akhlak, keperibadian dan pegangan agama yang kuat, supaya mereka tahu apa yang wajar dan tidak boleh dilakonkan (ketika di Tanah Suci)," katanya.

Oleh: Mohd Nasaruddin Parzi
Media : BERITA HARIAN
Tarikh: 3/11/12
M/S : 24

653) Muflis angkara henti bayar aset tak wujud




Kuala Lumpur: Enggan membayar untuk pembelian aset tidak wujud antara punca sesetengah individu diisytihar muflis, sekali gus menunjukkan ada kelemahan dalam Akta Kebankrapan 1967.

Akta berkenaan tidak mempunyai peruntukan untuk menimbangkan kes tertentu membabitkan defendan yang ditipu.

Antara mangsa kes sedemikian ialah Suhaimi Hassan, 52, yang tidak pernah menyangka keputusannya membeli rumah sebagai hadiah hari lahir isteri, Halimah Desa, 45, berakhir dengan mereka diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dua tahun lalu.

Ketika ditemui di pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, Suhaimi berkata, beliau membeli rumah berharga RM40,180 melalui projek milik sebuah anak syarikat kerajaan Selangor yang dibangunkan sebuah syarikat pemaju di Batang Kali pada 1997 dan membuat pinjaman bank sebanyak RM32,998.

Bank jelas bayaran rumah

"Pada 2000, saya menerima surat daripada bank meminta datang mengambil kunci kerana bank sudah menjelaskan keseluruhan harga rumah.

"Namun, apabila saya ke pejabat anak syarikat kerajaan negeri itu, pegawai bertugas mengambil surat pemberitahuan itu bersama semua resit bayaran air dan elektrik bagi rumah berkenaan yang sudah kami bayar.

"Ketika itu, baru saya tahu lokasi rumah terbabit sebenarnya sebuah lorong, bukan seperti tertera dalam pelan asal projek itu," katanya yang kemudian menyaman anak syarikat kerajaan negeri itu pada 2002.

Suhaimi mendakwa, berkata, mahkamah kemudian memerintahkan anak syarikat kerajaan negeri itu membayar semula jumlah pinjaman dibuatnya dengan bank, namun beliau dimaklumkan pihak bank yang mereka tidak pernah menerima bayaran berkenaan.

Pada 2004, katanya, beliau membuat keputusan berhenti membayar ansuran bulanan rumah itu kerana tidak mahu berbelanja untuk aset tidak wujud. Namun, tindakan itu mengundang musibah apabila disaman bank beberapa tahun kemudian atas kegagalan membuat pembayaran bulanan seperti dalam perjanjian.

"Pada Mei 2010, saya diisytihar muflis. Apa yang saya hairan, bank dalam afidavitnya langsung tidak menyebut perihal aset yang sama sekali tidak wujud itu, cuma menyatakan kegagalan saya menjelaskan ansuran bulanan, sedangkan saya berbuat demikian kerana aset yang dibeli tidak wujud," katanya.

Kehidupan musnah

Suhaimi berkata, perisytiharan muflis menyebabkan hidupnya musnah sekelip mata apabila lesen perundingnya ditarik balik serta akaun bank dibekukan, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa bergantung kepada belas ihsan ahli keluarga.

Ditanya sama ada masalah itu pernah diadukan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI), Suhaimi mendakwa, beliau pernah dinasihati pegawai jabatan itu supaya tidak membuat pembayaran ansuran bulanan berkenaan kerana ia membabitkan aset tidak wujud.

"Menurut pegawai MdI itu, bank tidak boleh menyaman saya kerana aset berkenaan tidak wujud dan saya tidak sepatutnya diisytiharkan muflis dalam hal ini," katanya.

Oleh: Sophia Ahmad
MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 3/11/12
M/S: 8

652) BERITA : Didik generasi muda belanja ikut mampu



Perubahan gaya hidup dan kos sara hidup yang semakin meningkat terutama di bandar besar menyebabkan peningkatan kes muflis sejak beberapa tahun lalu. Sebahagian besar daripada mereka pula adalah generasi muda yang teruja menjalani gaya hidup mewah di kota besar walaupun baru bekerja selepas tamat pengajian di universiti. Justeru, laporan lebih 50,000 orang muda berusia 34 tahun ke bawah yang diisytiharkan muflis dalam tempoh lima tahun lalu bukan sesuatu yang mengejutkan. Rekod Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) menunjukkan peningkatan jumlah kes muflis yang didaftar pada kadar 5.5 peratus setahun. Ini tidak termasuk mereka yang meminjam daripada along dan tidak mampu membayar balik pinjaman itu. Kebanyakan orang muda ini dikatakan terperangkap dalam pinjaman yang diambil bagi membeli kereta atau rumah, manakala yang lain menggunakan wang itu untuk tujuan peribadi atau bagi membuka perniagaan. Namun, ada juga yang muflis kerana menjadi mangsa penipuan berikutan butiran peribadi mereka disalah guna oleh peminjam tidak dikenali.

Rekod yang dikumpulkan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan daripada 4,568 kes muflis pada suku pertama tahun ini, kira-kira 47 peratus peminjam terdiri daripada Melayu, 34 peratus Cina, sembilan peratus India dan 10 peratus kaum lain. Golongan terbesar pula ialah peminjam dari Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ini secara langsung menunjukkan peningkatan kos kehidupan di bandar besar seperti sewa atau harga rumah, kos pengangkutan dan sara hidup lain menyumbang kepada kes muflis. Dengan kadar inflasi yang semakin meningkat akibat kenaikan harga barangan di seluruh dunia, rata-rata pemastautin kota yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 hanya mampu menampung perbelanjaan seisi rumah secara sederhana. Justeru, adalah wajar PPIM dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) memantapkan usaha bagi mendidik golongan terbabit mengenai gejala berbelanja di luar kemampuan. AKPK juga wajar memberi khidmat nasihat dan bimbingan berterusan untuk mencari jalan keluar daripada masalah hutang dan kemuflisan. Institusi kewangan sewajarnya berunding dengan peminjam yang menghadapi masalah untuk menjadualkan semula pembayaran. Aspek perundangan juga perlu dipinda supaya mereka yang bermasalah diberi peluang membina hidup baru dan membayar pinjaman, bukan dengan sewenang-wenangnya diisytihar muflis. Apa yang lebih penting, setiap individu harus sedar kedudukan kewangan diri dan berbelanja mengikut keperluan.

MEDIA : BERITA HARIAN
TARIKH : 29/10/12
M/S: 22

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

GERAKKAN KUASA PENGGUNA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...